Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.
Showing posts with label Umairah Shafei. Show all posts
Showing posts with label Umairah Shafei. Show all posts

Sunday, 17 June 2012

360 Darjah



“Dah lama tak bau asap.” Nadia menjeling. 

“Impresif.” Tambah dia lagi. Gam mod pudge dibelek. Bersilih dengan kain organza yang sudah dikoyak separuh. Cat fabrik jenis Permaset bersepah sini sana. Merah hitam, warna kegemaran. Nadia tahu itu. Jat tengah sibuk cop t-shirt baru. Biasanya kalau lelaki tertekan, layan bola. Atau paling kurang, tonton berita, atau main game, atau layan muzik. Tapi dia duduk di bengkel; mengecat. Nadia pun tahu itu. 

“Kenapa? Kau suka, aku merokok?” Jat tekun. Gelung 12 inci dipegang cermat, sambil menekap huruf-huruf yang telah dilukis. Nadia, sekilas pun tak dipandangnya. Gara-gara tersilap langkah, warna akan tercapah pada bahagian yang dia tak mahu. Nadia pun tahu itu. 

Kotak rokok masih ada dalam dashboard kereta. Masih berpuntung-puntung banyaknya. Nadia yakin, Jat masih merokok. Itu telah Nadia. Entah, Nadia keliru. Nadia tak faham. Nadia tak tahu. Dia tak pernah melarang teman lelakinya merokok. Suka hati, asalkan Jat bebas bila bersamanya. Tak rasa dikongkong atau terkongkong. Kalau ada masalah, cakap. Kalau ada yang tak kena, bincang. Cuma itu, prinsip Nadia. 

“Aku cuma pelik. Kau banyak berubah.” Nadia bermain-main anak rambut yang terjuntai melepasi dahi. Kardigannya ditanggalkan, panas. Cuma, akhir-akhir ini dia tak faham teman lelakinya. Dia makin tak kenal dan tak tahu. 

-- 

Dua minggu lalu. 

Jat teguk Revive. Hari-hari biasa, dia dengan Nadia. Jalan-jalan, ambil angin sekitar Taman Tasik Titiwangsa. Pagi-pagi lagi, kalau bukan Nadia yang memandu, dia yang akan bonceng. Hari ini, Nadia sibuk. Entah, tiba-tiba bos Nadia buka kedai sampai hujung minggu. Banyak pelanggan menempah baju pengantin. Klise; cuti sekolah, ramai orang kahwin. 

“Orang lain yang kahwin, dengan awek-awek aku sekali kena kahwin.” Jat merengus, geram. Botol Revive dicampak, tepat mengenai tong sampah hijau di hujung jalan. Elok-elok dia mahu gerak, sepasang matanya terpandang segolongan anak muda. Semacam ada parti yang luar biasa. Ada gitaris, ada buku-buku, ada deklamasi puisi? Ramai orang duduk-duduk sambil membaca di rumput hijau. Kanak-kanak sedang riang-ria menconteng dan mewarna. Jat mendekat, tertarik. Jat baca papan tanda kayu yang dicat kuning terang; “Buku Jalanan”. 

“Abang, sila!” Seorang lelaki bawah 20-an bercermin mata Rayban menegurnya. Jat cuma senyum, segaris. Tersembol dua lubang, membenam kedua belah pipi. Cukup kacak, dengan gaya sederhana; jeans dan t-shirt kosong saja. 

“Dah lama ke buat benda ni?” tanya Jat. Tangan lincah membelek salah satu buku yang berderet tersusun. 

“Tak juga, Bang. Baru dua minggu.” Balasnya hormat, menanggalkan Rayban.

“Untung ke, buat benda-benda macam ni?” soal Jat lagi. Kali ini tangannya menarik “Jalaluddin Rumi; Qasidah Cinta”. Lelaki Rayban tadi tergelak. 

“Buat benda-benda begini, bukan untung yang dikira Bang. Kita nak didik masyarakat. Tak payah susah-susah pergi librari. Nak baca, bersantai-santai pun boleh. Gaya Indie.” Dia sengih lagi. 

“Buat benda kecil, tapi ada berkat, itu yang kita mau!” Terngiang-ngiang dalam kepala. 

"Kesucian Hati:  
Di manapun, jalan untuk mencapai kesucian hati ialah melalui kerendahan hati. Maka dia akan sampai pada jawaban “YA” dalam pertanyaan; bukankah Aku Tuhanmu?"
- Jalaluddin Rumi 

Itu patah kata yang sempat dia baca dalam buku tadi. Entah, kata-kata itu buat dia terfikir-fikir. Kata-kata lelaki Rayban tadi buat dia termenung-menung. Buat dia melangkau jauh, fikir sampai otak penat. Hidup dia untuk apa? Hidup dia sampai bila? Mati dia untuk apa? 

-- 

Sejak itu, paling kurang dalam sehari dia usaha cukupkan solat yang tak pernah cukup. Dia masih merokok, cuma sembunyi-sembunyi dan sendiri-sendiri. Paling kurang pun, mudarat biar saja terkena diri, jangan menimpa orang lain. Dia cuba cari buku-buku agama, lengkapkan asas yang masih kurang. Paling ringkas pun, dia telaah bab wuduk dan rukun solat. 

Dia cuba mengeja huruf alif, ba, ta, yang dia tak pernah kenal sepanjang 25 tahun hidup. Dari ulasan ceramah-ceramah agama, kata Ustaz; biarlah sikit-sikit, asalkan buat. Dia masih teringat tentang ulasan hadis yang pernah Ustaz ceritakan. 

Tentang pemuda yang sedang bermusafir. Segala kelengkapan, makanan dan minuman diletak di atas unta tunggangannya. Tiba-tiba, untanya hilang, dan dia bagai kehilangan segalanya. Bayangkan, terik panas di padang pasir, tanpa apa-apa. Kepenatannya berfikir, membuatkan dia langsung tertidur. Bila tersedar, untanya berada di sebelah, dan dia tersangat gembira. 

Kata Ustaz, disebabkan terlampau gembira, dia langsung mengatakan, “Oh Allah, engkaulah hambaku. Akulah TuhanMu.” Dan kata Ustaz itu lagi, kalaulah begitu gembiranya seorang hamba, kegembiraan Allah malah lebih tersangat hebatnya dari pemuda tadi, kalau salah seorang hambaNya bertaubat dan kembali padaNya. Mendengarkan ulasan hadis itu, Jat menangis bertalu-talu. 

-- 

Nadia beria-ria datang bengkel. Dia dapat kerja baru. Kerani di salah sebuah syarikat. Gaji meningkat, berbanding kerja-kerja andaman yang tak seberapa. Dia mahu Jat tahu. Dia mahu Jat gembira.

“Jatt..” Nadia terdiam. Jat tengah sujud. 

“Kau.. kau solat?” Nadia terkelu. Entah, hatinya diserbu rasa haru, sesal, dan malu. Tak seperti selalunya dengan jeans, hari ini dia lihat Jat berkain pelekat. Rambutnya basah. Wajah dia tenang. Dan Jat menggumam bacaan-bacaan solat, yang dia sendiri tak pernah dengar.

Nadia mahu segera pergi, sebelum Jat sedar dia di situ. Nadia merasakan, dia sangat jauh. Mereka berbeza, mereka tak sepadan, mereka bukan lagi serasi. Mungkin inilah, sebabnya Jat makin banyak diam. Makin menjauh. Makin dingin. Mungkin tunggu masa saja, untuk Jat mengatakan semua itu. Untuk dia ditinggalkan sendiri.

Nadia mengundur setapak dua tapak, senyap. Dalam hati-hati, tanpa menoleh kakinya tersadung pada bucu meja. Nadia terjatuh. Jat berpaling. Nadia kaku. Tangisnya lebat. 

“Nadia.. kenapa?” Jat tertanya-tanya. 

“Aku..aku.. kau solat?” Jat angguk, serba salah. Jeda sesaat.

“Inilah sebabnya bila aku ajak ke mana-mana kau tolak? Makin diam? Dan, hubungan kita, makin dingin?” Nadia cuba bertenang. Dilapnya air mata dengan bucu Kardigan labuh yang disarung ke atas tee tanpa lengan. Nadia cuba berdiri. Kakinya pedih.

Jat diam, mengangguk lagi. 

“Kenapa tak beritahu aku? Aku akan faham, kalau kau tolak aku sekalipun.” Nadia pegang bucu meja, cuba berdiri lagi. Hatinya cukup terkilan. 

“Aku..aku belum bersedia. Takut kau tak boleh terima.” 

“Nadia..” Jat cuba menyusun kata, lembut. Mata mereka bertembung. Nadia tunduk.  

“Dulu, kita bersama Jat. Aku senang cara hidup kita. Kita bebas bercakap apa saja. Kita kongsi masalah masing-masing. Hidup kau, hidup aku. Takkan kau dah lupa?” 

“Aku cuma rasa, aku masih tak layak nak bimbing. Aku tak ada apa-apa nak dikongsi. Aku tak kuat untuk jadi penyokong. Masih banyak aku kena belajar.” 

“Bukan itu yang aku nak. Paling kurang, aku cuma nak teman untuk sama-sama belajar. Kalau kau berubah jadi baik, kita sama-sama berubah jadi baik! Sama-sama menyokong. Sama-sama membimbing. Sama-sama menguatkan. Itu saja.” 

“Nadia, aku sayang kau. Cuma, aku sedar, aku banyak buat salah. Kalau sayang, patutnya aku bawa kau kenal Tuhan. Bukan bawa kau ke jalan dosa. Aku, aku, entahlah!” Jat bingung.

“Kau.. nak kita pisah?” Tutur Nadia, jujur dalam sebak.

“Nadia, kita kahwin? Jadi yang halal untuk aku?” Spontan. Nadia ditenung dalam-dalam.

Dalam sedu-sedan yang masih bersisa, Nadia terpandangkan t-shirt putih tergantung di dinding berkayu, berlatarkan tulisan jawi merah putih, “mim-ya-ro-ya-mim-ya”, dan bertanda soal di hujung. Nadia cuba mengeja perlahan-lahan; 

“mim-ya-ro-ya mim-ya?”
“MARRY ME ?” 

"Kreatif!" Tukasnya.

Nadia angguk, setuju. Jat senyum, syukur.



-- 

Sunday, 18 March 2012

Aku dan Pari-Pari Senja



Langit ungu magenta. Bertompok-tompok dengan jingga yang samar-samar. Celahan buat anak burung main-main dulu sebelum pulang. Pedulikan warna langit, aku lebih selesa melontar batu ke tengah tasik. Kilauan tenang yang mengujakan. Dua tiga ketul batu sebesar genggaman, jadi panah. Entah, buat siapa. 

Lama-lama pusaran makin ligat. Makin laju. Makin terganggu. Dalam sedar, rupanya kilau itu makin bercahaya, menyilau pandangan. Dan tiba-tiba, dia muncul. Kehadirannya benar-benar mengerdipkan mataku berulang kali. 

"Giselle? Giselle, Enchanted?" Tanya dia sambil sayapnya dikibar-kibarkan. Uniknya, warna sayap persis bendera Malaysia. Soalan tak bersambut, aku hanya tergelak kecil sebab dia macam pengibar tegar Jalur Gemilang. 

"Manakan? Sedang loghat dia lain benar." Aku berbasa-basi dalam hati.
 
"Oh, ini Malaysia. Tanah Melayu, dulu kala. Maafkan aku, teman. Aku lupa." Buat kali kedua, hati aku teruja. Dia yang berwajah pan-asia rupanya lulus berbahasa Melayu. Aku tenung dalam-dalam. Dia menundukkan kepala, tanda hormat. Aku sekadar melontar senyum.  


"Lalu, kalau kau bukan Giselle. Siapa namamu? Tun Fatimah? Atau Hang Li Po? atau Cik Siti Wan Kembang?" Kali ini, dia terbang dekat. Melingkar di kepalaku yang bertutup. 

"Aku.. aku."  Suaraku tersekat-sekat. Dia melirik manja. Sayap Jalur Gemilangnya dikipas-kipas lagi. 

"Oh, tidak mengapa. Teman, aku pari-pari senja. Peneman susahmu. Penghibur laramu. Katakan, apa hajatmu? Akanku tunaikan."

Aku lagak kisah dongeng Cinderella, tanpa pakaian cantik yang didatangi pari-pari. Atau pari-pari tua dalam sinetron Bawang Putih Bawang Merah, ya? Ataukah aku ada menggesek mana-mana tembikar seperti Aladdin.. eh, Aladdinah? Ah, pedulikan. 

"Kau mahu ke pesta tari, tapi tak punya pakaian indah? Atau kau mahu ke Zauk, tak punya BMW? Atau kau mahu menemukan cinta sejati dari pemuda tampan? Atau kau mahu rasa kilau emas dari Habib Jewels?" 

Aku terpempan. 

"Tidak. Itu bukan budaya kami, negara Islam. Aku Muslimah." Kata-kataku buat dia tersentak. 

"Oh, namamu Muslimah?"  Aku mengangguk, mengiyakan.

"Namaku Muslimah. Namun, hatiku juga Muslimah, dan seluruh hidupku harus Muslimah. Prinsipku bertentangan dengan segala tawaranmu." Kataku, bangga. 

Dia mengangguk-angguk. Dia senyum dengan cara tersendiri. Peliknya, tetap manis tanpa gigi. Serasa aku juga, lidahnya biru laut. Oh!

"Kalau begitu, aku tahu apa mahumu. Kau mahu jubah kilat-kilat? Atau sepersalinan kebaya moden? Atau selendang dengan bonggol meninggi, buat tampak ranggi? Atau tudung dari kain bawal yang tipis dan selesa?"

Aku geleng lagi.

"Maaf, sudah aku katakan. Aku Muslimah yang Muslimah. Muslimah yang berpegang pada syariat dan hukum Allah. Dan aku cukup berbangga dengan itu."

Wajahnya memerah. Tidak puas lagi dengan itu, dia membangga-bangga diri. Merisik diriku, tanpa jemu. 

"Kalau itu mahumu, aku beri kau tudung labuh. Aku beri kau sepersalinan kurung sopan. Aku penuhkan di dadamu, dengan ilmu. Aku corakkan pemikiranmu, biar matang. Aku tampakkan kau 'alim di depan semuanya. Lalu, kau akan dipuji-puji. Bukankah itu akan membanggakanmu, wahai Muslimah? Err, maksudku, membanggakan agamamu jua, seperti yang kau mahu?"

Aku terdiam sejenak, memikir. Camar senja menghilang. Tinggal pondok yang bercahaya terang disinar lampu dinding. Bunyi air yang ligat. Dan juga, dua tiga ekor nyamuk yang nyet nyet, tak putus asa mencari darah. 

Dia senyum manis-manis. Sepertinya, pancingannya cukup mengena. 
"Duhai pari-pari senja, bolehkah kau jadikan aku..?" 

Tanpa sempat menghabiskan kalam, dahiku terasa gatal. Pap! Aku tenyeh kuat-kuat. Darah merah kelihatan pada telapak tangan. Sambil dalam hati menyumpah-nyumpah, "Cis, nyamuk! Berjaya juga kau." 

Langsung hati cepat-cepat pula beristighfar. 

"Izinkan aku.. Izinkan aku jadi perempuan sederhana. Yang mencintai akhirat. Kabulkanlah!" 

Aku sedar dari mimpi. Mujur sekali, doaku pada Allah, bukan pada pari-pari. 

Astaghfirullah, syirik tu!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...