Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.
Showing posts with label Koleksi Cerita Ariff Masrom. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Cerita Ariff Masrom. Show all posts

Wednesday, 26 September 2012

Gambar


Langkah Rahmat terhenti. Dia terdengar bunyi pintu dikuak. Dia berdiri dibelakang pintu sambil memegang kayu baseball yang dibawanya. Rahmat membetulkan topeng di kepalanya.

Bunyi tapak kaki semakin kuat. Tuan rumah masih belum tidur. Rahmat menunggu dengan fokus. Jika sampai dia lalu di depannya, memang kayu baseball ini hinggap di kepalanya.

Tuan rumah itu pergi ke dapur. Pintu peti ais dibuka dan sekotak jus oren jenama Marigold dikeluarkan. Dia cuba mengambil cawan di rak berhampiran dengan sinki. Dari dalam gelap, Rahmat keluar dan menghayun kayu baseball sekuat hati tepat ke kepala tuan rumah itu.

Padan muka kau. Celaka. Aku ingat kau dah tidur.

Tuan rumah ditinggalkan terbaring di lantai dapur. Lantai dapur dipenuhi darah. Rahmat mencari tangga untuk naik ke tingkat atas rumah ini. Dia melihat kiri dan kanan kalau ada orang lain di dalam rumah ini yang mahu kepalanya dilibas dengan kayu baseball. Rahmat menaiki tangga dan nampak pintu bilik utama terbuka luas.

Dia harus cepat selesaikan tugas dia. Ada benda yang dia perlu ambil dari dalam rumah ini. Lebih tepat bilik orang-tua-yang-terbaring-dengan-kepala-berlumuran-darah ini. Rahmat harap dia cuma pengsan, bukan mati.

Rahmat menggengam erat kayu baseball di tangan kanannya. Dia berjalan perlahan-lahan ke bilik utama. Sunyi. Mungkin tiada orang lain di dalam rumah ini. Senang sedikit kerja dia malam ini.

Satu per satu laci di dalam bilik itu digeledah. Bilik utama itu kini berselerak dengan baju-baju dari dalam laci. Apa yang di cari Rahmat masih tidak jumpa. Dia tidak akan berputus asa. Sudah lama dia menunggu saat ini. Dia mesti habiskan apa yang telah dimulakan.

Dia memecahkan almari baju. Rahmat berdiri di hadapan laci yang berkunci. Laci yang dikunci itu dipukul dengan kayu baseball dan laci itu terbuka. Rahmat jumpa apa yang dicarinya. Gambar seorang wanita awal 30-an sedang mendokong seorang budak yang berusia dalam lingkungan 2 hingga 3 tahun. Rahmat tersenyum puas.

Rahmat bergegas keluar dari bilik itu. Dia berlari ke dapur. Tuan rumah tersedar dari pengsannya. Dia memegang kepalanya yang berdarah. Sebelum Rahmat keluar, dia membuka topengnya. Di hadapan pintu dapur, Rahmat mengangkat gambar yang diambilnya dari dalam bilik utama sebentar tadi.

"Ini sahaja gambar mama yang Mamat ada. Kau boleh pergi mampus dengan isteri muda kau!"

Rahmat meninggalkan rumah yang pernah dia duduki dahulu bersama arwah mamanya.


Tuesday, 25 September 2012

Gelanggang


Dia gagal untuk mengelak. Tumbukan padu lawannya kali ini tidak dapat di tepis. Darah mengalir di pipi kanannya. Tumbukan lawannya sebentar tadi mengoyakkan kulit wajahnya. Dia memandang tajam ke arah lawannya dan memberi isyarat supaya menyerangnya lagi.

Dia harus menang perlawanan yang terakhir ini. Rumahnya menjadi taruhan. Duit kemenangan sebanyak RM 1,000,000 akan memberi peluang untuk dia menebus semula rumahnya yang kini milik Ah Long kerana gagal menjelaskan hutangnya sebelum ini.

Dia hanya mahu rumah untuk isteri dan 2 orang anak lelakinya. Dia berlawan bermati-matian demi mereka.

Sudah cukup aku bertahan, kata dirinya. Giliran dia pula menyerang lawannya. Dia mara ke hadapan bersama tumbukan bertubi yang diarahkan ke arah muka lawannya. Padu.

Lututnya diajukan ke arah sisi kanan lawannya yang terdedah. Lawannya semakin lemah. Dia menarik lengan kanan lawannya dan mencampaknya ke lantai. Dia mengepit lengan lawannya dengan teknik kegemarannya yang dipanggil "Cross Armbar". Lawannya menjerit kesakitan dan meronta-ronta cuba melepaskan diri.

Dia menarik lengan kanan lawannya sekuat hati. Lawannya masih bergelut. Berusaha untuk melepaskan diri. Penonton bersorak memanggil namanya. Dia semakin kuat menarik tangan lawannya. Dia harus menang perlawanan ini.

I give up!! Give up!! " lawannya menjerit kepada pengadil sambil menepuk lantai sebagai tanda dia menyerah kalah. Pengadil meniup wisel. Dia melepaskan tangan kanan lawannya dan berlari keliling gelanggang. Dia menang. Rumahnya selamat. Lawannya hanya tersenyum pahit.

Saat dia melintasi lawannya, terdengar satu bisikan.

" Jaga diri kau dan keluarga kau baik-baik, abang. Kali ini aku bagi kau menang."

Dia senyum. Isteri dan anak-anaknya bersorak di tepi gelanggang. Mereka kini ada rumah untuk berlindung.

Terima kasih, adik.


Friday, 20 July 2012

Gadis Berskirt Hitam dan Xylophone Warna-warni.


Hari ini aku pulang lambat lagi dari kerja. Jam pun sudah menunjukkan hampir jam 11 malam.  Orang sudah tidak ramai lagi yang berada di stesen LRT Masjid Jamek ini. Aku menunggu LRT untuk tiba. Tak sabar rasanya untuk pulang ke rumah di Taman Cempaka. Sejuk. Kipas yang berputar laju itu memang bertiup ke arah aku. Tiba-tiba aku ternampak kelibat seorang gadis genit. Comel. Berskirt hitam dan berbaju bunga-bunga. Di tanganya ada sebatang lolipop perisa strawberry dan dia menggalas kemas bag merah yang berisi sebuah xylophone warna-warni.

LRT pun sampai. Lambat 5 minit dari masa yang telah dipaparkan di skrin waktu ketibaan. Aku lihat dia masuk ke dalam LRT juga. Aku masuk dengan pantas sebelum pintu LRT tertutup. Aku hampir tertinggal kerana leka melihat gadis itu. Nama dia Luna.Kami berada di dalam gerabak yang sama. Aku rasa nama dia Luna. Mungkin kerana aku suka nama Luna dan dia seperti gadis yang bayangkan dalam mimpi aku setiap malam.

Dia duduk di sudut hujung LRT. Tiada sesiapa pun di sana. Dia tersenyum menikmati lolipop perisa strawberry nya itu. Dia membawa keluar xylophone warna-warni nya dan memainkan lagu kegemarannya. Aku rasa itu lagu kegemarannya kerana dia begitu asyik memainkan lagu itu. Aku juga terikut-ikut menggoyangkan badan mengikut irama lagu itu. Aku semakin mendekati Luna yang sedang gembira di sudut hujung gerabak ini.

Tiba-tiba aku terasa seperti kaku. Tubuh aku membeku. Aku lihat dia semakin rancak memainkan lagu itu. Semakin laju. Semakin laju hingga lolipop di mulutnya di campak jauh ke arah lain. Aku dapat rasakan kaki aku sudah membeku hingga ke paras lutut. Luna melihat aku sambil tersenyum. Selama aku hidup, itu lah satu senyuman yang paling manis dalam masa yang sama paling jahat pernah aku lihat.

Dada aku sudah pun membeku. Luna masih bermain xylophone warna-warninya. Dia ketawa melihat aku yang semakin membeku. Aku berharap sangat dia berhenti bermain. Tiba-tiba pemandu LRT membuat pengumuman. "Stesen berikutnya, Pandan Indah. Pandan Indah." Luna berhenti bermain dan mula mengemas barang-barangnya. Aku dapat rasakan badan aku mulai panas. Sebelum Luna keluar, dia melihat aku dan melemparkan satu senyuman yang manis dan satu kucupan terbang pada aku. Aku membalas senyumannya walau pun tubuh aku masih sakit dan menggigil. Dia keluar dan aku melihatnya...semakin hilang....semakin hilang....ghaib.

Celaka, aku masih tidak tahu nama sebenarnya.

Thursday, 28 June 2012

Aku, Temu Duga dan Darah.


Aku berlari ke tandas dengan kelajuan semaksimum mungkin. Aku sudah tidak mampu tahan lagi rasa ingin membuang air ini. Hampir 30 minit aku menunggu teman serumah aku selesai mandi. Apa yang dia lakukan di dalam bilik air tu, aku pun tidak tahu. Apa yang seronoknya duduk lama-lama di dalam bilik air yang busuk dan tidak berbasuh yang boleh dikatakan hampir 3 bulan tidak berbasuh. Kali terakhir ia dibasuh pun, oleh aku. Nak harapkan dia, memang tak lah. Hidup dia hanya DOTA, DOTA, DOTA. Kepala otak dia!

Aku dah serabut dah memikirkan apa alasan aku nak bagi pada bakal bos aku nanti. Temu duga sahaja aku sudah lambat. Kemungkinan besar apabila diterima berkerja nanti, aku akan datang lambat juga atau mungkin tidak datang langsung. Tapi, biarkan itu semua Dia yang tentukan. Jam di dinding terus berdetik.

Aku sarungkan kemeja merah maroon lengan panjang yang sudah siap diseterika malam sebelumnya dan seluar slack hitam yang nampak jelas kesan diseterika itu. Tak sia-sia aku masuk asrama dulu. Aku capai tali leher hitam yang siap digantung dibelakang pintu dan stokin di atas almari dan aku bergegas keluar .  Sebelum keluar aku cuba membasahkan tekak aku dengan meminum kopi o sejuk semalam. Sempat juga aku menjeling ke arah jam di dinding sekali lagi. “Celaka. 30 minit dah aku lambat!”

Setibanya ke pejabat tempat temu duga itu diadakan, aku lihat ada 2 orang calon, bukan, musuh yang mahu mencuri kerusi tempat duduk aku di dalam pejabat ini. Hey, aku keturunan Hang Tuah lah. Takkan mudah mengaku kalah. Aku masuk dengan muka yang paling angkuh walau pun sebenarnya aku lambat hampir 1 jam untuk temu duga ini. Peduli apa aku? Aku keturunan Hang Tuah.

“Ya. Boleh saya bantu?” seorang gadis cantik berambut panjang beralun, berkaca mata, berbaju kemeja putih, berseluar slack hitam menegur aku dari balik meja kaunter pertanyaan. Cantik. Sekali lihat adalah seperti Zooey Deschanel. “Oh, saya datang untuk temu duga.” Aku menjawab sambil menolak rambut aku yang menutup mata aku. Mana mungkin aku membiarkan mata menghalang aku untuk menatap wajah gadis cantik itu. “Nama encik?” dia bertanya lagi. “Nama saya, Ahmad Fuad bin Zainal.” Aku menjawab dan senyum kepadanya. “Erm…encik dah lambat untuk temu duga. Tapi, tak mengapa…saya akan beritahu pada bos. Sila duduk dahulu ya?” dia mengangkat ganggang telefon dan menekan butang nombor yang ada pada telefon itu. Aku mengucapkan terima kasih dan terus duduk di ruangan menunggu.

Menunggu itu ada lah sesuatu yang tak pernah seronok. Lebih-lebih lagi menunggu sesuatu yang penting untuk kita, dan kita perlu duduk bersama mereka yang ingin mengambil perkara yang penting itu daripada kita. Aku hanya melihat 2 orang lelaki yang lain dengan perangai mereka masing-masing. Lelaki pertama yang memakai kemeja biru dan seluar slack hitam dipadankan dengan tali leher putih itu, sibuk bermain dengan telefon pintarnya. Aku syak dia sedang asyik di Twitter berkongsi perasaan gemuruhnya. “Aku sedang tunggu untuk temu duga ni. Gemuruh baq hang!”. Mesti dia mengharapkan ucapan “all the best!” atau “awak boleh!” daripada kawan-kawannya di Twitter. Yang lagi seorang itu, dengan baju kemeja biru lengan panjang dan seluar slack hitam, dipadankan dengan tali leher berwarna hijau. Aku syak dia itu buta warna atau pun dia punya citarasa yang teruk dalam berpakaian. Jelas kelihatan perasaan gemuruhnya itu. Tak senang duduk dia di kerusi itu. Sibuk menyelak sijil-sijil yang ada di dalam fail yang dibawanya. Aku sekadar menggelengkan kepala dan membiarkan mereka. Lebih baik aku main game Angry Bird di telefon pintar aku. Kisah apa aku orang nak kata apa. Aku gemuruh juga sebenarnya. “Encik Ahmad Fuad. Sila masuk.” Nama aku dipanggil. Aku menjeling ke arah 2 lagi lelaki tadi dengan angkuhnya.

“Selamat pagi, tuan.” Aku senyum dan meletakkan fail yang penuh dengan sijil-sijil yang aku rasa mampu meyakinkan lelaki dihadapan aku ini untuk memberikan kerja sebagai pelukis plan itu kepada aku. Aku berdiri melihat dia. “Oh, selamat pagi. Kamu lambat.” Dia melihat aku sambil memeluk tubuhnya.

Aku sudah mula berasa gemuruh, tapi aku tahan dan tenang menjawab soalan dia. “Maafkan saya tuan. Saya ada hal penting tadi…” aku menjawab dengan yakin. “Oh, ada kerja penting eh? Lebih penting daripada temu duga ini?” Dia semakin serius. Aku sudah mula menggigil. Celaka! Sepatutnya aku sudah sediakan alasan untuk semua ini. “Hari ini…hari ulang tahun kelahiran saya tuan.” Aku tidak tahu macam mana boleh keluar jawapan itu. “Oh, happy birthday. Mesti mak dan ayah kamu sediakan sarapan yang sedap-sedap untuk kamu. Oh, saya patut beri kamu kek kan? Kek coklat boleh?” dia menjawab sambil menjeling aku.

Aku mula berasa marah, tetapi aku tahan lagi. Boleh tahan juga perangai bakal bos aku ni. Aku cuba mencari alasan yang power untuk selamatkan aku. “Erm…biasanya setiap kali ulang tahun kelahiran saya…” belum sempat aku habiskan ayat aku, dia mencelah. “Apa? Setiap kali ulang tahun kelahiran kamu, kamu lambat untuk semua perkara?” dia ketawa dengan sangat angkuh. “Tidak tuan. Setiap kali ulang tahun kelahiran saya, saya pergi derma darah di hospital. Sebab itu saya lambat hari ini” Aku menjawab dengan muka yang paling tenang. Dia berhenti ketawa dan berubah wajahnya. Aku bagaikan terdengar petikan piano bermain di dalam bilik. Aku ketawa di dalam hati.

“Erm…erm…sila kan duduk. Kita mulakan temu duga sekarang.” Aku lihat dia sudah tidak senang duduk. Rasa bersalah lah tu. “Oh, terima kasih, tuan.” Aku duduk di kerusi empuk yang disediakan. Temu duga pun bermula. Aku harap aku dapat kerja ini dengan berbekalkan sijil-sijil aku dan alasan yang power sebentar tadi. Yang lain aku serahkan kepada Dia di atas. Tapi, aku masih marah dengan teman serumah aku. Celaka! Dia lah punca aku lambat untuk temu duga. Mandi lama sangat apa hal? Celaka!


Wednesday, 9 May 2012

Gadis pembancuh kopi


Pagi ini, aku mulakan pagi aku dengan pergi ke Coffee Bean, Ipoh. Aku mesti ada sekurang-kurangnya satu sesi mengopi. Susah juga bila dah ketagih dengan kopi. Ramai juga orang di Coffee Bean pagi itu. Dari apa yang aku dapat lihat, ada yang datang bersama keluarga, ada yang seorang diri, ada yang bersama pasangan dan ada yang sepertinya sedang membincangkan perihal projek yang boleh memberi pulangan sehingga jutaan ringgit. Serius benar riak wajah mereka. Aku biarkan sahaja mereka sebab misi utama aku adalah untuk mengopi di waktu pagi.

Panjang juga barisan di kaunter. Di hadapan aku sahaja sudah ada 4 orang pelanggan. Aku yang ke-5. Lambat juga penjaga kaunter ini ambil pesanan. Aku amati nama di tag namanya. Joy. Lambatlah kau ni, Joy. Ketika sedang asyik menunggu giliran untuk membuat pesanan, aku perasan ada seorang gadis comel di balik kaunter itu. Dia bercermin mata, rambut panjangnya diikat kemas, dan ada topi dikepalanya. Sibuk membancuh kopi untuk pelanggan-pelanggan di situ. Baiklah, ini rahsia yang aku rasa bukan rahsia lagi. Gadis yang berkacamata, ada lesum pipit adalah makhluk tuhan yang paling cantik dijadikan Dia. Tambahan pula, dia tahu membancuh kopi. Untuk seorang lelaki yang gilakan kopi seperti aku, itu ada lah ciri-ciri yang cari untuk calon isteriku.

Sewaktu giliran aku tiba, terbit satu haruman yang aku rasa lebih wangi dari kasturi. Jika tadi aku hanya mampu lihat dari jauh, kini dia ada di depan aku, mengambil pesanan aku. Aku lihat mata di sebalik cermin mata itu. Cantik. Aku lihat senyuman ikhlas itu. Manis. Senyuman manis dan mata yang cantik. Aku suka. Ah, jika lebih lama aku lihat dia sebegitu, boleh pecah cermin mata dia. Mungkin juga calar-balar wajahnya dek tajamnya padangan aku. Aku cuba susun kata.

"Ya, encik. Boleh saya ambil order?"
"Okay. Bagi saya Mocha Iced Blended satu. Coffee bagi strong. Letak krim juga ya."
"Okay. Nama encik?"
"Oh, nama saya Ariff. Nama cik?" Aku sengaja mengusik dia.
"Haa...?" Dia terkejut dengan persoalan aku tadi.
"Hahaha. Saya gurau saja, cik....Nadia.Okay, cik Nadia. Erm, boleh bagi resit?" Aku jeling tag namanya.
"Haa...sekejap. Okay, nah. Terima kasih, encik." Dia senyum dan beri resit kepada aku.

Seketika kemudian aku nampak dia tersenyum sambil membancuh kopi yang aku pesan sebentar tadi. Dia nampak seperti seorang professional dalam bidang membancuh kopi. Semuanya berjalan dengan lancar. Sukatan kopinya, berapa ketulan ais yang patut ada, berapa banyak krim yang patut diisi, dan yang paling aku kagum dia bancuh kopi aku sambil menyanyi lagu yang ketika itu sedang berkumandang di radio. Lagu kegemaran aku juga sebenarnya. Every Breath You Take nyanyian The Police. Kami masing-masing seolah berjanji untuk menyanyi bersama.

Dan kemudian Nadia datang kepada aku yang berdiri sambil memeluk tubuh di ruangan menunggu. Menunggu kopi yang aku rasa bakal menjadi kopi yang paling sedap pernah aku minum. Dia memanggil nama aku.

"Encik Ariff! Encik Ariff!"
"Ya, saya cik Nadia. Saya kat sini je. Tak payah jerit." Aku senyum kepada dia.
"Okay. Ni air encik. Terima kasih. Datang lagi." Nadia berikan senyuman yang manis kepada aku. Lebih manis daripada senyuman yang dia berikan kepada aku di kaunter tadi.
"Okay. Esok saya datang lagi ya."

Nadia hanya tersenyum melihat aku. Bibir aku terus menyedut Mocha Iced Blended yang memang kegemaran aku ini. Benar seperti apa yang aku fikirkan. Inilah kopi yang paling sedap pernah aku minum. Aku tersenyum sepanjang perjalanan aku ke pejabat. Senyuman yang paling bahagia pernah terukir di wajah aku. Sekarang aku punya alasan untuk habiskan duit aku untuk kopi. Esok aku perlu rangka rancangan yang lebih terperinci untuk menarik perhatian Nadia.

Ya, aku sudah jatuh cinta agaknya.



Monday, 16 April 2012

Janji Dulu

"Awak ingat saya lagi, zack?"

Zack terkejut. Mata yang bercahaya itu, dia ingat. Mata yang dulu pernah dia puji cantiknya. Puas di puji, dipuja pula mata itu. Mana mungkin Zack melupakan mata itu. Jantung Zack berdegup laju.

"Zack. Ni Fira lah. Kenapa awak termenung ni?"

"Mustahil. Mana mungkin awak ada di sini. Mustahil."

"Kenapa pula awak cakap macam tu?"

"Saya dah bunuh awak. Lepas awak putuskan hubungan dengan saya, saya tembak awak di kepala. Saya dah buang awak di sungai hujung kampung sana."

Dahi Zack mula dipenuhi peluh dingin. Ah, ini celaka.

"Ya. Awak bunuh saya. Awak tembak saya di kepala. Lihat, ini kesannya. Masih ada."


"Apa awak nak lagi dari saya ni?"

"Awak. Malam ni kan malam jumaat. Awak lupa apa awak janji dulu dengan saya? Saya datang macam yang awak janji dulu. Malam jumaat kan malam kita."

Zack mula takut. Tubuhnya mula dibasahi peluh. Zack mula menyesal menolak pelawaan Asmida keluar makan malam ni. Celaka.

Kamar bilik dikunci. Zack matikan semua lampu. Dan malam ini, seperti yang pernah dijanjikan, Zack dan Fira bersama semula.


********************************************

"Awak?"

"Ya saya."

"Saya janji dengan awak. Malam Jumaat akan jadi malam untuk kita berdua. Walau pun awak atau saya dah tiada lagi di dunia ni."

"Saya pegang janji awak."

Pipi Zack dicium Fira dengan lembut.

Monday, 9 April 2012

Kawan dan Cinta

Tik...tik...tik...tik...

Kamal teringat peristiwa petang tadi. Sesuatu yang buat dia jadi begini. Tersenyum di malam hari.

"Eh, Kamal. Tu bukan ke Nadia?" Bahu aku ditepuk Ahmad.
"Haa..? Apa dia?" Aku terkejut dan cawan di tangan hampir jatuh.
"Tu... Nadia tu. Kau nampak tak?" Ahmad memegang kepala aku dan menghalakan ke arah kanan aku.
"Eh, Nadia...." bisik aku perlahan.

Nadia. Kawan baik aku. Yang paling aku sayang, aku rasa. Ini mungkin tidak ikhlas, tapi aku jujur. Apa dia buat di sini? Bukankah dia sekarang patutnya masih di Paris? Banyak pula persoalan dalam kepala otak aku ini. Ah, kurang ajar sungguh Ahmad. Hilang mood aku hari ini gara-gara kau.

"Ah, biar lah dia. Malas aku nak ambil tahu." Sebatang rokok diambil dari kotak merah diatas meja.
"Kau ni, Kamal. Ego kau setinggi gunung Everest tu, kau tahu?" Ahmad menggelengkan kepalanya.
"Hahaha. Kalau ada yang lebih tinggi daripada itu, haa... setinggi itu ego dia." Aku ketawa.
"So, kau tak nak pergi tegur dia ke? Dia sorang tu kat sana? Pergi lah"
"Ah, MALAS. Biar lah dia. Aku malas ambil tahu dah." Asap aku hembus ke muka Ahmad.
"Woi! Busuk lah!"Ahmad menutup hidungnya.
Aku ketawa melihat telatah Ahmad.

Malam itu selepas aku pulang dari kerja, aku pergi ke Starbucks yang sama aku datang untuk lunch tadi untuk menenangkan fikiran aku. Ah, banyak sungguh memori yang aku ada dengan dia. Semua rasa ada. Suka, gembira, sedih, sakit, lengkap. Aku duduk di sudut kedai kopi itu dan mengeluarkan iPod aku. Sudah hampir 2 tahun, namun gambar kami bersama tetap aku simpan di dalam iPod ini.

"Kenapa kau buat aku macam ni?" Aku berbisik lembut.
"Kau kata kau kawan baik aku, tapi kau tinggal aku seorang diri di sini."
"Tiba-tiba sahaja kau pergi tinggalkan aku. Kenapa?" Aku menyalakan rokok di tangan.

Aku ketawa mengenangkan aku yang dahulu tergila-gilakan seorang gadis yang memang dari mula aku tahu tidak layak untuk aku mencintai dia.

***

Petang itu, aku bergaduh dengan Arina. Perempuan yang aku sayang. Namun, sayang dia pada aku masih menjadi tanda tanya. Lalu, Arina ambil keputusan untuk memutuskan hubungan kami. Aku cari Nadia petang itu.

"Sudah lah. Tak payah fikir sangat. Relax lah, Kamal" Nadia cuba menenangkan aku.
"Aku tak sangka dia buat aku macam ni. Sedih weyh!" Aku menolak tangan Nadia.
"Ya. Aku faham. Tapi, kalau dah takde jodoh...nak kata apa?" Nadia masih cuba menenangkan aku.
"Habis tu...selama ini...itu apa? Ah!" Aku menepuk meja.
"Sabar lah, Kamal. Aku tampar juga kau nanti. Orang tengok lah, mangkuk." Nadia meninggikan suara.
"Ah, pergi meninggal lah!"

Nadia orang pertama aku cari bila Arina ucapkan ayat keramat, "Kita putus, eh. Sorry.". Nadia sentiasa ada bersama aku. Ah, mana dia sekarang. Lama aku tak jumpa dia. Aku perlukan someone untuk berkongsi masalah aku ini. Aku tahu yang Nadia ada hati pada aku. Ahmad pernah beritahu pada aku.

***

"Eh, Kamal. Kau buat apa kat sini sorang-sorang?"

Aku terdengar seseorang memanggil aku. Aku kenal suara ini. Ya, aku pasti aku kenal suara ini. Nadia.

"NADIA!" Aku buang rokok di tangan aku dan memeluk Nadia.
"Woi...woi! Apa peluk-peluk ni? Orang tengok woi!" Nadia menolak tubuh aku.
"Eh, tak sengaja. Hahaha. Kau pergi mana selama ni, Nadia? Aku call  tak pernahnya dapat. Kau tukar nombor telefon eh?" Aku masih teruja berjumpa dengan Nadia. Dia masih cantik seperti dulu.
"Aku ikut family aku pergi Paris. Aku ada cakap kat Ahmad suruh cakap kat kau." Nadia menarik kerusi dan duduk di tepi aku.
"Ahmad. Ah!" Aku genggam tangan kanan aku.

Kami berbual panjang malam itu. Ah, Nadia. Dia tetap cantik seperti dulu. Kenapa dia larikan diri daripada aku 2 tahun ini?

"Nadia... kau marah aku ke?" Aku bertanya.
"Kenapa aku nak marah kau pula?" Nadia berasa pelik.
"Ya lah. Semenjak aku marah kau dulu, kau tak bercakap dengan aku pun. Kau nak pergi Paris pun kau tak cakap dengan aku. Sedih lah macam ni..." Aku tunduk.
"Mana ada aku marah kat kau. Kita kan kawan. Aku sayang kau lah, kawan." Nadia tersenyum.
"Kalau aku cakap aku sayang kau juga, macam mana?" Aku bertanya.
"Haa...? Apa maksud kau ni?" Nadia pelik.

Aku bawa keluar dompet dari poket seluar. Aku tunjukkan gambar kami berdua ketika di tingkatan 2.

"Nadia, kau ingat tak gambar ni?" Aku senyum.
"Eh, gambar ni. Masa ni kita ponteng sekolah lepas tu lepak kat rumah kayu atas pokok depan rumah kau tu kan?" Nadia ketawa besar.
"Kau ingat tak aku cakap apa masa tu?" Aku bertanya
"Apa eh? aku lupa lah.".
"Aku cakap kalau sampai umur aku 28 tahun dan ketika itu aku masih lagi single, aku nak kahwin dengan kau." Aku ketawa.
"Apa benda kau cakap ni, Kamal?" Nadia ketawa.

Aku tunduk dan senyum.

"Nadia, hari ini birthday aku yang ke 28. Aku tak tahu macam mana semua ni berlaku. Tapi, aku rasa takdir bawa kau datang kepada aku semula." Aku bercakap lembut.
"Hahaha. Apa benda lah kau merepek ni, Kamal?" Nadia menggelengkan kepalanya.
"Nadia, kau nak tak jadi kawan baik aku, teman memasak aku, teman kemas rumah aku, isteri aku yang sah?" Aku pandang ke mata Nadia.
"Aaaaaa.....aaaaa....." Nadia tidak mampu berkata-kata.
"Dah lama aku nak cakap, tapi aku tak nak hubungan kawan kita putus. Aku sayang kau lah, Nadia."
"Bodoh!" Muka aku ditampar Nadia.
"Berapa lama kau nak tunggu baru nak cakap ha?" Aku nampak mata Nadia mula berkaca.
"Sorry lah." Aku mengosok pipi kanan aku. Kuatnya tangan perempuan ni.
"Aku sayang kau lah, mangkuk!" Nadia ketawa.

Aku tersenyum. Takdir menemukan aku semula dengan Nadia. Kawan baik, kawan bergaduh, kawan susah dan senang, dan kini bakal isteri ku.


Tuesday, 27 March 2012

Kawan

"Ahmad...Ahmad... Ni aku dah datang ni..." Arman masuk ke dalam rumah sambil pintu dikuak.

"Oh, Man. Haa... masuk lah. Duduk lah dulu kat sofa depan sana..." Sayup kedengaran suara Ahmad di dapur.

Arman duduk di sofa merah empuk di ruang tamu rumah Ahmad. Arman mengambil alat kawalan jauh permainan konsol PS3 dan menyambung permainan yang ditinggalkan oleh Ahmad. Permainan kegemaran mereka, Pro Evolution Soccer.

"Woi! Jangan usik lah! Kau ni!" Ahmad datang sambil menyepak perlahan betis Arman. Tercampak alat kawalan jauh itu. Mujur jatuhnya di atas bantal.

"Ala...aku baru nak main sekejap. Haa... Mat, macam mana projek kita minggu ni? Jadi tak kita ke rumah kosong atas bukit sana?" Arman bersemangat menyoal Ahmad yang masih marah dengan tindakan Arman menyambung permainannya.

"Haa... tu yang aku panggil kau datang teratak buruk aku ni. Okay, macam ni lah. Khamis malam ni kita siapkan semua barang-barang yang perlu. Torchlight, alat pengesan gerakan, alat pengesan haba, haa... lagi satu jangan lupa bawa krim. Apa-apa krim. Aku tak nak derma darah aku kat nyamuk liar atas bukit sana." Ahmad menggelengkan kepalanya dan menghirup nescafe panas, homemade katanya. Ah, kurang susu. Biasalah orang bujang.

"So, kita dua je ke? Yang lain tak nak ikut? Apa lah! Penakut!" Arman terbayang Suhail yang penakut itu. Suhail memang terkenal dengan sifat penakutnya.

"Suhail ada sekali. Dia lah driver kita. So, Khamis malam? Set?" Ahmad mengangkat ibu jarinya dan menghalakan ke arah Arman.

"Cantik! Aku okay je. Khamis malam! Kita teroka Bukit Stephen tu!" Arman melagakan ibu jarinya dengan ibu jari Ahmad tanda setuju.

"Haa... Dah! Kau pergi solat dulu lah. Lepas tu kita main game. Takkan kau tak nak tebus kekalahan kau tempoh hari?" Ahmad dengan bongkak cuba menimbulkan perasaan marah Arman.

"Kurang ajar! Kau tunggu. 10 minit! 10 minit!" Arman berlari ke bilik tetapi sempat membaling bantal tepat ke kepala Ahmad.

"Woi! Sakit lah!" Ahmad menjerit.

Bersambung

Saturday, 10 March 2012

Mawar

"Ah, ada lagi bunga ni!" Afrina menepuk mejanya. Setiap pagi, mesti ada sekuntum bunga mawar merah di dalam laci mejanya. Afnan mengikut Afrina dari belakang dan terus pergi ke mejanya sambil membawa karipap di tangan kanannya.

"Kau ni, Ina... Cuba lah bersyukur sikit... Ada orang nak bagi kau bunga pun kau marah-marah. Ceh!" Afnan menarik kerusi nya lalu duduk melihat gelagat Afrina yang moody pagi ini.

"Aku bukan apa, Nan. Dah nak dekat sebulan aku dapat bunga ni, tapi aku tak tahu siapa yang bagi. At least, tulis lah nota ke, apa ke... boleh aku tahu siapa yang hantar..." Afrina tersenyum apabila haruman mawar merah itu menusuk hidungnya.

"Okay. Sekarang ni kau nak ke tak nak bunga tu? Kalau tak nak, bagi aku lah. Aku nak bagi kat orang lain." Afnan cuba mengusik Afrina. Afnan memang suka mengusik Afrina. Mereka berdua kawan baik dari kecil lagi.

"Mana boleh. Ini aku punya lah!" Afrina memalingkan mukanya dari Afnan dan membawa keluar buku latihannya. Hari ini Puan Maimon ingin menyemak kerja rumah yang diberi olehnya tempoh hari.

Afnan hanya ketawa melihat gelagat Afrina.

Pagi esoknya, Afrina datang lebih awal ke kelas. Masih tiada bunga di dalam laci mejanya. Dia menyorok di belakang kelas. Dia menanti dengan penuh sabar, siapa yang sering meletakkan mawar merah di dalam laci mejanya itu.

Suasana di dalam bilik itu sunyi sepi. Afnan masuk perlahan-lahan ke dalam kelas. Dia melihat kiri dan kanan. Dia meletakkan sekuntum mawar merah di dalam laci meja Afrina. Selepas meletakkan begnya di tempatnya, Afnan keluar pergi ke kantin.

"Afnan, kau ke yang letak bunga tu selama ni?" Afrina tersenyum sendirian.

Afrina pergi ke tempatnya dan terus mencium mawar merah itu. Dia tersenyum sambil menikmati haruman mawar merah itu. Afnan kembali ke dalam kelas.

"Afnan, aku dapat bunga lagi." Afrina tersenyum.

"Untunglah kau... hari-hari dapat bunga." Afnan ketawa sambil menarik kerusi dan duduk.

"Afnan, terima kasih." Afrina senyum sambil mengenyit matanya kepada Afnan.

"Aaaaaa....." Wajah Afnan mula menjadi merah. Afnan membalas senyuman Afrina dan memberi sekeping nota ringkas kepada Afrina.

"Afrina, saya suka awak. Awak nak tak bercinta dengan saya?"

Afrina tersenyum. Dia menjelirkan lidahnya kepada Afnan dan menumbuk lengan Afnan. 

"Tak malu!" Afrina lari keluar dari kelas. 

Afrina menjeling ke arah Afnan dan senyum pada Afnan. Dia membuat bentuk love dengan jarinya dan berlari ke arah kantin. Afnan tersenyum. Cinta rahsianya kini bukan rahsia lagi.

Wednesday, 7 March 2012

Cinta Ini

"Semalam ulang tahun Zul yang ke-7. Dah besar dah anak kita tu. Degil bukan main lagi budak tu. Ikut perangai awak lah tu. Degil tak habis-habis." Ucap Arman sambil menyisir rambutnya yang agak berserabut kerana memandu sambil membiarkan tingkap kereta terbuka. Habis rambutnya di tiup angin.

" Zul dah mula masuk sekolah. Darjah 1 tahun ni. Hari pertama dia di sekolah... sama macam abang dan kakak dia, menangis. Ikut perangai awak lah tu. Suka sangat menangis. " Arman membetulkan duduknya supaya dia lebih selesa untuk berborak.

"Umar dah mula kerja minggu lepas. Dia dapat kerja sebagai architect di sebuah firm senibina area Subang Jaya sana. Okay lah juga, dekat dengan rumah dia. Entah bila lah anak kita tu nak kahwin kan? Umur bukannya makin sikit." Arman tersenyum sambil menikmati angin petang yang lembut menyentuh pipinya.

" Farah? Dia masih belajar. Dia sekarang sudah pun tahun akhir. Tak lama lagi dia akan tamatkan pengajiannya tu. Farah tu baik. Macam awak lah. Degil-degil awak tu, masih lagi dengar cakap saya dan pandai jaga hati saya. Macam Farah tu. Tak lama lagi dapat lah dia sijil degree tu. Jadi engineer anak kita nanti, Afina. Seorang architect, sorang lagi engineer. Yang si kecil tu, masih samar-samar lagi." Aku ketawa sambil membuka tudung botol air yang aku bawa sebentar tadi.

"Okay lah awak. Hari pun dah nak senja ni. Saya balik dulu ya. Awak, saya rindu awak. Saya akan tetap sayang awak sampai bila-bila. Saya akan beri yang terbaik untuk anak-anak kita. Saya janji dengan awak, sayang."

Arman menjirus air yang dibawanya tadi dari hujung sini hingga ke hujung sana. Kemudian Arman mencabut rumput-rumput di kiri dan kanan isterinya itu. Di pegangnya batu nisan yang terukir nama isteri kesayangannya itu.

"Awak, saya balik dulu ya. Assalamualaikum, sayang."

Thursday, 23 February 2012

Siapa itu?

"Man, aku balik dengan kau ye hari ni? Malam pun takpe lah. Aku tunggu." Azrai menepuk bahu Arman yang sibuk menyiapkan kerja yang perlu disiapkan secepat mungkin. Arman sekadar mengangguk kepala tanda setuju kepada Azrai. Arman, workaholic.


"Kau jangan lambat sangat. Aku tunggu kau hari tu hampir 20 minit. Kau lambat, aku tinggal." Arman sempat berpesan sebelum Azrai keluar dari biliknya. Azrai mengangkat tangan kanan dan memberi tanda "OK" dengan membiarkan ibu jarinya terangkat.

Arman masih menyiapkan kerjanya yang banyak itu. Client Arman, Encik Choy, mahukan yang terbaik kali ini. Selepas hasil kerja yang memberangsangkan daripada Arman dalam mereka rumahnya di Puchong. Kali ini untuk rumahnya di Bangsar pula. Biasalah orang Cina, aset mereka memang banyak.

"Ah... dah pukul 9 malam rupanya." Arman mengemas barang-barangnya di atas meja. Cukuplah untuk hari ini dia berkerja. Esok sahaja dia sambung semua ini. Arman berjalan ke bilik Azrai.

"Yai, aku tunggu kau kat bawah. Tiang B6. Ingat tu. 10 minit je aku bagi." Arman memberitahu kepada Azrai sebelum keluar dari pejabatnya itu. Azrai hanya senyum kepada Arman.


Sebelum sempat Arman keluar dari pejabat, tiba-tiba telefon Arman berdering.

"Man, sorry lah. Aku lupa nak cakap. Aku dah balik petang tadi. Aku balik dengan Tina. Sorry ya, Man."

Arman termenung seketika.

Pintu lif terbuka. Arman bergegas masuk ke dalam lif dan melonggarkan kolar bajunya. Tidak ingin memikirkan dengan siapa dia berbicara sebentar tadi. Arman menghela nafas yang panjang sambil mengesat peluh dingin di dahinya.

Wednesday, 15 February 2012

Cinta Antara Benua.

"Wan, aku kat luar dah ni. Cepat lah. Dah lambat ni, woi!" Jerit Arman lalu menamatkan panggilan.

Kelibat Zakwan mula kelihatan. Bergegas memakai kasut dan mengunci pintu pagar, terus masuk ke kereta dan duduk di bangku penumpang bahagian hadapan.

"Sabar lah, man. Kau ni...tak menyempat langsung. Aku lambat sikit je pun..." ucap Zakwan sambil menepuk bahu Arman.

"Sekejap? 15 minit dah aku tunggu kau. Kau tahu tak aku nervous ni nak jumpa dia? " Kali ini giliran Arman pula menumbuk bahu kanan Zakwan dan yang pasti dengan kekuatan yang berbeza dan lebih kuat.

"Sakit lah woi! Ala... kau nak nervous ni kenapa? Tu kan buah hati kau. Tenang je lah. Kau ni dari 2 hari lepas, tak habis-habis lagi nervous kau tu. Tenang okay?" Zakwan cuba menenangkan Arman yang jelas kelihatan berasa nervous dan mungkin Arman sendiri tidak tahu apa yang dia rasa.

"Sudah lah, man. Nah, aku bawa bekal Vitagen. V for Vitagen! " Zakwan menghulur sebotol Vitagen kepada Arman. Zakwan tahu yang Vitagen memang kegemaran Arman dan buah hatinya. Mereka meneruskan perjalanan ke KLIA yang memakan masa hampir 30 minit.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

"Wan.... aku nervous woi! Ah... ini gila." Arman sudah mula berpeluh.

"Woi! Aku tampar kau nanti...sia-sia je pakai smart-smart macam ni tapi muka merah kena tampar dengan aku. Dah. Jom pergi Secret Recipes sana. Kau belanja aku." Zakwan menolak Arman pergi ke Secret Recipes yang berhampiran.

"Give me a slice of Chocolate Indulgence and another slice of Red Velvet. Oh, and 2 cups of mocha. Thank you." Arman memesan makanan sementara menunggu Afina, buah hatinya tiba ke KLIA.

"This is your order. Enjoy your meal."


"Thank you."

"Man, macam mana hubungan kau dengan Afina? Aku tengok kau sekarang bukan main happy lagi." Zakwan mengusik Arman sambil memotong kek yang dipesan sebentar tadi.

"Wan, aku rasa aku dah sayang sangat kat dia. Sampai termimpi-mimpi lah. Aku rasa aku nak melamar dia kat sini sebelum dia berangkat ke Auckland. Ni haa... aku dah sediakan cincin dah ni." Arman membawa keluar sebentuk cincin yang disimpan di dalam kocek seluarnya.

"Laa...patutlah nervous semacam je. Kau nak melamar dia lah ni? Okay lah tu. Bangga betul aku rasa...dapat jadi saksi." Zakwan ketawa besar sambil menepuk bahu Arman.

"Woi! Jangan lah gelakkan aku. Aku segan lah. Keluarga dia ada sama dengan dia nanti... aku malu." Arman tunduk ke meja dan memandang cawannya yang berisi mocha itu.

"Arman, cuba positif sikit. Nak malu apa? Aku ada. Kau tenang je lah. Okay? " Zakwan cuba menenangkan kawan baiknya itu yang memang jelas kelihatan perasaan gementarnya itu.

"Aku bukan apa wan, tapi...." Arman terkedu seketika.

"Wan! Wan! Wan! Afina tu, Wan!" Arman mengoncang badan Zakwan dan memusing kan kepalanya ke arah kiri Zakwan.

"Eh, Afina lah. Tu adik dia pun ada sekali. Haa... apa lagi? Pergi lah..." Zakwan menyuruh Arman pergi ke arah Afina.

"Eh...jap..jap... aku nervous  ni, Wan. Sabar... Sabar... Sabar Arman... Sabar..." Arman mengurut dadanya perlahan-perlahan...

Bersambung....

Wednesday, 8 February 2012

Kawan

Zack duduk bersandar di belakang kelasnya. Sudah menjadi tabiatnya untuk ponteng kelas mata pelajaran sains yang memang tidak digemarinya itu. Untunglah dia punya kawan-kawan yang sama cita rasa dan perangai, bencikan mata pelajaran sains.

Hari itu cuaca agak panas. Sedang Zack dan Arman duduk membuang masa di belakang kelas, mereka bersembang tentang sesuatu.

"Zack, kau nanti bila dah besar nak jadi apa haa?" Arman menyoal Zack sambil meneguk air mineral sejuk yang dibelinya tadi.

"Ah..entah lah. Aku masih kabur-kabur lagi lah. Hahaha! Jadi perdana menteri best juga kan?" Zack menjawab dengan selamba dan disambut dengan gelak tawa dua orang kawan baik itu.

"Tapi, aku nak berjaya lah Zack. Aku nak ada kereta besar. Swooosh!!!!!!!!" Arman bersungguh-sungguh membuat gaya memandu kereta seperti pemanud kereta lumba terkemuka.

"Ah, kau ni. Siapa tak nak berjaya. Aku memang nak berjaya. Tapi...itu lah. MALAS. Hahaha! " Zack sekadar ketawa sambil bermain dengan rambut kerintingnya.

"Zack, nanti kalau kita dah besar, kita semua duduk sama-sama nak. Kerja sama-sama. Kan kita nak jadi arkitek berjaya. Kau, aku, dan Nadzwan. Kita berjaya sama-sama. Amacam? "

"Hahaha! Kau sekarang dah pandai bergurau kan, Man. Kita dah macam adik-beradik kau tahu? Susah senang sama-sama." Ucap Zack sambil menumbuk lengan Arman.

"Sakitlah, mangkuk! Hahaha! Aku tahu. Eh, jom lah masuk kelas. Cikgu Salmi pun dah nak keluar tu." Paksa Arman sambil menepuk bahu Zack.

"Sabarlah... dia tu mengarut lah. Cakap sorang-sorang kat depan kelas tu buat apa? Ingat budak-budak dengar ke? Duduk dulu lah."

"Ah, kau ni. Jom lah. Nyamuk banyaklah kat sini. Urgh!"

"Ye lah...ye lah... Nasib baik aku kenal kau dah lama. Sampai cerita kau yang nak terjun...."

"Woi! Jangan kau ungkit cerita lama boleh tak? Aku cepuk kau nanti!" Marah Arman sambil mengangkat buku limanya.

"Ah, kau. Gurau sikit pun tak boleh. Ye lah. Banyak nyamuklah. Darah manis macam aku ni memang nyamuk suka. Hahaha! Dah, jom...jom..." Mereka berjalan perlahan-lahan dari belakang kelas, masuk ke kelas.

Zack dan Arman capai buku teks mata pelajaran Sains mereka dan kembali ke dalam kelas untuk sambung belajar mata pelajaran seterusnya. Matematik.

Tuesday, 17 January 2012

Ketentuan-Nya.

Petang itu suram. Angin bertiup lembut menerbangkan langsir di dalam bilik ini. Langit semakin gelap, mungkin sebentar lagi hujan akan turun di kota Kuala Lumpur. Aku berbaring di tilam empuk keletihan. Fida keluar dari kamar mandi lengkap berpakaian dan bersolek.

"Awak, saya pergi dulu ya. Datin Mastura sudah lama tunggu saya. Apa pula kata dia nanti."
"Eh, saya hantar awak ya?"
"Tak pe lah awak. Saya drive sendiri hari ini. Lagi pun awak baru balik dari Terengganu. Rehat lah."
"Betul ni? Baik lah. Hati-hati ya sayang."
"Baik awak. Saya pergi dulu. Assalamualaikum"
"Waalaikumussalam."

Fida mencium tangan aku sebelum dia pergi dan aku sempat mengucup lembut dahi isteri ku itu. Perkahwinan yang telah di bina hampir 2 tahun ini penuh rasa cinta dan sayang antara kami. Aku melihat Fida melangkah pergi meninggalkan aku. Aku rebahkan badan semula ke atas katil dengan harapan segala penat ku akan hilang.
Akhirnya aku terlelap.

Aku dikejutkan dengan satu panggilan yang aku tidak kenali. Aku bingkas bangun dan mencari telefon bimbit aku. Aku menjawab panggilan itu dengan keadaan mamai.

"Hello. Encik Arman ke ni?"
"Ya saya. Saya Arman. Ni siapa?"
"Saya dari Hospital Pantai Ampang. Maaf encik. Isteri encik terlibat dalam satu kemalangan."
"Apa?!"

Aku terkejut dan terduduk di atas lantai selepas mendengar perucapan itu. Aku dapat rasakan air mata aku mengalir ke pipi ku.

"Saya datang sekarang." Aku matikan panggilan dan bergegas ke hospital. Ya Allah. Bagaimana keadaan isteri ku itu? Aku mohon pada mu, Ya Allah. Selamatkan lah isteri ku itu. Jangan apa-apakan dia, Ya Allah. Air mata aku terus mengalir membasahi pipi dan kemeja biru yang masih tidak ditanggalkan dari pagi tadi.

Setibanya di hospital, aku mencari isteri aku. Aku seperti orang hilang arah.

"Mana isteri saya? Mana isteri saya?"
"Sabar encik. Sabar. Siapa nama isteri encik?"
"Nor Afida binti Mustafa"
"Encik boleh pergi ke bilik 379. Kiri sana ya."
"Baik...baik...terima kasih, nurse."

Aku berlari ke bilik itu. Aku teruskan berdoa di dalam hati, moga-moga isteriku selamat. Aku tidak hiraukan apa yang ada disekeliling aku buat masa sekarang. Yang aku mahu, isteri ku. Fida. Aku mahu dia sekarang.Aku melangkah perlahan ke bilik itu.

"Fida!" Aku menjerit apabila melihat isteriku terbaring kaku di atas katil. Luka besar di dahinya, penuh darah. Doktor meminta jururawat menenangkan aku dan memaksa aku duduk di kerusi. Doktor sedang sibuk memeriksa Fida. Aku rasa marah. Kenapa aku dihalang untuk mendekati Fida, isteri aku sendiri? Aku marah. Doktor memanggil aku ke luar.

"Encik Arman, isteri encik dalam keadaan stabil. Cuma..."
"Cuma apa doktor? Cuma apa?!"
"Cuma dia dalam keadaan koma sekarang, dan kami tidak tahu bila dia akan sedar. Saya harap encik bersabar."

Aku tersandar ke dinding dan langsung jatuh terduduk di atas lantai. Ujian apa yang Engkau berikan pada aku ini, Ya Allah? Jiwa aku meronta-ronta. Aku pergi ke arah Fida dan duduk di sampingnya. Aku usap lembut wajahnya. Air mata aku mengalir deras membasahi pipiku. Aku genggam tangan isteriku.

"Awak...bangunlah awak. Jangan tinggalkan saya seorang diri. Awak dah janji kan, tak nak tinggalkan saya?"

"Sayang...bangunlah. Saya ada ni awak. Saya sentiasa ada di sisi awak. Jangan tinggalkan saya ya, sayang? Saya janji...saya akan tunggu awak sampai bila-bila. Sampai bila-bila, sayang. Jangan tinggalkan saya ya?"

Aku menangis di sisi Fida. Tanpa aku sedar aku tertidur di sisi Fida sambil tangan ku memegang tangannya. Ya Allah, kuatkan lah hambamu ini. Aku mohon pada mu, Ya Allah. Sembuhkan lah isteriku.

*********************************************************************

3 tahun sudah berlalu. Fida masih tidak sedarkan diri. Masih kaku di atas katil dan mengharapkan alat bantuan pernafasan untuk terus hidup. Aku datang hari ini membawa sejambak bunga mawar merah. Ya, bunga mawar merah. Bunga kegemaran Fida. Aku masih ingat lagi, dia pernah memberitahu pada aku dahulu. Setiap hari aku membawa jambangan bunga mawar merah kepadanya.

"Sayang...selamat pagi. Saya datang ni. Hari ini hari ulang tahun perkahwinan kita. Saya ada bawakan bunga kegemaran awak ni. Bunga apa? Mestilah mawar merah untuk gadis kesayangan abang ni. Abang letak kat atas meja sana ya?"

Aku tukar kan jambangan bunga semalam dengan yang baru ini. Aku hiaskan dan aku letakkan semula di atas meja, sebelah kanan Fida. 3 tahun. Sudah 3 tahun Fida begini. Kaku dan tidak bergerak. Namun, aku tetap di sini. Menanti dan terus menanti. Sayang aku pada dia tidak pernah pudar. Tidak mungkin. Aku pegang erat tangannya.

"Awak..." ucap ku lembut.

"Awak ingat tak lagu cinta kita? Ala, lagu yang saya beri pada awak dulu. Haa... lagu tu lah. Yang Sempurnakan ku. Saya nyanyikan untuk awak ya?"

Aku pun menyanyikan lagu cinta kami. Setiap bait lirik lagu itu membuatkan aku rasa ingin menangis. Aku rindukan dia. Jujur aku rindukan dia. Gelak tawanya, senyum manisnya, jelingan matanya. Sayang, bangunlah sayang. Saya datang ni. Saya sayang awak, Fida.

Tiba-tiba, aku nampak air mata mengalir dari matanya tertutup. Aku bergegas memanggil doktor untuk memeriksa Fida. Doktor datang dan melakukan pemeriksaan ke atas Fida. Tanpa disedari, Fida membuka lembut matanya. Matanya terus memandang aku. Aku dapat rasa air mata mengalir deras membasahi pipi kanan kiri ku.

"Sayang..." ucap dia lembut.

"Ya, awak. Alhamdulillah, awak dah sedar. Saya ada ni awak. Saya ada dengan awak." aku menjawab dengan suara yang tersekat-sekat.

Doktor keluar meninggalkan kami berdua-duaan di dalam bilik itu. Aku duduk di sisinya. Tangannya aku pegang, aku cium. Dahinya aku usap dan aku kucup lembut. Fida mengesat air mata yang masih tidak henti mengalir dari tadi.

"Sayang... jangan menangis lagi. Saya dah sedar ni."
"Awak, janji dengan saya. Jangan pernah tinggalkan saya lagi. Saya perlu kan awak dalam hidup saya."
"Terima kasih, sayang. Terima kasih sebab masih tunggu saya. Bersabar dengan saya."
"Sayang, cinta saya hanya untuk awak. Rindu saya hanya untuk awak. Sayang saya hanya untuk awak. Awak, jangan tinggalkan saya lagi. Tolong, awak..."
"Saya akan sentiasa ada untuk awak. Hati saya ini hanya untuk awak, sayang. Kesat air mata tu. Buruk lah suami saya menangis."
"Saya rindu awak."

Aku kucup dahi Fida dan mencium lembut tangannya. Aku bersyukur padamu, Ya Allah. Aku tahu, Kau hanya menguji hamba-Mu sebanyak yang dia mampu. Aku bersyukur doa ku akhirnya di makbul oleh-Mu. Kini isteri ku sudah sedar dan berada di sisi ku. Aku kesat air mata ku, dan berbaring di sisi Fida.

Friday, 13 January 2012

Saya Sayang Awak

"Awak...Mari..." Aku genggam erat tangan halus dia dan menarik dia lembut mengikut aku. Aku berjalan perlahan di tepi tasik itu bersama dia. Tasik itu. Tempat kali pertama aku berjumpa dengan dia. Aku masih ingat hari itu.Hari dimana aku terlihat seorang gadis comel bermain layang-layang bersama adiknya. Aku tersenyum setiap kali terkenang saat itu.

"Nak ke mana ni?" Dia bertanya kepada aku. Aku hanya diamkan diri dan terus berjalan. Tangannya tetap ku genggam kemas. Aku hanya melihat wajah dia yang penuh tanda tanya itu, dan aku hanya senyum padanya. Dia terus tertanya-tanya ke mana aku hendak membawa dia di waktu petang ini.

"Sofea, ingat lagi tak bangku ini? Di sini lah pertama kali saya tegur awak." Aku berhenti di sebuah bangku usang di tepi tasik ini. Dia tersenyum. Aku menarik tangan dia dan kami duduk di situ sambil melihat kanak-kanak bermain layang-layang di padang berhampiran dengan tasik ini.

"Sofea, awak tahu tak yang awak dah jadi sebahagian daripada hidup saya? Saya sayang awak, Sofea. Sangat sayang. Awak dah penuhi hati saya yang kosong sebelum ini. Senyuman awak, suara awak, itu semua mampu buat semua masalah saya hilang begitu sahaja. Terima kasih untuk segalanya."

Sofea terdiam. Dia termenung jauh melihat tasik. Aku tertanya-tanya, apa salahkah perucapan ku sebentar tadi. Tiba-tiba, aku rasa kan ada titisan air di atas tangan ku. Ah, dia menangis. Aku pegang dagu Sofea dan aku kesat air mata nya yang mengalir perlahan membasahi pipinya.

Hubungan yang bermula dengan teguran "selamat petang" daripada aku kepada dia 5 bulan lalu telah menjadi permulaan kepada kisah cinta antara aku dan Sofea. Hampir setiap petang aku akan menunggu dia sini. Tasik yang sama, kerusi yang sama, waktu yang sama.

"Danial, kenapa awak baik sangat dengan saya? Saya tak pernah layan awak dengan baik. Kenapa, Danial?"

Aku kesat air matanya lagi yang masih tidak henti-henti mengalir.

"Awak, sudi tak awak menjadi isteri saya yang sah?"

Persoalan aku itu membuat wajah Sofea merah padam. Dia terdiam. Dia hanya tertunduk.

"Awak, saya nak bagi awak something. Cincin ni, saya nak awak simpan. Awak simpan, awak pakai lah. Cincin ini tanda sayang saya pada awak. Saya bukan lah lelaki yang berasal daripada keluarga yang berada untuk berikan kemewahan pada awak, tapi saya akan cuba."

Aku terdiam. Aku menelan air liur untuk membasahkan tekak yang kering. Perucapan aku tersekat-sekat. Aku sambung lagi luahan aku.

" Tapi, jika awak mahukan cinta dan kasih sayang, percaya lah, semua orang kaya di dunia ini akan cemburu dengan awak kerana awak orang yang paling kaya dengan kasih sayang dan cinta daripada saya. Nanti tiba masanya, jika ada jodoh antara kita, saya akan datang ke rumah bersama keluarga saya dan gantikan cincin ini dengan cincin yang lebih cantik.Dan masa itu, kita satukan hati kita ya?"

Mata Sofea mula berkaca. Aku tersenyum melihat dia. Air matanya yang mengalir deras aku kesat dengan penuh kasih sayang. Jika dia tahu, betapa aku sayang padanya, pasti dia akan tahu yang dia adalah gadis paling beruntung di dunia.

"Awak, saya sudi." Jawabnya ringkas dengan suara yang tersekat-sekat.

Aku tersenyum mendengar jawapan yang diberikan olehnya. Aku bersyukur pada Tuhan, akhirnya Sofea ingin menjadi isteri aku yang sah.

"Eh, dah nak senja ni awak. Mari saya hantar awak balik. Nanti apa pula kata mak dan ayah awak. Jangan nangis lagi lah. Tak cantik lah bakal isteri saya menangis. Tak nampak mata comel awak tu." Aku hulurkan tangan ku dan menariknya bangun dan kami berjalan ke kereta yang tidak jauh dari tasik.

"Danial..."

Aku palingkan muka ku kepada Sofea.

"Terima kasih, sayang. Terima kasih untuk segalanya. Saya sayang awak juga."

Aku tersenyum lagi.

"Saya tahu. Mata awak dah ceritakan segalanya. Tapi, saya sayang awak lebih dari awak sayang saya." Aku jelirkan lidah kepadanya. Sofea memukul bahu aku dan mencubit lengan kanan aku. Rasa sakit itu tidak terasa kerana rasa sayang dan cinta dia pada aku lebih kuat aku rasakan.

Tamat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...