Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.
Showing posts with label Koleksi Cerita Faraherda Razalan. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Cerita Faraherda Razalan. Show all posts

Wednesday, 17 April 2013

Terbang

Fiona berdiri sipi di tubir pangsapuri. Menunggu kehadiran anak-anak kecil, yang bakal turun dari langit; Anak-anak kecilku, Levina, Addy dan Kyeden. Ibu menanti di sini. Seperti yang kita janji. Sesekali, Fiona mengepak sayap putih bertatahkan baldunya. Mengibas angin yang sejak tadi menyapa wajah. Dingin malam ini bakal menjadi saksi, pertemuan kembali anak beranak itu; Pertemuan kembali ini adalah kisah masa depan kita. Kisah yang lebih gembira. Kisah yang menghalau segala duka kita, suatu masa dulu.

24 jam sebelum itu.

Anak-anak kecil itu, lena bertempiar di atas katil bersaiz raja. Selimut tebal menjadi pelindung dari kesejukan. Sesekali, Fiona mengerling kilas ke arah anak-anak kecil itu. Terbit rasa sayang yang amat. Tidak berbelah bagi. Tidak sanggup meninggalkan. Apatah lagi ditinggalkan. Lantas, airmata seorang ibu berjuraian. Tanda sesal. Dan sedih yang tiada kesudahan.

Skrin komputer yang terang menyala itu, ditenung dalam. Sambil jari-jemari ligat menaip kata-kata dan ungkapan;

Selamat tinggal realiti. Di sini, kami tidak diperlukan lagi. Sakit. Pedih. Perit. Tiada siapa mahu peduli. Selamat datang cinta abadi. Di sini, kami akan diketemukan kembali. Kembali menyemai benih cinta. Bersatu dan bahagia, buat selama-lamanya.

Fiona tidak menunggu lama. Komputer itu ditinggalkan. Dia tuju ke pintu gelongsor, dan biarkan ia terbuka luas. Fiona kembali pada anak-anak kecil. Mula-mula, yang pertama. Dia kendong hingga ke beranda rumah. Dan campak anak itu jatuh ke bawah; Duk! Duk! Bummmm! Dan kedua, pun yang sama. Hingga yang ketiga. Masih kecil. Masih belum puas kenyang susu. Fiona jatuhkan, hingga terhempas hancur menyembah bumi. Dia habiskan kesemua nyawa. Dan yang tinggal kini, cuma dia. Dan bayi di dalam kandungannya.

“Bapa kamu sudah tidak menghargai kewujudan kita. Dia tinggalkan ibu. Dia tinggalkan kamu. Dia tinggalkan kita. Apalagi yang kita ada?"

Serta-merta, Fiona melompat terjun dari beranda tingkat 17. Dan dia juga, seperti anak-anak kecil tadi. Hancur berderai. Persis hati yang ditinggalkan.

*****

Fiona mengukir senyum. Dari jauh, kelihatan anak-anak kecil berterbangan dengan sayap putih baldu. Dengan wajah kernyih. Sambil menjerit kecil; Ibu! Ibu! Ibu!

“Ya, sayang! Ibu di sini. Seperti yang dijanji. Menunggu kamu, wahai anak-anak syurga,”

Tuesday, 19 February 2013

Tak Bisa Memiliki - Siri Akhir

Siri 1 | Siri 2 | Siri 3 | Siri 4 | Siri 5 | Siri 6


Liza meninggalkan bilik itu dengan perasaan seram. Melalui tingkap kecil bercermin kalis pecah dan tebal, Aisyah dibiar bebas tanpa pasung. Sejak di pusat mental ini, Aisyah asyik senyum. Menyanyi kecil lagu Real Love, berulangkali. Seolah meraikan sesuatu. Namun, Liza tahu apa yang terbuku dan terpendam di hati perempuan itu di masa lalu. Kata-kata Aisyah dimasa sesi temubual lalu masih bermain-main di kotak fikirnya; Cerita aku ini mungkin nampak seperti rekaan. Fiksyen bodoh yang boleh kamu semua hiburkan hati. Tapi percayalah. Jika aku tak bisa memiliki, maka satu nyawa akan aku korbankan. Lagipun.....satu hakikat yang patut kamu semua tahu – daging manusia yang mencurangi cinta dan daging manusia yang berpaling tadah itu sangat lazat untuk dinikmati.

Kes sudah selesai!; Liza menghela nafas lega. Dia meninggalkan Aisyah sendirian di dalam kamar. Kamar yang bakal menjadi teman setia hingga akhir nyawa.  

"Kesimpulannya, Haikal menjadi mangsa kanibal Aisyah kerana berselingkuh. Dan perempuan simpanan itu dibunuh kerana benci dan marah. Satu-satunya orang yang Aisyah percaya adalah ibunya sendiri. Dia menceritakan segala-galanya pada ibu. Malangnya, ibu berpaling tadah. Ibu merujuk pada pihak berkuasa. Sudahnya, ibu dibunuh demi menutup rahsia,"

Liza menggeleng kepala. Dia persetankan cerita-cerita Aisyah dari siri satu kerana ia tidak lebih dari hanya imaginasi dari seorang psikotik.

Real love is nameless
So tired and hopeless
Real love is painless
Nobody mentions
We ever move to collect
The solar questions
Demon scorn should not relax
The laws of gravity
Real Love

Tamat

Thursday, 31 January 2013

Tak Bisa Memiliki - Siri 6

Siri 1 | Siri 2 | Siri 3 | Siri 4 | Siri 5

Ibu menoleh ke arah datang suara. Sekujur tubuh lelaki muda, berdiri cegat di hadapannya. Senyumnya sinis, lagak mengejek. Ibu membuntangkan biji mata.

"Masih teringat kenangan lama?"

Ibu masih menjegil anak mata. Lelaki muda itu, dialah dalang segala. Dialah membawa segala dosa.

"Kenangan manis, mungkin? Mustahil boleh lupa! Apalagi buat-buat lupa, ya tak?"

Lelaki itu ketawa sendiri. Terkekeh-kekeh melayan jenaka. Sedang ibu hanya diam. Mereguk liur berulangkali.

"Kenapa kau datang sini? Aku dah kata, jangan datang sini lagi! Urusan kita dah selesai!"

Ujar ibu, sedikit jerkah. Kata-kata kerasnya disambut ketawa dari pemuda itu, lagi. Kali ini, ketawa kian mengilai. Dan perlahan-lahan, lelaki itu berubah wajah, buruk dan hodoh. Tubuhnya diapung udara. Tidak lagi dicium graviti.

"Sememangnya urusan kita sudah selesai. Tapi kenapa kau masih susah hati? Seharusnya kau gembira dengan jalan yang kau pilih sendiri? Kau sahabat aku. Mana mungkin aku boleh biarkan sahabat aku menderita payah?"

Makhluk hodoh itu memujuk hati. Mendekatkan diri dan membelai wajah ibu dengan jari berkuku tajam.

"Lari saja kau dari dunia. Apalagi yang kau tunggu? Aisyah? Bukankah dia sudah tinggalkan kau? Bersama manusia-manusia tadi? Jangan kau tunggu lagi, Salamiah. Makin lama kau tunggu, makin dekat kau dengan perangkap dunia. Manusia sekarang tidak kenal putus asa. Hari ini kau terlepas, esok lusa kau pasti terkena jua,"

Ibu menjauhkan diri; Ada benar kata-kata syaitan ini. Makin lama aku tunggu, makin mereka gali rahsia. Mereka akan tahu, aku yang datang menyerang Haikal dan teman simpanannya. Mereka akan tahu, aku yang mengancam mereka dengan sebilah parang tajam. Mereka akan tahu, aku yang menetak kepala teman simpanannya hingga terputus dua. Mereka akan tahu, aku yang menyeksa Haikal hingga hilang nyawa. Mereka akan tahu, aku yang melapah dan menyiat daging mereka. Mereka akan tahu, aku yang memotong setiap sendi tubuh mereka. Mereka akan tahu, aku yang menyimpan dan makan daging-daging mereka. Mereka akan tahu, aku yang membakar tulang-tulang itu hingga lunyai menjadi abu. Mereka akan tahu segala-galanya.

"Maafkan ibu, Aisyah. Ibu tak mahu menunggu kamu. Ibu tak mahu menyusahkan kamu. Ibu pergi dulu. Tapi percayalah. Ibu hapus Haikal kerana tak sanggup melihat kamu diselingkuh,"

Makhluk hodoh itu sudah bersedia untuk mengorban jiwa manusia. Dan ibu, tersadai di ruang kamar yang basah dengan darah.

Bersambung...

Tuesday, 29 January 2013

Hujan

Bahagian 1

Asyik saja Rizal mencumbu bibir mungil Wanda. Bersimpul lidah tatkala bertemu. Dan tangannya ligat saja meraba apa saja yang ada; di punggung, di dada dan di mana saja yang dia ingin kerana Wanda merelakan apa jua cara.

Love you so much sayang.....love you, love you, love you

Hanya itu yang diungkapkan Rizal, seolah kering idea untuk melontar bicara cinta yang lain. Sedang jiwanya hanya satu, nafsu. ‘Batang kayuh’ ini sudah bersiap-sedia untuk ‘mendayung’. Apalagi bila melihat Wanda sudah lemas dalam kebasahan. Dan mendesah resah, seolah tidak sabar.

Krekkkk......duummm!!

‘Dayungan’ Rizal terhenti seketika. Serentak mereka menoleh, mencari arah ke mana datang bunyi. Rizal resah. Kotak fikirnya hanya memikirkan Jabatan Agama; Mampus aku! Aku tak nak kena kahwin dengan perempuan ni...

Wanda menolak Rizal dari terus menindih. Gebar nipis itu dijadikan perisai tubuh telanjang. Belum sempat kaki menginjak ke lantai, terpacul tubuh besar berkepala botak meluru datang. Tangan kanan kemas menggenggam batang tombak. Manakala tangan kiri pula kemas menggenggam gergaji tangan.

Belum sempat melolong jerit, mudah saja lelaki botak itu menghentak kepala Wanda dengan layangan siku. Wanda rebah ke lantai, separuh sedar dan separuh longlai. Gebar yang melindung tubuh tadi, direntap lelaki botak. Sekali lagi, lelaki itu menggila. Menghunjam mata tombak tepat ke celah vagina. Menusuk kejam hingga melewati setiap organ dalaman, dan terus mensasar sehingga ke celah rongga mulut. Wanda membeku, tiada nyawa. Dan darah yang mengalir keluar dari setiap rongga badan, ditenung lelaki botak itu dengan penuh teruja.

Rizal yang menyaksi adegan ngeri tadi terpempan beku. Panik menjalar ke segala tubuh. Manusia spesis apakah ini? Menggila sebegini? Rizal cuba melarikan diri. Namun entah kuasa apa yang lelaki botak itu ada, pantas saja dia merentap rambut Rizal yang lurus, sedikit panjang. Rentapan itu membenarkan Rizal dekat padanya. Rizal meronta cuba melepaskan diri.

Tolong saya bro....tolong...jangan bunuh saya....saya tak buat salah apa....tolong bro!

Pujuk rayu Rizal terus dipersetan. Entah nafsu apa yang datang, wajah Rizal ditenung penuh berahi. Di saat ini, hati Rizal mengecut persis sebiji kacang tanah. Tidak mengharap untuk selamat. Dan tiba-tiba, bibir Rizal dicumbu rakus. Seperti mana Rizal perlakukan pada gemulah Wanda tadi, begitulah yang lelaki botak ini lakukan pada Rizal. Rizal kelemasan. Tiada daya hendak melawan. Keras dan kuat!

Lidah lelaki botak itu terus memintal lidah Rizal hingga terputus dua. Darah meleleh titis membasah wajah dua lelaki ini. Rizal kian tidak bermaya. Malangnya, lelaki botak itu terus-menerus menyedut segala darah yang memercik keluar dari lidah sana.

Selang minit, bibir Rizal dilepaskan. Rizal longlai tanpa nyawa. Lelaki botak itu tidak membuang masa, pantas leher jinjang Rizal digergaji bertalu-talu. Darah merah segar memercik hingga mengena wajah. Dan di sekeliling dinding. Juga merata lantai.

Kepala lelaki ini wajib dibawa pulang. Sebagai kenang-kenangan....

*****

Hujan galak mencurah. Netty mematikan langkah. Niat tidak diteruskan. Lelaki botak itu ditinggalkan. Apa yang penting, dia merindui koko panas dan katil di kala ini.

Pasti Wanda dan Rizal sedang asyik berpeluk sesama sendiri. Maklum, sejuk. 

Monday, 7 January 2013

Hujan


Sejak pagi, hujan meleleh tanpa henti. Hingga ke malam ini, masih bersisa lagi. Netty tiada pilihan. Usai kelas, dia meredah malam yang penuh kebasahan. Mujur punya kot hujan. Sesekali, mata bundarnya dipicing kecil setiap kali terpancar denyar kilat. Serentak itu, guruh galak menghentam bunyi; Groom! Groooooom!

Di hadapan pandang mata, kelibat manusia berkepala botak dan bertubuh besar berdiri cegat di tengah hujan yang kasar. Netty membulatkan biji mata. Hairan, manusia apa yang berdiri di tengah hujan malam? Terpempan beku sambil menjinjit sesuatu. Sesuatu yang berjerumbai. Sesuatu yang mengalir titis.

Bila datang lagi denyaran kilat, Netty mengambil kesempatan untuk mengecam. Tertanya-tanya, apakah itu?

*****

Sudah berhari-hari khabar angin itu diceritakan para pelajar. Setiap hari juga, suratkhabar tempatan asyik mengulang-siar berita yang sama; Pembunuh bersiri galak mencari mangsa. Entah hendak percaya atau tidak, Netty sendiri buntu.

Kebanyakan mangsa bunuh adalah pasangan kekasih. Cara pembunuhan adalah sama. Disula dan dipenggal kepala. Aduh mak! Seriau aku baca paper hari ni.

Rungut Netty berbaur resah. Sengaja dia menyiku Wanda agar bertumpu pada berita yang dibaca. Wanda melepas keluh bosan. Lolipop berperisa gula getah itu dihisap bertalu-talu. Dia tidak mahu ambil peduli dengan apa yang berlaku. Malah, apa saja yang terjadi di kampus pun dia persetankan. Apa yang dia mahu tahu adalah Rizal sentiasa di sisi. Rizal yang dikasihi. Rizal yang dicintai.

Kau ni obses sangat dengan berita-berita bunuh macam ni…dahlah aku tengah bengang. Semalam, aku gaduh dengan Rizal. Sampai hari ni dia tak pujuk-pujuk aku.

Netty malas mahu ambil kisah. Dalam kotak fikir Wanda hanya Rizal. Sejuta kali ingatan dia hanya pada Rizal.

Hah, tu laki kau dah menjelma....panjang betul umur, kan?

Netty berlagak sinis sebaik melihat Rizal datang menghampiri. Tanpa mempedulikan sesiapa, Rizal merangkul Wanda dengan kemas. Sambil berbisik manja ke cuping telinga kekasih hatinya; Malam ini percuma tak? Dan serentak itu, Wanda menguntum senyum.

Mudah saja kau mengalah, walau dengan hanya sekali bisikan; getus hati kecil Netty. Tidak menunggu lama, dia beransur pergi.

Ok, guys. I got to go. I’ll stay at library, sementara tunggu kelas pukul 8 nanti. Ciao!

Wanda hanya membalas dengan kenyitan nakal. Pasti episod ini akan meleret hingga ke tengah katil nanti; Auww!

Friday, 30 November 2012

Tak Bisa Memiliki - Siri 5



Ibu tidak keruan. Peristiwa malam itu asyik mengulang tayang di dalam ingatan. 3 tahun tidak cukup untuk melupakan. Dan pihak berkuasa masih belum berputus asa untuk membongkar segala kisah;

"Aisyah, sudah sampai masa untuk kita bongkarkan segala,"

Lesu wajah ibu, menggamit resah di hati Aisyah. Dia mendengus marah. Marah kerana ibu mudah mengalah. Marah kerana hati ibu lemah.

"Jangan! Aisyah tak rela!"

Aishah melarang keras. Pandang matanya tajam menikam. Setajam belati di atas para. Belati yang tadinya basah berlumuran darah. Kini, kembali bersih bersinar. Aisyah persetankan pisau itu. Dia menggeledah gelabah setiap ruang almari yang ada. Seingat dia, pemetik api ada di simpan di situ.

"Kamu cari apa?"

Ibu bertanya, cuba membantu anak gadisnya. Aisyah mengeluh putus asa.

"Lighter...,"

Ringkas jawab tanya. Ibu bangkit dari duduk. Tin biskut lama di bawa turun dari atas para. Pemetik api berwarna merah jambu diserah bersahaja. Aisyah tidak menunggu lama. Segera mencucuh pemetik api ke arah kemeja kotak berlengan panjang. Kemeja yang sudah kering dengan darah merah. Bau hamisnya melata, mengusik deria bau sesiapa saja.

"Ibu, ini rahsia kita buat kali kedua. Kalau ibu sayang Aisyah, ibu simpan baik-baik rahsia ini. Biar pokah di perut, jangan pokah di mulut,"

Ibu mereguk liur sendiri. Aisyah bertindak di luar jangka. Demi untuk melindungi.

"Ehem...Puan Salamiah?"

Bersambung...

Thursday, 22 November 2012

Bukan Milah tak nak abang....


“Milah tak boleh kahwin dengan abang Mail,”

Mail mendengus resah. Wajahnya jelas gusar. Kata-kata Milah tadi menghentam sanubari. Apa syarat yang Milah mahu letak, mampu saja dia tunaikan segala. Tapi Milah degil. Asyik menolak. Asyik kata, tak nak. Asyik kata, tidak. Mail tidak hodoh. Mail tidak miskin. Malah, duit berkepuk-kepuk. Tunggu masa saja untuk naik pelamin.

“Kenapa Milah? Apa kurangnya abang ni?”

Jemari Milah asyik saja menggentel hujung tocang. Dia mengeluh kesah. Wajahnya dilepas jauh ke arah budak-budak yang sedang leka bermain guli. Ada lima budak di situ, kelihatan ceria dan gembira. Sedang Mail, mengundang gundah ke dalam jiwa; Kenapalah jual mahal sangat perempuan ini? Ajak kahwin pun liat?

“Abang tak kurang apa. Abang sempurna. Cuma....cuma Milah yang tak layak untuk abang,”

Mail hilang sabar. Begitulah Milah. Bila ditanya kenapa, jawapan diberi pasti berulang yang sama. Mail jelak.

“Abang muak dengan jawapan Milah. Beginilah, Milah jujur saja pada abang. Terus-terang saja. Abang janji untuk menerima dengan hati terbuka,”

Milah segera menoleh pandang ke arah Mail. Mata bundarnya terbuntang seketika.

“Betul abang sanggup terima?”

Mail mengangguk lemah.

“Bukan Milah tak nak kahwin dengan abang. Abang Mail kacak macam Aaron Aziz. Milah suka. Tapi, Milah tak nak abang takut....,”

Dahi Mail berkerut kedut. Hati mula kehairanan; Takut? Kenapa aku perlu takut pada gadis genit macam kau?

“Takut? Kenapa abang nak takut?”
“...sebab Milah makan budak,”

Mail mendengus marah; Loyar buruk pulak budak ni!

Milah, abang tengah serius. Milah jangan buat lawak bodoh pula,”
“Betul bang. Abang tak percaya? Tengok ni....,”

Milah bergegas ke belakang rumah. Dicapainya parang tajam. Dan berkejar ke arah sekumpulan budak yang  sedang asyik bermain. Diheret bawa salah seorangnya dan serta-merta leher budak itu ditetak hingga bercerai kepala dari tubuh. Mail gelisah. Hampir muntah dia melihat darah merah menyembur keluar hingga terpercik mengena wajah. Milah tidak menunggu lama. Tenaga luar biasanya pantas saja melapah isi budak itu. Dan setiap isinya dilahap mentah. Wajah Milah merah berlumur darah.

“Abang Mail nak sikit? Sedap....,”

Mail rebah di situ juga.

Thursday, 8 November 2012

Tak Bisa Memiliki - Siri 4



Masih tinggal beberapa minit sebelum majlis akad nikah berlangsung. Aisyah meliar pandang mata. Sekejap menyinggah ke wajah ibu. Sekejap menyinggah ke wajah Johan. Dan terus pandangannya luas ke wajah-wajah tetamu yang datang bertandang.

"Pengantin perempuan sudah bersedia? Sekejap lagi, kita akan..........."

Tidak semena-mena, berlaku kekecohan di antara kemeriahan. Kehadiran beberapa anggota polis dan kereta peronda, menarik perhatian. Langkah mereka pantas hingga ke muka pintu. Suasana menjadi sunyi seketika. Ibu Aisyah yang sejak dari tadi tidak sudah berasa gundah, segera berkejaran mendapatkan salah seorang pegawai polis yang datang.

"Maafkan saya puan. Mungkin kehadiran kami tidak kena pada masanya. Tapi, inilah yang sepatutnya kami lakukan. Kami terpaksa menahan Cik Nur Aisyah Binti Abdullah untuk membantu siasatan kami terhadap kehilangan Encik Mohd. Haikal Bin Hamdan,"

Ibu Aisyah membeku di situ. Apa yang ditakuti selama ini akhirnya terjadi. Aisyah akhirnya akan dibawa pergi dengan tangan bergari. Meninggalkan sejuta tanda tanya pada sesiapa pun yang hadir ke majlis ini. Dan Aisyah, tidak memberi apa-apa reaksi melainkan pasrah menyerah diri.

"Kenapa ni Encik? Kenapa gari tangan tunang saya ni? Aisyah? What’s wrong?"

Soal tanya Johan dibiar tergantung. Biarpun lelaki itu tidak keruan, mencari-cari jawapan.

Bersambung....

Wednesday, 31 October 2012

Psikosis


Aku tahu nama gadis itu.

Nama aku, Nate....

Bukankah nama kau Natrah?

Nate!

Aku kenal siapa gadis itu. Gadis berperwatakan teruna. Gadis yang berpura-pura pemuda. Pemuda pura-pura yang menganggap dirinya arjuna. Arjuna yang menerbit rasa nafsu terhadap gadis, juga.

Malam ini, gadis pura-pura itu berlalu di situ. Di lorong yang sama. Di waktu yang sama. Di hari yang sama. Langkah yang sudah lama aku jejak. Dan kujur tubuh itu, ya! Tubuh gadis pura-pura itu yang aku ingin terjah dari dulu.

Aku sudah jelak mengintai dan menghendap. Malam ini, aku mahu meratah, merobek dan mencarik jiwa gadis pura-pura itu. Aku izinkan kedua kaki ini meluru laju. Selaju yang mungkin, untuk ke arah gadis pura-pura itu. Untukku rangkul. Untukku seret masuk ke tempat persembunyian. Walau dia meronta hebat. Walau dia cuba melepas diri. Persetan!

Shhhh!!!.....Shhhhhh!!!!! Makin kuat kau cuba melepas diri, makin tinggi azam aku untuk mendapatkanmu.....

Mungkin aku memujuk. Atau mengugut. Atau apa saja yang memungkinkan gadis pura-pura itu berkompromi untuk menjadi berani. Bibir gadis itu, walau berbirat layu namun ku pandang penuh ghairah.

Kau memberahikan aku. Apakah kau sedar, andai aku merogolmu.....kau mungkin akan melahirkan anak aku? Adakah kau tahu itu?

Malang buat aku, gadis itu terlalu takut untuk menjawab soalan mudah yang terlontar.

Adakah kau tahu itu????!!!!!!!! Jawabbbbbb!!!!!!???????

Ya!! Ya!!!!............tolong, jangan apa-apakan aku.

Seperti anak-anak kecil, gadis pura-pura itu menangis. Membanjiri kelopak mata sendiri. Ah! Aku benci gadis ini. Dia merudum jatuh nafsuku. Dia menghilang minatku. Aku fikirkan, dia bodoh! Tidak! Dia adalah manusia bijak, manusia yang boleh berfikir. Sedang aku mahu gadis yang bodoh, yang tidak tahu berfikir kerana ia mendorong aku untuk melerai segala desakan!

Kau mengecewakan aku wahai gadis.....aku benci kamu!

Aku berpaling namun tangan ini penuh kuasa menghunjam gunting tajam, menusuk tikam ke celah lubang kemaluan. Menggunting dan mengoyak kulit yang menyaluti setiap isi. Aku biarkan gadis pura-pura itu menggelepar seksa, mengaduh perit yang tidak terhingga. Membiar dia menikmati kesakitan di hujung-hujung sisa nyawa.

Kalau kau tahu itu, jangan kau ubah watak yang sudah ditentukan Tuhan.....

Thursday, 25 October 2012

Tak Bisa Memiliki - Siri 3

Siri 1 | Siri 2

Majlis ini dibiar meriah. Namun tidak Aisyah, yang hanya memencil diri dan duduk menyepi di sudut kamar. Cincin risik dan ikatan pertunangan itu direnung dalam. Mengimbas kenangan di masa mula dulu. Sejurus lamaran itu diterima dengan hati yang terbata-bata. 

"Ibu, saya terima lamaran Johan.,"

Aisyah tahu, ibu tersentak dengan kata putus itu. Ibu yang selama ini menjadi saksi kepada episod cinta patah hati. Ibu yang selama ini menjaga, menenang dan mendorong sepanjang dia berduka. Dan keputusan ini, bukan apa yang ibu jangka. Malah tidak terfikir walau sedikit pun.

"Kamu pasti?"
"Dah 3 tahun ibu. Aisyah bukan makin muda,"

Ibu mengalih pandang, jauh dari bertentang mata dengan anak gadisnya. Aisyah tahu, keputusan ini membikin ibu resah.

"Aisyah tak mahu ibu bersedih dan susah hati. Cukuplah apa yang ibu terpaksa tanggung selama ini," 

Seraya datang menghampiri dan cuba menenang hati ibu yang galak bergelora.

"Ibu risau....,"
"Ibu nak risaukan apa? Aisyah ok saja. Lagipun, Aisyah tahu Johan ikhlas. Aisyah nampak kesungguhannya,"
"Ibu tahu, kamu masih goyah. Perkahwinan bukan perkara mudah. Bukan sesuatu yang hari ini kita boleh kata ya dan esoknya kita kata tidak,"

Aisyah hanya senyum. Senyuman yang dia sendiri tidak pasti makna di sebaliknya. Apakah senyuman ini tanda keliru, antara redha atau pasrah? Atau mungkin sekadar untuk menyejuk hati ibu? Entah. Aisyah buntu.

Hingga ke saat ini, dia masih buntu. Sedang masa kian suntuk, kian hampir untuk diijabkabulkan. Namun kisah cinta lama itu, kisah antara dia dan Haikal dulu semakin kejam menerjah jiwa. Semakin kuat menghentam ke dalam kotak fikir.

Ya Tuhan, kobarkan kembali semangatku


Bersambung...

Thursday, 18 October 2012

Tak Bisa Memiliki - Siri 2

Siri 1

"Saya mahu menyanyi,"
"Nyanyi lagu apa?"
"Lagu ciptaan saya,"
"Sungguh? Lagu tentang apa?"
"Lagu tentang persembahan jiwa,"
"Mahu persembahkan pada siapa?"
"Mahu persembahkan apa yang ada di dalam hati saya. Dulu, hati ini kosong. Tapi kini ia sudah berisi dengan jiwamu,"

Aisyah senyum sendiri. Riba ini masih terasa hangat saat Haikal merebahkan diri. Jari-jemari ini masih terasa genggaman kemas sang jejaka pujaan hati. Dan pipi ini masih kemerah-merahan menahan sipu tatkala dikucup mesra lelaki itu. 

Arghhhh! Kenangan ini membunuh aku! Tolonglah! Nyah kau dari hidup aku! Nyah kamu semua dari meratah jiwa aku hidup-hidup! Celaka! Celaka! Celaka!

Aisyah sudah tidak keruan. Aisyah sudah hilang akal. Kamar ini bagaikan kamar hukuman. Menghimpit setiap nafas yang dihela.  Menyeksa ke segenap sanubarinya. Tapi dia mahu salahkan siapa? Perpisahan atau pertemuan? Haikal atau Tuhan? Atau diri sendiri kerana menyerah diri kepada kesedihan?

Airmata ini adalah darah yang mengalir dari hatiku. Tidak pernah dan tak akan kering selagi jasad berkandung nyawa. 

Bersambung....


Tuesday, 9 October 2012

Tiga


Jam tua nyaring berdenting 3 kali. Hulu dinihari menelan malam.  Dingin pagi menusuk tubuh, menembus hingga ke temulang hitam. Lukman memeluk tubuh sendiri. Dia hanya duduk sepi di situ, di antara anak tangga. Tidak menunggu. Tidak pula mengira waktu berlalu. Hanya diam di situ, membatu.

*****

Daun pintu dikuak luas, berkeriut bingit memecah sunyi malam. Lampu lindap membikin gelita ke segenap ruang. Norma menunjuk isyarat senyap kepada Zali. Perlahan-lahan sepatu tumit tinggi diletak kemas di antara sepatu yang lain. Norma sudah mengira rancang. Malam ini adalah malam kerja Lukman. Norma pasti yang itu. Berkali-kali dia bertanyakan soalan yang sama; Abang betul kerja malam esok? Norma nak pastikan saja. Boleh kecualikan malam esok dari berjumpa klien. Kasihan anak-anak tak ada siapa nak jaga nanti. Begitulah Norma. Mulut manis berbicara, bibir tak sudah menguntum senyum memikat jiwa. Setiap butir kata pasti memabukkan.

Norma dan Zali menyusup licik ke kamar ranjang. Melangkah jingkit agar tidak didengari orang. Berselang dengan hilai ketawa kecil, seolah dunia ini mereka yang punya. Pasangan tidak halal ini terus-menerus membiar diri dihasut syaitan. Gejolak nafsu kian menelan akal. Rakus Zali mencumbui Norma, wanita ajnabi yang langsung tidak halal untuk disentuh. Norma rela diperlakukan apa cara. Dari saat sehelai demi sehelai pakaian dilucut dari tubuh badan. Hingga ranjang menjadi saksi adegan asmara terlarang.

Bawah sedar, Lukman membatu bisu di antara anak tangga itu. Hanya duduk di situ, berlindung di bawah gelap malam. Tidak muncul walau sedikit bayang. Dia hanya terpempan beku, menadah dengar hilai ketawa isteri halal dan lelaki asing yang jauh dari kenal. Sesekali, dia mengepal penumbuk keras melayan amarah yang menggelegak panas. Hilang iman, meragut segala kesabaran. Lukman bangkit dari duduk. Bergegas mendapatkan sebilah parang. Lalu meluru lari menuju ke kamar penuh dosa. Sebaik daun pintu dikuak lebar, aksi ranjang Norma dan Zali terhenti di tengah jalan. Panik menjalar ke seluruh badan. Mereka bertempiar lari, bertelanjang bulat. Lukman tidak menunggu lama. Bagai disampuk hantu, menghunjam parang tepat ke perut Zali bertalu-talu.

Namun akal rasional memujuk, menenang jiwa. Istighfar diucap berulangkali, menghalau syaitan dari menghasut dengki. Lukman memejam mata, menghalau imaginasi jauh pergi. Walaupun hati runtuh ripuk tetapi tidaklah jalan sudahnya dengan membunuh. Barangkali, inilah dugaan dari Maha Esa. Apalah sangat beban duniawi jika hendak dibandingkan di sana nanti. Tidak selamanya kehidupan di dunia ini akan kekal abadi. Termasuk ikatan perkahwinan ini.

Lukman tidak berganjak dari duduk. Hingga azan Subuh berkumandang syahdu, mengajak umat manusia menyembah diri-Nya. Mendayu-dayu. Serentak itu, pintu kamar berkuak luas. Dua kujur tubuh bernyawa perlahan-lahan menyelinap keluar. Samar cahaya dari ruang kamar menjelaskan sedikit pandang mata. Tersentak Norma melihat Lukman duduk kemas di antara anak tangga.

Abang....

Tanpa menoleh, Lukman menganjak jarak dari tubuh dua manusia yang penuh dosa. Berbaur rasa menggelodak di dalam jiwa. Norma sudah tidak keruan. Bagai dirasuk gila, datang menerpa untuk memujuk-rayu. Zali hanya di sisi, diam menyepi.

Sudah berapa lama?

Ringkas patah kata terbit dari celah bibir kering Lukman. Norma tidak menjawab. Cuba menggenggam jemari Lukman, namun direntap penuh kebencian. Terbuntang biji mata Norma diperlaku sebegitu rupa. Lukman, lelaki yang lembut budi bicara. Sopan perilaku. Sentiasa mengalah pada setiap perbalahan. Tetapi malam ini, hati lelaki ini tidak selembut baldu. Sudah berubah menjadi batu.

Sudah berapa lama?

Lukman masih bertanyakan soalan yang sama. Tidak menjerkah. Namun keras dan tegas.

3 bulan...

Norma akur dengan soal tanya itu. Lemah jawabnya selemah hati yang kesal dengan keterlanjuran. Lukman menguntum senyum sendiri. Perlahan dia menoleh ke arah Norma. Mengadap sang perempuan yang masih halal disentuhnya. Jari-jemari mereka kemas bersatu.

Terima kasih kerana pernah membalas cinta saya suatu ketika dulu. Terima kasih kerana pernah berjanji sehidup semati. Terima kasih kerana melahirkan putera dan puteri. Terima kasih kerana menjaga makan minum saya selama ini. Tidak buruk walau sepicing layanan awak terhadap saya. Percayalah, cinta saya terhadap awak hingga ke saat ini sentiasa mekar di hati. Hingga ke saat ini.....

Lukman melepas genggam. Masih merenung Norma yang kian galak bertangis kesal.

....dan kini, hati saya sudah tawar untuk mencintai. Dengan ini, saya ceraikan awak dengan talak tiga!

*****

A-alātu khayru min an-naūm!

Lukman meraup wajah. Anak-anak tangga itu ditinggalkan. Hatinya hanya berhajat satu, menunaikan solat Subuh dengan khusyuk. 

Friday, 5 October 2012

Tak Bisa Memiliki - Siri 1

Rumah kayu bertangga batu itu meriah dengan anak-beranak, adik-beradik, saudara-mara dan sahabat-handai. Tak terlepas kemeriahan dan keriuhan walau di mana. Adakala bergegar rumah kayu bila anak-anak kecil berlari ke sana sini. Hingga berdenting pinggan dan gelas kaca berlaga sesama sendiri. Ada masa pecah ketawa tetamu bila nenek tua galak melatah diusik anak-anak muda. Semua gembira. Semua suka.

Namun tidak pada hati itu. Hati yang telah lama patah dua. Jiwa yang telah lama sepi. Apa yang ada hanya air mata. Dan jasad yang dipaksa bernyawa. Sejak pagi, Aisyah memaksa diri berteleku di sudut kamar. Kamar indah terhias ranjang malam pertama. Putih dan suci. Lebih berseri bila bertabur lili di setiap tiang ranjang tinggalan pusaka. Malang, seri dan keindahan itu dipandang kosong. Tiada daya untuk memenuhkan kegembiraan ke kotak fikir. Sesekali, Aisyah menyeka air mata dengan jari berinainya. Sungguh, tiada apa yang dapat dirasai melainkan derita.

Masih terkenang saat berbunga cinta. Perkenalan pertama pencetus sebuah epik duka. Siapa sangka, cinta yang diangankan hingga ke hujung nyawa rupanya terhalang oleh masa. Siapa dulu pergi dan siapa menyusul kemudian?

"Saya umpama sirap cinta. Hanya menunggu untuk menuang ke dalam hati kosongmu,"

Aisyah ketawa. SMS kiriman Haikal menyentuh jiwa kecilnya. Siapa lelaki ini? Berani. Bersungguh cuba memenangi hati perempuan ini. Perempuan yang kering hatinya. Perempuan yang keras jiwanya.


Bersambung...

Wednesday, 19 September 2012

Anak Syurga


Darah merah pekat memenuh ruang. Bau hamis darah segar mencucuk-cucuk deria bau. Kamalia panik. Peluh jantan meleleh hebat, melencun seluruh tubuh. Jantung berdegup sekencang taufan. Wajah Kamalia memucat biru. Takut mula menguasai diri. Bermacam perasaan bermain kejam di kotak fikir.

*****

Tulah dia budak-budak zaman sekarang! Kecik-kecik dah pandai menggatal. Bila dah mengandung beranak, membunuh pulak! Apa nak jadi? Tulah jadinya kalau kurang didikan agama. Orang macam ni jangan dibagi muka! Patut direjam sampai mati! Haih, entah bila kita nak amal hukum hudud? Pemimpin pun sibuk nak shopping hand bag je! 

Mak Nab membebel sendiri. Sesekali dia menghirup teh susu panas sambil mata leka membaca setiap berita.

Apalah mama ni. Setiap orang pun ada buat dosa. Tapi setiap dosa kan ada peluang untuk bertaubat. Mama membebel macam ni pun berdosa gak. Dosa mengumpat.

Kamalia memulang paku buah keras. Terbit kerut di dahi Mak Nab. Hati menggelegak ditegur anak. Serta-merta surat khabar dilipat kemas.

Eh, kau pulak yang lebih-lebih. Nak membela sangat orang macam tu kenapa? Kau jangan sesekali bercampur –gaul dengan budak-budak macam ni. Kotor dengan maksiat.

Kamalia mendengus geram. 100% negatif dengan pendapat ibunya sendiri.

Sepatutnya kita yang solat tak tinggal 5 waktu, puasa cukup sebulan dan tak pernah merasa zina ni yang menjadi pembimbing mereka. Bukan mencemuh, menyisih, mengeji dan memulau!

Segera dia mengangkat punggung dan menjauhkan diri. Membiar Mak Nab kembali sendiri. 

Apa yang aku cakap, semua nak menyanggah. Sebijik perangai bapaknya!

Mak Nab berleter sendiri. Kamalia tidak pernah sependapat dengannya. Langsung tidak serasi. Tidak seperti Sha, anak emas Mak Nab. Apa saja dia mahu, pantas Mak Nab tunaikan. Malah, kecemerlangan mereka sering dibanding-bandingkan.

Kau patut jadikan adik kau tu contoh Lia! Sudahlah cantik, cemerlang dalam pelajaran pula! Kalau setakat SPM cuma ada 5 A yang kau nak tayang kat aku, lebih baik tak payah. Aku nak A penuh! Macam Sha, 10 A penuh!

*****

Kamalia mengatup mata rapat, memadam segala ingatan terhadap ibunya. Sekujur tubuh kecil yang masih bertali pusat bertangis nyaring. Pantas Kamalia mencapai gebar dan menyelimuti bayi itu. Lalu ditatang penuh kasih-sayang.

Susukan anak kau Sha....susukan anak syurga ni. Istighfar banyak-banyak. Jangan fikir jalan singkat. Anak ni suci. Belalah dia. Jangan dibunuh. Jangan risau Sha....setiap yang sesat, pasti ada peluang untuk mencari jalan keluar. Persetankan cemuhan masyarakat. Mereka bukan Tuhan. Mereka langsung tak layak untuk menghukum kau. Lebih-lebih lagi mama....

Tuesday, 28 August 2012

Pulang


Entah kenapa, tahun ini adalah tahun paling teruja. Ismail sudah berniat tekad, Syawal kali ini biarlah sempurna. Tiada lagi sambutan sambil lewa dan alpa; Ya Allah! Izinkan aku berkesempatan untuk menghargai mereka. Ismail merenung wajah isteri dan anak, bersilih-ganti. Sesekali mengukir senyum sendiri. Apa lagi harta dunia yang tak terkira nilainya selain keluarga? Tiada.

Perjalanan masih berbaki 50km. Ismail resah. Jalan-jalan kampung bagai ular kena palu. Mencemaskan. Apalagi bila memandu di tengah gelap malam. Tapi Ismail mahu mengejar waktu. Sampaikan jalan berliku pun, direntas bahaya. Tidak berhati-hati. Malah, Ismail memintas apa saja kenderaan yang menghalang. Walau beberapa langkah kaki di hadapan, lori treler menyala lampu tinggi berulangkali.

Abang!!!!!!!
***

Ismail tersentak dari lena. Serta-merta bangkit dari perbaringan. Menjejeh peluh jantan melencun wajah. Mata meliar memandang keliling kamar; Astaghfirullah!. Ismail meraup wajah, tanda lega.

Ruang dapur dituju pantas. Sekujur jasad bernyawa sedang asyik menganyam ketupat. Tatkala wajah isteri bermain di pandang mata, Ismail menguntum senyum mesra. Sekali lagi dia lega. Seakan mahu merangkul erat tubuh Salbiah, isteri nan setia. Namun niatnya mati bila anak-anak datang lari berkejaran menggegar lantai papan. Jelas terlihat wajah keriangan. Mahu saja Ismail mendakap mereka satu-persatu dan mengucup pipi bertalu-talu.

Dari anjung dapur, muncul wajah tua ibu sedang menatang nyiur berisi daun palas. Ismail pasti, juadah ketupat palas akan turut serta menghiasi meja di pagi raya nanti. Nun di bawah rumah sana, ayah tekun menghidup bara api untuk menggulai rendang. Ismail mengernyih bagai kerang busuk. Bergegas dia menuruni anak tangga, membantu ayah tanpa disuruh.

Alhamdulillah! Tercapai juga niat aku untuk meraikan lebaran tahun ini bersama mereka.

Getus hati kecil Ismail, mengucap syukur ke hadrat Illahi. Tahun-tahun yang sudah, dia alpa. Sibuk mencari rezeki dunia. Pujuk rayu ibu ayah langsung tak diendah. Salbiah pula mangli dengan jerit jerkah setiapkali menyata hasrat untuk pulang berhari raya. Ismail kesal.

Ismail menggeleng kepala sendiri. Cukuplah kenangan lalu. Biarlah dia merentas lebaran tahun ini dengan satu kepuasan. Ismail menguntum senyum sendiri. Songkok baldu dikenakan ke atas kepala. Langsung dia dapatkan ibu dan ayah, bersalaman dan bermaafan. Tubuh tua itu dipeluk erat. Hingga menitis airmata satu persatu membasah pipi.

Maafkan Mail, ibu. Maafkan Mail, ayah. Mail berdosa. Mail derhaka. Mail lupa yang Mail masih punya ibu dan ayah yang sentiasa mengambil berat, yang sentiasa terbuka hati untuk menerima Mail seadanya. Ampunkan Mail....

Ismail mengalih pandang. Wajah lembut Salbiah direnung dengan penuh kasih sayang.

Maafkan abang, Sal. Selama ini abang tak menghargai Sal, isteri abang yang sah. Abang abaikan Sal. Abang biarkan Sal dan anak-anak.. Namun Sal tetap setia di sisi abang. Biar abang susah, mahupun senang. Sal tak pernah merungut. Sal tak pernah menafikan. Sal tak pernah menyoal...

Ismail masih menangis, sambil memeluk erat sepasang kurung biru lusuh. Sesekali dia meraung kesal. Payah untuk menerima kenyataan. Wajah tua ibu dan ayah semakin kabur di hadapan mata.

Ibu!!! Ayah!!! Jangan tinggalkan Mail!

Perlahan-lahan bayang ibu dan ayah menghilang. Ismail tidak keruan. Serta-merta menoleh pandang ke arah Salbiah, mesra berpelukan bersama anak-anak sambil wajah menguntum senyum.

Sal....jangan tinggalkan abang....anak-anakku, jangan tinggalkan ayah!!!

Ismail cuba memeluk namun pelukannya kosong. Hanya angin lesu memenuh ruang. Mereka sudah pergi. Rumah kayu ini kembali sepi. Hilang seri. Tiada raya lagi. Apa yang ada hanya tiupan bayu yang datang menyinggah sesekali waktu. Meniup wajah comot Ismail yang tidak pernah kering dengan airmata kesal.

***

Seram betul aku tengok sebelah rumah atok kau ni Liza. Usang, gelap, sunyi.

Choi Ling menyelak sedikit tirai jendela, memerhati rumah kayu usang seberang jalan. Liza turut menjenguk ke luar jendela.

Ada cerita di sebalik rumah tua tu. Aku pun kabur-kabur kisah sebenar. Lagipun masa tu aku kecil lagi. Dengar cerita, anak tunggal tuan rumah accident masa malam raya. Anak bini dia meninggal masa tu juga. Dia pula koma, lama terlantar kat hospital. Bila sedar dari koma, dia tak boleh terima kenyataan. Menangis saja kerja sampai hilang akal. Mak bapaknya yang dah tua tu la yang jaga anaknya sampai mereka berdua meninggal dunia. Lagi teruk dia terabai. Merayau sekitar kampung. Makan minum pun ihsan orang keliling. Lama-lama, dia pun meninggal sebab accident juga.....

Liza mengeluh sendiri. Membiar Choi Ling yang ralit bermain mata dengan rumah kayu yang kian mereput tua.

Kalau kau berani, kau masuk dalam rumah tu. Kau tak akan jumpa apa-apa barang kecuali sepasang kurung biru milik arwah isterinya...

Liza mengujar sambil mengernyih, membikin Choi Ling diselubung ketakutan. Serta-merta tirai jendela dilepaskan.

Thursday, 2 August 2012

Lapar


Emper dua tingkat unit E-5-4 meledak dengan kemeriahan. Adunan semula muzik Starship dendangan Nicki Minaj bersipongang memenuhi segenap ruang. Para tetamu berjejal dansa sesama sendiri. Bagi mereka, malam masih terlalu muda. Dan parti masih belum cukup liar untuk merasa kehangatannya!

Rokiah santai di sudut serambi. Cuba lari dari hingar-bingar dentuman muzik yang kuat. Dia lebih selesa menikmati angin malam di puncak kondominium mewah ini. Sambil menghirup champagne dari siri Moet & Chandon Nectar Imperial. Dan mata meliar memandang keliling.

Tanpa sedar, sepasang mata leka meratah keindahan tubuh mungil Rokiah. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, segalanya dipandang indah. Imaginasi nakal mula bersenggama dengan akal fikiran. Zaki mengernyih sendiri. Dia mereguk saki-baki gandingan Coke dan Chivas, lalu meninggalkan gelas wiski di atas meja bar. Zaki tidak menunggu lama. Dengan bersahaja, dia mendekati Rokiah yang kelihatan naif dengan parti liar ini.

Dari kejauhan, Zaki menghadiahkan sebuah senyuman kasanova.  Rokiah hanya menadah diri, membiarkan Zaki dekat padanya. Pada matanya, Zaki sangat menyelerakan. Persis model Eropah. Berkulit putih dan berbadan sasa. Rugi melepaskan peluang yang ada. Apa guna berwajah jelita andai naif untuk menggunakannya?

Hai!

Zaki berbisik ringkas. Bibirnya sangat dekat pada telinga Rokiah. Rokiah hanya senyum nakal. Seronok diperlakukan begitu.

Takkan seorang saja malam ni? Tak enjoy party ke?

Zaki berbisik lagi. Kali ini bibirnya lebih dekat pada telinga Rokiah, mengambil kesempatan untuk bersentuhan.  Rokiah menjeling manja.

I do enjoy the party. Tapi kasihan, I tak ada teman

Rokiah membalas bisikan Zaki dengan gaya menggoda. Zaki mengetap bibir. Umpan sudah mengena. Sang perempuan ini bukan calang-calang spesis. Umpama spesis kelah, sedap diratah.

I tadah diri untuk you. Macam mana?

Rokiah ketawa mengekek. Manja dan mengada-ada. Jelas pergerakannya dikawal sebaik mungkin. Zaki memasang strategi. Pergunakan pengalaman yang ada sebelum ini. Siapa tidak kenal Zaki? Bakal mencipta legenda kasanova, berhati kering untuk membinasa tubuh giur wanita-wanita yang terkena jerat cinta.

I lapar. I nak makan.  And you.....look so yummy

Rokiah berbalas bisik sambil menjilat bibir merahnya. Sengaja ditunjukkan pada Zaki. Biar berahi lelaki itu, agar dia kenal siapa Rokiah yang sebenar. Zaki mengernyih. Nafsunya menggelepar bagai ikan lemas di daratan. Jari jemari mereka bertemu. Zaki menggenggam kemas. Dan membawa Rokiah pergi dari situ. Dia pasti, emper mewah dua tingkat ini pasti tersedia bilik tetamu.

Rokiah hanya membuntut ke mana arah pergi. Dan akhirnya tiba di destinasi. Satu-satunya bilik yang masih tidak berpenghuni oleh pengunjung parti. Tombol pintu lantas dikunci. Zaki tidak membuang masa. Dirangkul lembut tubuh Rokiah lalu mendekatkan diri kepadanya. Rakus mencumbu bibir, bertalu-talu. Sambil tangannya leka mencari butang, cuba meleraikan gaun chiffon yang dipakai Rokiah.

Rokiah bernafas desah, menghadap nafsu serakah. Membiarkan dada mengkalnya diratah-ratah. Laparnya makin menjadi-jadi. Zaki ditenung penuh selera. Serta-merta siungnya menumbuh di antara gigi. Tidak menunggu lama, dia menghunjam siung ke tengkuk Zaki. Mencarik-carik isi hingga tiada nyawa. Hilang ronta, hilang jeritan segala. Dan Rokiah terus melahap gembira.

Daging manusia ini, aku yang punya!!!!!

Malam itu juga, bersahutan lolongan serigala meraikan kejayaan. 

Sunday, 29 July 2012

Pandiang


Aku bersandar lesu. Sebaik usai kemurkaan, rokok percuma itu aku jamah rakus. Lelaki bernafsu naif terus pergi meninggalkan kamar hapak ini. Tanpa sebarang pesan. Apa lagi kucup sayang. Melainkan tiga keping not RM10 beserta pengeras. Dan nafas aku lemah di ruang kamar sempit ini;

Siapa aku?
Adakah aku yang mereka panggil sundal?
Adakah aku yang mereka gelarkan jalang?
Adakah aku yang mereka katakan perempuan murahan?
Persetan!
Aku tak pernah ambil peduli.
Siapa aku?
Aku adalah aku sendiri.

Aku adalah puteri gelandangan. Aku berkhayal fantasi dengan kemahuan sendiri. Bila jiwa sepi, aku hiburkan dengan iringan muzik hap aeolia. Sambil mengibas sayap bidadari. Dan cuba terbang tinggi. Setinggi yang mungkin aku boleh pergi. Bukan setakat Menara KLCC. Tapi mungkin mencecah ke bimasakti. Agar aku boleh bermain dengan Venus. Mencelah riang di antara bintang-bintang.

Dan kupu-kupu kehidupan berterbangan mengiringi aku yang berapungan di udara. Membawa aku ke dunia yang lebih berwarna-warni. Dan menjejak aku ke aspal berbalut baldu. Menunjuk arah ke sungai madu yang berhias titi pelangi. Aku mahu menyeberang titi itu hingga ke penghujungnya. Dan mahu terus berkelana di sini. Meninggalkan sisi gelap di alam realiti. Dan rakyat jelata bumi yang lebih suka menjadi Tuhan dari menjadi hamba abdi(Nya);

Kalau aku menghuni di sisi gelap, tarik aku ke sisi terang,
Usah mengeji kerana kamu bukan Tuhan,
Tarik aku, tampar aku dan tunjukkan aku di mana cahaya Tuhan,
Bukan campak aku, tendang aku jatuh ke lubang hitam.

Aku adalah lambang kekosongan. Jiwa penuh lara. Perasaan tiada cinta. Aku mungkin kebuluran kasih kerana aku manusia delusi yang mencintai halusinasi. Aku lebih suka berkawan dengan pelangi. Dari bersekongkol dengan manusia bumi. Jika aku disuruh menikmati duniawi, aku lebih rela melemaskan diri di dalam lautan sepi. Dan biarkan aku ketawakan pada nasib sendiri.

Pecahkan hati ini. Apa lagi yang ada? Apa lagi yang tinggal? Tiada. Walau berlinang airmata. Ia tidak pernah bawa aku ke mana-mana. Tiada lagi. Tidak akan lagi. Dan sudah tiada apa-apa lagi. Apakah ada yang sudi menghulurkan tangan? Sudi membimbing ke pangkal jalan? Sudi mengajak aku menemui cahaya Tuhan?

Aku semakin lemas dibaham noda hitam,
Semakinku terkapai, semakin kuat sentuhan itu menghentam,
Di saat ini, aku membayang saat kelahiran,
Saat aku tergelincir dari rahim seorang ibu,
Saat aku menikmati nafas pertama di bumi,
Saat aku masih bertelanjang dengan dosa-dosa ini.

Aku masih mengharap cahaya itu datang. Aku mengharap agar sempat menghidu bau kemanisan syurga. Izinkan cahaya itu memancar sinar. Untuk aku pegang. Untuk aku keluar dari lubang hitam. Sedang aku tahu, tangan-tangan makhluk hitam ini akan rakus menyentap tubuhku. Dan menenggelamkan aku ke dasar neraka. Aku menunggu hukuman seterusnya.

8:45 AM.
Hotel murah.
Bilik 104.
Serpihan hablur ice baby.
Botol Thai Song kosong.
Puntung rokok kretek.
Mati.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...