Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.
Showing posts with label Koleksi Cerita dill. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Cerita dill. Show all posts

Wednesday, 27 March 2013

Sedap


"Woih Man! Banyaknye lauk! Aku tak tau pun yang ko pandai masak!" mata Zul terbuntang melihat aneka juadah di atas meja makan.

Daging masak merah, daging goreng kunyit, sayur campur, spageti bolognese dan air sarsi sebagai pembasah tekak.

Azman tersenyum. Bangga barangkali. 

"Ha! Ape yang ko tercegat lagi tu? Duduk, makan! Aku masak special hari ni. Ko makan puas-puas."

Tanpa membuang masa, Zul menarik kerusi dan duduk. Tangannya mencapai pinggan dan mula menyenduk nasi.  Mula memenuhkan pinggannya dengan daging masak merah dan daging goreng kunyit serta sayur campur. Dia menyuap dan mengunyah laju-laju.  Selesai menambah dua pinggan nasi, dia mencapai spageti bolognese pula. Mengunyah rakus. Azman tersenyum dengan telatah Zul. Zul menamatkan operasi kunyahannya dengan air sarsi. Dia tersandar kekenyangan.

"Eh! Ko tak makan ke, Man? Asyik aku je melantak tadi," tanya Zul.

"Aku dah kenyang. Tak pe. Ni semua memang untuk ko," jawab Azman sambil meneguk air sarsi.

"Fulamak! Sedap giler ah ko masak! Ko patut masuk Master Chef. Gerenti ko menang punye!" melangit pujian Zul.

"Ah! Biasa-biasa je aku masak. Ko ni..macam tak biasa pulak," jawab Azman lagi.

"Weh! Ko gune daging ape? Manis gile. Rase serasi je dengan tekak aku," Zul bertanya. Ingin tahu.

"Aku guna daging special, beb. Ada ramuan istimewa lagi."

"Ok lah Man. Aku kene jumpe Shasha ni. Dah berjanggut aku call die. Tapi tak angkat-angkat. Bengkek aku! Ingat nak ajak die datang sekali. Tapi senyap pulak minah ni. Ape-ape pun thanks yah!" Zul angkat punggung. Bersalam dengan Azman dan keluar melalui pintu depan rumah.

Azman mengemas meja makan. Dia mengangkat pinggan kotor ke sinki. Membuang sisa makanan ke dalam bakul sampah. 

Kelihatan satu kepala berada dalam bakul sampah. Kepala milik seorang wanita dengan lidah terjelir. Matanya terbelalak. 

"Shasha, aku dah cakap..daging ko memang sedap. Berselera sungguh Zul. Terima kasih, sayang."

Thursday, 29 November 2012

Untukmu Gaza

kredit: Google

Tangisan diteriak segenap sudut,
Sesak berfikir apa yang patut,
Tegak berdiri atau melutut,
Menghadap Zionis tanpa takut.

                                                           Bang!
Mati. 
Gugur.
Jatuh ke bumi.
                                                           Booommm!!

Bertebaran bom durjana,
                                                           Tidakkk!!!!!

Ayah! Ibu! 
Anakku...

Mati.
Gugur.
Jatuh ke bumi.

Monday, 24 September 2012

Gadis Gila


Taman bunga. Berhadapan tasik. Bawah pohon rendang. Angin sepoi-sepoi bahasa.

Ok. Dah bayangkan? Kita teruskan dengan cerita.

Kelihatan seorang gadis sedang tekun menghadap komputer ribanya. Matanya terlekat di skrin. Ada kalanya dia tersenyum. Kemudian ketawa. Seketika kemudian, tersenyum semula. Mungkinkah dia sudah gila?

Tidak. Tidak.

Eh! Dia senyum lagi.

Oh. Mungkin betul dia gila.

Mari kita dekati gadis itu. Perlahan-lahan. Hey kamu! Jangan jalan laju sangat. Nanti terpijak ranting ke daun kering ke. Kantoi la kita nanti!

Ok. Berjaya sampai di belakang gadis itu. Jom kita tengok kenapa dia senyum.


La.....

*ini pun cerpen cinta jugak kan. Cintakan binatang. Kahkah!

Friday, 31 August 2012

Merdeka!

Nurhan mencampakkan tiga bunjut serbuk kabait atas tanah. Tangannya menggenggam sebatang buluh sebesar lengan, separas pinggangnya. Nurhan berlutut dan membuka ikatan bunjut kabait. Dia menuang serbuk ke dalam muncung buluh dengan penuh hati-hati.

Nurhan. Seorang budak lelaki berumur 10 tahun. Berhasrat untuk menyambut hari merdeka dengan dentuman mercun buluh ciptaannya. Sedang Nurhan menggoncang buluh untuk memadatkan kabait. bahunya dipegang dari belakang. Nurhan menoleh. Dia tersengih.

"Nurhan buat meriam buluh? Bahaya kan?"

"Ala Ayah. Releks la. Meriam je kot. Bukannya Nurhan buat tarian Oppa Gangnam Style yang hodoh tu. Haha!"

"Mari sini Nurhan. Ayah nak cakap sikit." Nurhan membontoti Ayahnya. Mereka duduk di kerusi batu buatan Ayah Nurhan.

"Ada apa, Ayah?"

"Nurhan, Ayah lahir selepas Malaysia merdeka. Alhamdulillah masih bernafas sehingga saat ni. Nurhan, dah berapa tahun kita merdeka?" tanya Ayah Nurhan.

"Sekarang ni tahun 2020. Dah 63 tahun, Ayah!" jawab Nurhan teruja.

"Apa yang Nurhan faham pasal merdeka?"

"Merdeka? Bunga api! Orang nyanyi!" Nurhan tersengih-sengih.

Ayah Nurhan tersenyum. Tangannya mengusap kepala anak lelakinya."Nurhan, merdeka ni bukan setakat bunga api dan orang nyanyi. Merdeka ni kan Nurhan, hati kita ni tak de perasaan jahat," Tangan Ayah Nurhan beralih dari kepala ke dada anaknya. "Biar jiwa penuh dengan sifat mahmudah. Jauhi mazmumah. Usah biarkan perjuangan datuk nenek kita dulu sia-sia. Mereka bermandi darah membebaskan negara. Anak muda zaman sekarang ni sibuk dengan hiburan yang melalaikan. Nurhan kira beruntung sebab tinggal di kampung. Masih belum tercemar walaupun dah tahun 2020. Ayah harap Nurhan tak sia-siakan jiwa Nurhan dengan bermain meriam buluh tu. Nyawa tak dapat dibeli dengan duit, nak." 

Nurhan diam. 

Ayah Nurhan tahu penerangannya masih belum utuh. Namun buat masa ini biarlah anaknya memahami apa itu kemerdekaan dalam jiwa Islam. Tak mati kalau tak sambut merdeka  dengan terpekik terlolong seperti orang tiada berjiwa. Tiba-tiba Nurhan bangun dan berjalan menuju ke meriam buluhnya. Diangkat dan dicampak ke dalam semak.

"Nurhan sayang Malaysia, Ayah."


SELAMAT HARI KEBANGSAAN KE-55 BUAT SEMUA PEMBACA WARNA KASEH.

Wednesday, 18 July 2012

Cinta Apam

“Alamak! Dah pukul  berapa ni? Boleh tertidur pulak tadi!” Akmal memarahi dirinya. Hasrat awalnya untuk tidur sebentar selepas Zuhur tadi terlajak sehingga ke lewat petang. Nasib baik tak terlajak Asar sekali. Lima minit kemudian, dia sudah berdiri di hadapan sebuah gerai kecil di tepi jalan. Gerai kecil bercat biru lembut dan beratapkan zink.  Kelihatan sekeping kad manila ditampalkan di bahagian hadapan gerai,

“Apam Balik 3 – RM1”

Akmal mendekati gerai kecil itu dan dia tidak dapat melihat gadis pujaan hatinya di situ. Puas Akmal tertoleh-toleh sehingga dia terperasan gadis itu sedang sibuk mengemas sambil melutut atas tanah.

“Patut lah tak nampak.” bisiknya.

“Kak, apam balik ada lagi?” Tegur Akmal sambil menjungkitkan sedikit kakinya untuk membolehkannya merenung ke sebalik gerai.

Gadis terus bangun apabila dia terdengar suara itu.

“Apam balik dah habis lah. Datang esok ye,” jawabnya dengan senyuman manis. Dia menyambung kembali kerjanya yang tertangguh sebentar tadi.

Akmal tersengih gembira. Tak dapat apam balik pun tak apa. Asalkan dapat menatap wajah manis gadis penjual apam balik pun sudah cukup mengenyangkan perut Akmal.

Sudah lama Akmal memendam rasa dengan gadis penjual apam balik itu. Akmal menghitung dengan jari kurusnya. Mengira sudah berapa lama dia jatuh cinta dengan gadis penjual apam  balik itu.

“Dah empat minggu aku memendam perasaan. Aku kena buat sesuatu ni. Respon dia pun macam okay je.”

Sememangnya sudah empat minggu dia jatuh hati pada gadis itu. Setiap hari kecuali hari Isnin dia akan ke gerai itu untuk membeli empat keping apam balik. Hari Isnin gerai tu tutup. Cuti kata gadis itu.  Dia bukannya minat sangat makan apam balik. Dia cuma minat dengan gadis penjual apam balik tu je.

Malam itu Akmal bertungkus-lumus mencurah isi hatinya dalam surat. Dia lebih senang menggunakan surat berbanding emel.

“Klasik dan romantik,” kata Akmal sendiri.

Selesai puas merenyuk kira-kira dua puluh helai kertas, akhirnya Akmal berpuas hati dengan puisi yang dicipta sendiri dan sedikit kata-kata cinta yang dicilok dari majalah milik kakaknya.

Confirm cair punyalah!” Akmal menabur sedikit bedak Enchanteur Romantic atas surat sebelum melipat dan menciumnya. Akmal terlena dalam senyuman.

Esok petangnya, Akmal sudah segak dengan jersi berjenama Lotto dan seluar paras lututnya. Sambil berjalan sempat dia memetik beberapa kuntum bunga kertas atau nama hebatnya Bougainvillea dari pasu milik ibunya.  Akmal berjalan kaki dengan hati berbunga-bunga.

Dari kejauhan dia sudah dapat melihat gadis tu sedang asyik menyiapkan apam balik untuk pelanggan.  Akmal semakin mendekati dan senyumannya melebar. Akmal sudah berdiri betul-betul di hadapan gerai.

“Cik..” kata-katanya mati apabila seorang lelaki tiba-tiba bangun dan berdiri dari sebalik gerai.

“Sayang, kat mana sayang letak tepung bancuhan tadi? Abang tak nampak pun.”

“Ala abang ni. Ada kat bawah tu ha. Cuba cari betul-betul. Sayang dah bawak sekali dari rumah kita tadi,” jawab gadis penjual apam balik.

Akmal tergamam. Gadis itu menoleh ke arahnya.

“Eh. Ye bang? Nak berapa tadi?” Tanya gadis penjual apam balik.

“Err..empat,” jawab Akmal. Senyumnya tawar. Gadis penjual apam balik memasukkan apam balik garing ke dalam plastik dan menghulurkannya kepada Akmal. Duit dan plastik bertukar tangan.

Akmal melangkah pergi. Menjauhi gerai bercat biru lembut. Kuntuman bunga kertas bertaburan di atas jalan. Surat cinta direnyuk menjadikannya surat yang ke dua puluh satu direnyuk Akmal.

“Oh. Cintaku dibawa pergi. Lebih baik aku bercinta dengan apam balik je la," kata Akmal sambil mengunyah apam balik garing.

Monday, 18 June 2012

Sebalang Kaca Mata

Perlahan Manisah membuka matanya. Perit dan pedih namun Manisah usahakan juga untuk membuka sedikit demi sedikit. Pandangannya berputar tiga ratus enam puluh darjah. Tertanya-tanya di mana dirinya.

Bilik itu kelam. Cahaya lampu meja samar-samar menerangi bilik kecil itu. Di sebelah kiri kelihatan sebuah piano usang manakala di sebelah kanan hanya ada sebuah meja kecil. Dari kejauhan Manisah dapat lihat sebalang kaca terletak di atas piano. Bersinar-sinar. Menggamit hati Manisah untuk mendekatinya. Manisah cuba berdiri, terdengkut-dengkut berjalan ke sana. Tiba-tiba Manisah terjelepok jatuh. Diurut betis. Sakit. Dikerling apa yang menyebabkan dia jatuh. Matanya membuntang. Terlanggar sekujur tubuh tanpa nyawa. 

Aaaahhhhhhhhhh!!!!!!

Manisah menjerit lantang. Dalam kesakitan Manisah berlari ke pintu. Cuba membuka tetapi tidak berjaya. Dikunci dari luar. 

Bukak pintu ni! Bukak! Bukak! Kenapa aku kat sini! Bukak!

Ketukan Manisah semakin deras. Tubuhnya menggeletar. Manisah ketakutan. Tiba-tiba pintu ditolak. Suatu kelibat masuk ke dalam bilik. Bertubuh sasa sedang tersenyum konon manis.

Manisah sayang, kenapa menjerit ni? Terkejut ya? Oh. Jangan risau, itu bangkai tidak bernyawa. 

Manisah berundur. Selangkah demi selangkah. Sehingga sejajar dengan piano lama. Matanya mengerling ke arah balang kaca itu. Anak matanya membesar. Kelihatan berpuluh-puluh biji mata dalam balang itu. Semuanya seperti merenung tajam ke arah Manisah.

Aaaaahhhh!! Apa tu! Lepaskan aku! Kenapa aku kat sini! Bangsat! Lepaskan aku!

Tersenyum lelaki itu. Tangannya memegang erat sebatang sudu.

Manisah, aku cintakan matamu. Aku perlukannya. Kau sudi berkongsi matamu denganku bukan?

Tidak!!! Kau gila!!! Lepaskan aku!!

Manisah berundur sehingga dia terasa tulang belakangnya terkena dinding bilik. Lelaki itu sudah dekat dan sudu itu sudah menghampiri mata Manisah. Lelaki itu mencekik leher Manisah dan bersedia untuk menyudu mata Manisah. Korek. Sudu penuh bendalir jernih campur darah pekat.

Ah! Cukup sebalang kaca mata aku. *senyum*

Tuesday, 12 June 2012

Hikayat Jurus Taufan Petala

Angin bertiup kencang. Penduduk kampung Batang Pinang bertempiaran menyelamatkan diri. Peniaga-peniaga pula melarikan diri tanpa mempedulikan hasil tanaman mereka.

"Kasim mengamuk! Kasim mengamuk!" orang ramai berteriakan.

Kelihatan seorang lelaki berwajah bengis sedang mengamuk sambil memegang parang. Dia Kasim. Matanya meliar mencari mangsa. Dari kejauhan dia menjerit seperti orang hilang akal.

"Argh!!! Aku cabar kamu semua! Siapa berani berlawan dengan aku! Aku Kasim! Pendekar terhebat dunia!!"

Kasim mula menggila. Dia menetak apa saja yang ada di depannya. Tanaman peniaga, ternakan, malahan berguni-guni beras yang diletakkan oleh peniaga Pak Samat juga ditetak. 

Siti, anak bongsu Mak Temah menangis ketakutan melihat Kasim. Kakinya tersadung semasa penduduk kampung melarikan diri. Mak Temah tidak dapat berpatah balik mengambil Siti. Orang ramai yang berpusu-pusu menyelamatkan diri menyebabkan mereka berdua terpisah.

Kasim menyeringai pabila dia ternampak Siti. Pantas dia melangkah mendekati. Siti cuba untuk berdiri tetapi terjatuh kembali. Dia mengaduh. Kakinya terseliuh. Kasim semakin menghampiri. Diangkatnya parang setinggi kepala sebelum dihayun ke arah Siti.

"Argh!!" Siti menjerit. Matanya terpejam. Pabila dibuka, sangkanya dirinya sudah mati. Tetapi paru-parunya masih berfungsi. Didongaknya kepala, kelihatan parang Kasim bertemu dengan senjata dari arah berlawanan.

"Langkah mayat aku dulu sebelum kau huruskan parang kau ke tubuh budak ini," ujar Majid yang menangkis parang Kasim. 

Petang itu, Kampung Batang Pinang menyaksikan pertempuran di antara Kasim dan Majid. Dahulu mereka berdua adalah sahabat baik yang berguru kepada Tok Hitam, guru silat terkemuka di daerah mereka. Namun sifat tamak dan cemburu Kasim menyebabkan persahabatan mereka terputus begitu sahaja pabila Tok Hitam menurukan ilmu Jurus Taufan Petala Pertama kepada Majid sahaja.

"Jangan masuk campur Majid kalau kau tak mahu kepala kau bercerai dari badan!" Kasim menjerit lalu mengundur ke belakang.

"Kau jangan begini Kasim. Lepaskan semua orang. Mereka tidak bersalah," Majid cuba memujuk.

"Ahh! Aku akan hapuskan kesemua mereka. Termasuk kau!" Kasim mula membuka langkah. Didekatkan kedua tangannya dan dia mula membaca mantera. Majid geleng kepala. Dia jua bersedia dengan pencak sendiri.

Pertempuran bermula. Dengan mulut yang berkumat kamit, Kasim mengikat sehelai kain hitam di kepalanya. Selepas itu, dia membaca mentara lalu menghembuskan pada parangnya. Matanya menyinga, mukanya merah. Kasim sudah dirasuk.

"Bersedialah kau Majid! Iyaahhhhhhh!!" Kasim meluru ke arah Majid sambil menghurus parang saktinya.

Majid memulakan pencaknya dengan Bismillah. Kaki kanannya dilujurkan ke belakang. Dengan sekali nafas, dia menepis serangan Kasim. Tanpa membuang masa, dihentaknya leher Kasim sehingga Kasim tersungkur ke tanah.

Kasim mengelupur kesakitan. Lehernya perit dihentak Majid. Kasim berjaya berdiri semula. Dia mendepakan tangan dan menggerakkan lengannya seperti seekor helang hendak menyambar mangsanya. Kasim menghunus parang ke arah Majid. 

Majid sempat mengelak. Namun bajunya tercarik akibat terkena hujung parang. Majid menangkis kaki Kasim sehingga jatuh tertiarap. Dia menekan leher Kasim ke tanah.

"Lebih baik kau menyerah sekarang Kasim sebelum aku benar-benar bunuh kau!" bentak Majid.

Namun Kasim enggan, dia membaling cebisan tanah ke mata Majid menyebabkan Majid melepaskan Kasim dari pegangannya. Kasim tidak membuang masa, diambilnya kembali parang saktinya lalu cuba menetak Majid yang terbongkok menahan pedih mata. 

"Jurus Taufan petalaaaa pertamaaaaaaa!!!" Majid mempertahankan dirinya. Kini jurus terbaru yang diturunkan oleh Tok Hitam digunakan. 

Langit menjadi gelap. Kilat sabung menyabung. Angin bertiup kencang.

Bersambung...

Monday, 28 May 2012

Baju Baru Meeya #2

Dalam mimpinya yang panjang, Meeya didatangi seorang gadis cilik. Dia memakai dress ungu bercorak rama-rama merah jambu.

"Sumimasen," katanya. Meeya mengerutkan dahi tanda tidak mengerti. Gadis itu seperti memahami kecelaruan Meeya.

"Maafkan saya. Saya tak bermaksud nak takutkan kamu. Saya cuma inginkan kembali baju yang kamu pakai," sambungnya lagi.

"Tapi ini baju Meeya. Siang tadi Mama belikan untuk Meeya." Meeya cuba mempertahankan haknya.

"Sebenarnya, baju itu dirampas daripada saya. Kira-kira 10 tahun yang lalu, kami sekeluarga datang ke Malaysia dari Fukuoka, Jepun. Lama-lama kami terbiasa dengan kehidupan di sini. Kami lancar berbahasa Melayu. Suatu hari rumah kami dimasuki perompak. Ibu bapa saya dibunuh dengan kejam. Saya pula diheret ke dalam hutan gelap. Wajah saya ditoreh dengan pisau rambo sehingga hancur. Baju saya direntap kasar. Saya kesejukan. Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, saya ditolak ke dalam lubang sedalam enam meter. Saya ditanam hidup-hidup. Saya cuba bernafas. Gagal. Paru-paru saya tersekat. Tiada udara. Saya mati kelemasan. Saya bersumpah akan mencari baju saya sampai bila-bila. Dan saya terjumpa kamu." Gadis itu berkata-kata panjang lebar.

"Baju ni Meeya punya!" Meeya masih berkeras. "Meeya takkan berikan pada siapa-siapa! Termasuk kamu!"

"Jangan begitu. Saya tidak mahu menyakiti kamu. Saya cuma pinta kamu tanam baju itu di belakang rumah kamu. Itu sahaja,"

"Jangan harap!" jerit Meeya.

"Kamu akan terima padahnya!" Wajah comel gadis cilik itu bertukar menjadi hodoh. Dia terbang mendekati Meeya dan cuba mencekik Meeya.

Meeya meronta. Cekikan gadis itu buat dia sesak nafas. Meeya menjerit meminta tolong. Tiba-tiba dia terjaga. Badannya lencun dengan peluh.

"Meeya! Meeya!" Mama Meeya memeluk Meeya. Sejak dari awal tadi dia memang berada di sisi Meeya selepas Meeya asyik meracau sewaktu pengsan.

"Mama....Meeya takut..." Meeya menangis. Matanya sempat mengerling ke arah cermin soleknya. Terlihat wajah gadis hodoh menyeringai lagi.

Berminggu-minggu Meeya dihantui oleh gadis Jepun itu. Siang malamnya sentiasa terganggu. Lama-kelamaan Meeya fed up. Dia mesti menghentikan semua ini. Dia tidak mahu hidup dalam ketakutan. Meeya tidak menceritakan tentang mimpinya tempoh hari kepada ibubapanya. Tidak mahu mereka kerisauan. Suatu hari Meeya mengambil keputusan untuk menanam baju ungu bercorak rama-rama itu di belakang rumah.


"Kamu nak sangat baju buruk ni? Ambik! Aku tak nak dah!" kata Meeya sambil menghumbankan baju itu dan mengambus tanah.


Malam itu dia bermimpi lagi. Gadis Jepun itu tersenyum tanda kemenangan.

Friday, 13 April 2012

Baju Baru Meeya #1

"Mama, Meeya nak baju tu!" kata Meeya sambil menunjuk ke arah sehelai dress. Dress berwarna ungu, bercorak rama-rama merah jambu.

"Mama tak berkenan la Meeya. Baju tu orang pernah pakai. Pastu dia jual semula. Orang panggil bundle, sayang," jawab Mamanya.

"Meeya tak kira! Meeya nak jugak!" jerit Meeya sambil menghentak-hentak kakinya.


"Eh Meeya ni. Banyak lagi baju yang boleh dibeli. Baju tu jugak yang Meeya nak," bebel Mama Meeya. Mama Meeya sudah mula melangkah meninggalkan kedai bundle itu namun Meeya masih di situ. Kaki Meeya seperti dipaku. Tangannya membelek-belek dress ungu. 


"Meeya, Mama ingat..." Mama Meeya menoleh ke sebelah. Dia terkejut. Meeya tiada di sebelahnya. Cepat-cepat dia menoleh ke sekeliling.  Ternampak Meeya. Setia berdiri di kaki lima Kedai Bundle Kidz. Mama Meeya geleng kepala dengan karenah anak perempuannya. Dia berjalan menuju ke arah Meeya. 


"Meeya...Meeya.." panggilnya. Tiada sahutan. Mama Meeya menghela nafasnya lalu masuk ke dalam kedai bundle.


"Encik, saye nak dress ungu kat depan tu. Berapa ya?"


"Oh! RM25 je kak. Kejap ye, saye ambilkan," jawab pekerja kedai. Dia menurunkan dress ungu dan memasukkannya dalam plastik. Duit dan plastik baju bertukar tangan.

"Nah. Untuk Meeya. Usah nangis dah. Dah umur 13 tahun pun, perangai macam budak umur 6 tahun. Malu la sikit," Mama Meeya membebel tak sudah. Meeya menyambut beg plastik berisi dress dan tersenyum simpul.

Sampai sahaja di rumah, Meeya terus masuk ke bilik tanpa lengah. Mamanya hanya memandang sebelum terus ke dapur. Dia perlu menyiapkan makan malam mereka sekeluarga. Dalam bilik, Meeya menggayakan dress ungu di hadapan cermin. Berpusing-pusing Meeya sambil ketawa. Tiba-tiba dia terasa angin bertiup di telinganya. Dia menoleh kiri kanan. Tingkap dan pintunya tertutup. Meeya mengabaikan rasa peliknya. Dia terus tersenyum-senyum di depan cermin. Telinganya seperti ditiup sekali lagi. Meeya tersentak.  Matanya terpaku pada cermin di hadapannya. Pantulan imej Meeya di cermin berubah menjadi seorang budak perempuan berwajah pucat. Dia menyeringai.



Meeya menjerit sebelum rebah.

bersambung...

Monday, 26 March 2012

Pengalaman Misteri Maizura


“Cik Maizura, Pakcik dah nak turun ke tingkat bawah ni. Kalau Cik Maizura nak balik, tolong tutupkan suis lampu dan aircond ye,” pesan Pakcik Kassim. Pakcik Kassim adalah pengawal keselamatan tempat Maizura bekerja.


“Baiklah, Pakcik. Terima kasih ya. Nanti apa-apa saye call Pakcik,” jawab Maizura sambil tersenyum. Maizura memandang Pakcik Kassim sekejap sebelum meneruskan kerja-kerjanya yang bertimbun dari siang tadi.

Sudah pukul 9 malam. Maizura masih menaip dokumen tender syarikatnya. Tiba-tiba dia terasa badannya seram sejuk. Terasa seperti ada mata yang merenungnya. Maizura mengangkat kepala dan matanya meliar ke sekeliling. Tiada sesiapa. Hanya dia seorang sahaja yang tinggal. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tangisan dari tandas berdekatan. Semakin lama tangisan itu semakin kuat dan menghampiri Maizura. Bulu roma Maizura meremang. Dia sudah tidak senang duduk. Maizura kelam-kabut mengemas barang-barangnya dan ketika dia mahu berdiri, badannya seperti ditolak seseorang. Maizura jatuh tersembam.

“Aduh...” Maizura menjerit kecil. Pergelangan kakinya perit. Sudah terseliuh barangkali. Maizura terdengar derapan kaki disulami dengan tangisan awal tadi. Maizura cuba membaca ayat Kursi namun bacaannya tunggang-langgang kerna dia terlampau takut.

Derapan kaki makin hampir. Maizura menutup matanya rapat-rapat. Matanya sudah basah dengan air mata.

“Ya Allah..macam ni ke nasib aku...” rintih Maizura dalam hati.

Ketuk..ketak..

Uwaa...uwaa...

Ketuk..ketak..

Uwaa...uwaa...

“Isk..Isk..Isk..” Maizura cuba menahan tangis.

“Cik Maizura, kenapa baring di sini? Aduh...kenapa menangis?” satu suara memecah kesunyian. Maizura mengangkat kepala. Kelihatan Makcik Susanti, cleaner bangunan sedang mendukung seorang bayi berdiri di hadapannya.

“Maaf nak. Bayinya tiada orang bisa jaga di rumah. Ibunya kerja. Makcik terpaksa bawak ke sini. Cik Maizura usah bilang sama bos nya ya. Kasihan sama makcik Susanti.” Makcik Susanti tersenyum.

Maizura melepaskan satu keluhan. Makcik Susanti rupanya! Tapi macam mana dia terjatuh tadi? Siapa yang tolak? Ia masih menjadi misteri.

Friday, 9 March 2012

Penulis Hantu & Cik Keropi #2

"Uncle ooo Uncle!"

Kedengaran suara nyaring menjerit-jerit memanggil Uncle Ghost. Dill masuk ke kedai runcit Uncle Ghost. Matanya melilau mencari empunya kedai. Dari kejauhan kelihatanUncle Ghost sedang sibuk menyusun botol-botol sos tiram di raknya. Dill ingin mengejutkan Uncle Ghost tetapi hasratnya dimatikan apabila dia melihat Uncle Ghostmerenung satu botol sos tiram. Uncle Ghost tersenyum lagi. Perlahan-lahan Dill mendekati Uncle Ghost.

Dalam masa yang sama Uncle Ghost terkenang kembali kisah dulu-dulu. Botol sos tiram. Memang menggamit jiwa raga. 

"Abang, tolong  pergi ke rumah Pak Mail. Mintakkan Emak bunga kantan. Terlupa pulak yang bunga kantan kat rumah kita ni dah terkorban semuanya,"

Penulis Hantu yang sedang syok melayan drama orang putih bingkas bangun. Diulang semula kata-kata emaknya, "Bunga kantan, Emak? Okei"

Penulis Hantu mencapai basikal kesayangannya dan mula mengayuh. Makin lama makin laju. Dia seperti sudah terlupa insiden sakit tulang belakang akibat jatuh tempoh hari. Mulutnya mengalunkan lagu 'Roulette' nyanyian kumpulan System of A Down. Lima minitPenulis Hantu drift, selamat sampai dia ke rumah Pak Mail. Rumah kayu Pak Mail tersergam indah. Pak Mail ada rumah atas. Penulis Hantu mendongak ke atas.

"Assalamualaikum!" tiada sahutan. Dia memberi salam sekali lagi. Masih tiada sahutan. Dari kejauhan dia ternampak pokok bunga kantan tumbuh cantik menghiasi tepi laman rumah Pak Mail. Takkan hendak cilok pula. Tak baik oh!

"Mungkin orang kat rumah tak dengar aku kasi salam kot," desis hati Penulis Hantu. Dia mendekati tingkap paling hampir. Baru sahaja dia membuka mulut untuk memberi salam, dia terasa kepalanya dicurah sesuatu dari atas. Bukan air kerna ia berbau. Kepalanya basah. Cepat-cepat dia lari dari tempat asalnya berdiri. Dia mengelap rambut dan menghidu bau di tangannya. Bau sos tiram! Dia lihat gadis yang sama tertumpahkan sos tiram dari tingkap itu. Dan gadis itu tidak perasan!

"Err. Assalamualaikum, Cik Keropi. Sos tiram awak tertonggeng tu ha," sound Penulis Hantu.

Keropi tersentak. Dilihat botol sos tiram di tangannya. Hanya tinggal separuh. Terus dia melihat wajah Penulis Hantu. Sudah dilumuri dengan sos tiram. Dari rambut hingga pipi. Keropi menutup mulutnya yang ternganga.

"Ya Rabbi! Mintak maaf! Saya tak perasan la boleh tertumpah sos tiram ni tadi. Kejap-kejap, saya datang" pantas kelibat Keropi hilang dari pandangan Penulis Hantu.

Keropi muncul semula di pintu dapur dengan sapu tangan bersih. Dia melangkah laju menuju ke arah Penulis Hantu. Dicubanya lap muka Penulis Hantu tetapi dia tiba-tiba tersedar. Malu. Diberikan sapu tangan itu kepada Penulis Hantu. "Awak lap muka awak ya. Maafkan saya"

"Aduh. Sweetnya minah ni," bisik Penulis Hantu dalam hati. "Err, awak.."

Keropi menoleh. "Ya?"

"Nak bunga kantan dua tiga batang boleh?"

Keropi mengangguk. Dia masuk ke dapur semula dan keluar menghala ke pokok bunga kantan. Dicantasnya beberapa batang bunga kantan. Dihulur kepada Penulis Hantu.

Mata mereka bertentangan dan masing-masing tersenyum.


"Subhanallah!" Hampir terlepas botol sos tiram dari tangan Uncle Ghost. Nasib baik sempat disambut. "Ya Allah, Dill. Usah buat macam tu lagi. Semput Uncle."

Dill tersengih. "Nak beras enam cupak"

Wednesday, 22 February 2012

Penulis Hantu & Cik Keropi

Penulis Hantu terduduk keletihan setelah seharian menyusun stok-stok barangan runcit yang baru sampai pagi tadi. Kedai runcitnya lengang waktu lewat petang. Dia terpandang basikal tua miliknya. Walau sudah uzur namun masih bertenaga membawa badan Penulis Hantu yang kerempeng itu. Penulis Hantu tersenyum sendiri. Teringat kisah lama.

Penulis Hantu mengayuh basikal laju-laju. Sudah hampir masuk waktu Maghrib dan dia masih di luar. Dia menyalahkan dirinya kerna terlalu asyik bermain bola sepak sampai tak ingat dunia. Penulis Hantu menyusuri jalan kampung dan tidak semena-mena ada sebuah basikal lain muncul dari simpang berdekatan. 

Dum! Basikal mereka berlaga. Kedua-duanya jatuh.

"Aduh, sakitnya tulang belakang aku!" keluh Penulis Hantu. Matanya memandang tepat kepada empunya basikal yang satu lagi. Seorang gadis!

Gadis itu memegang kepalanya. Pening barangkali. Dia membetulkan cermin mata yang senget akibat jatuhan tadi. Dia mengangkat kepala dan turut memandang Penulis Hantu.

"Maafkan saya," katanya.

Penulis Hantu terkedu. "Eh, tak pe-tak pe. Salah saya. Laju sangat tadi. Saya Penulis Hantu, Cik ni nama apa?

"Keropi." Mereka tersenyum sesama sendiri

"Uncle!"

"Opocot!" Penulis Hantu melatah.

"Hahaha! Uncle berangan ye. Senyum sorang-sorang. Nasib baik Orlando tak de kat sini. Kalau tak, kena bahan la Uncle ni." Dill sengih

"Aduh. Kamu ni Dill. Kus semangat Uncle. Ha! Nak beli apa ni?"

"Nak bawang setengah kati"

Monday, 6 February 2012

2 p.m.

Ammar looks at his watch. It is already 1.50 p.m. and Aida is not even here. Normally Ammar is the one who is always late. Aida promises that she will wait for Ammar at 2.00 p.m.

"Where are you Aida?" says Ammar. He starts dialing Aida's number but it is unreachable. He tries over and over again. But still no answer.

"Well, I just wait for her. It is just 1.55 p.m"

While waiting for his sweetheart, his mind starts wondering. 

Aida. 25 years old. A simple girl. Always wears Bawal scarfs, long sleeve T-shirts and jeans. She is very good in time management. She loves punctuality and hates procrastination. Aida has a very beautiful smile. And a small dimple on her cheek. Aida always meets Ammar at 2.00 p.m everyday since her break starts at that time. She has to wait for almost 15 minutes for Ammar to arrive. Ammar will apologize every day when Aida starts complaining.

"Hey, Ammar! What are you doing here? Buying some stuffs?" A male voice suddenly struck Ammar's ears.

"Oh, Khairi! Nah, I am just waiting for Aida. She is late you know. It is already 3.30 p.m" Ammar looks at his watch again.

Khairi remains silent before looks at Ammar. "Ammar, Aida is no longer with us. She passed away last month. Don't you remember?"

"What are you saying, Khairi? Aida is not dead. She will come. I know," Ammar's voice starts to change.

"Ammar, let's go home. You come here everyday for Aida. She will not wait for you as always. I am sure she does not want to see you like this Ammar. I know you love her and we both know she loves you more. Let's go home ya"

"Khairi, I miss Aida. I miss her so much. Ya Allah..." Ammar's tears start to run on his cheek. Everybody is looking at him and he does not give a damn. He just wants Aida.

"Remember Allah, Ammar. He knows what is best for you. Everything happens for a reason. Allah loves Aida more. Come, let's go."


:google:

Monday, 23 January 2012

Menghargai

Angin sepoi-sepoi bahasa petang itu. Menyapa lembut pipi Orlando yang sedang berehat berbantalkan lengan atas bangku berdekatan rumahnya. Mata Orlando memandang jauh sawah padi terbentang luas di hadapan rumahnya. Hijau kekuningan.

Sudah seminggu Orlando tidak ketemu Dill. Cuti sekolah ni Dill balik kampung kat utara. Tak de orang nak teman Orlando buat kerja sekolah. Sekejap-sekejap Orlando rasa kehilangan. Namun cepat-cepat dia buang perasaan itu. 

"Lepak ngan Qaisarah lagi masyuk~" katanya perlahan.

Petang esoknya Orlando masih lagi merenung sawah padi. Masih hijau kekuningan. Masih tanpa Dill. Kosong. Orlando leka hingga tidak sedar satu susuk tubuh menghampiri.

"Kamu, buat ape sorang-sorang kat sini?"

Orlando kerut dahi. Macam pernah dengar suara itu. Dia menoleh ke belakang dan melihat Dill sedang tersengih-sengih memandangnya.

"Eh! Lu dah balik? Gua ingatkan dah tanak balik sini," tanya Orlando.

Dill tergelak kecil. "Takkan nak tinggalkan kamu sorang-sorang kat sini. Nanti bau kamu sama macam Qaisarah. Hihi"

"Apahal datang jumpa Gua ni? Lu jangan jawab Lu rindu. Gua lesing Lu nanti," kata Orlando tanpa melihat wajah Dill. Matanya dialihkan semula ke arah sawah padi.

"Kite nak kasi kamu gula-gula ni je. Terima kasih sebab jadi kawan kite. Sungguh."

Dill meletakkan gula-gula berbentuk lolipop itu di sebelah Orlando. "Kite suke sangat-sangat kamu jadi kawan kite. Kite balik dulu tau. Tata!"  Dill berlari meninggalkan Orlando. Dia sempat lagi melambai sebelum hilang di sebalik celahan pokok rambai.


Orlando mengambil lolipop itu dan merenungnya. "Gua rindu Lu, Dill"

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...