Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday 16 December 2012

Cerita Aku Dan Dia

CERITA AKU DAN DIA
Cikapil

Kalau aku kata,
ada satu persamaan yang boleh buat manusia sedih,
kau mahu percaya?


Buku latihan setebal 80 mukasurat itu terus ditutup. Perlahan, aku elus pipi yang basah. Membaca satu demi satu aksara yang ada di dalamnya buat dada terasa ngilu mahu pecah. Ini baru satu. Macam mana mahu dihadap buku-buku yang lain? Argghhhh. Kotak berwarna merah dicapai bersama dengan lighter oren. Dikeluarkan sebatang rokok lalu dicucuh hujungnya. Pelan-pelan, sedikit demi sedikit asap ditarik keluar masuk ke dalam ruang dada.

“Suka sangat mengasap!” marah dia.

Aku hanya mampu tersenyum. Suka tengok dia marah-marah manja begitu sambil buat-buat muka. Comel. Ah dia, marah-marah pun tetap juga teman aku mengasap. Susah payah aku duduk jauh-jauh dari dia, tak sampai lima minit muka dia juga yang bertenggek depan mata aku.

“Pergi duduk sanalah, sayang. Asap ni,” arahku.

Macam biasa, dia buat tak tahu sahaja. Sibuk melayan lagu dari Ipodnya sambil menulis itu dan ini di dalam buku berkulit nipis warna coklat itu. Kadang-kadang, waktu itulah dia sibuk menghadap buku-buku indie dan zine yang bersusun atas meja yang ligat dibeli menerusi internet ataupun event-event. Macam pasaran gelap pun ada. Yelah, remaja zaman sekarang bijak memanipulasi peluang. Orang tak mahu terbitkan buku, mereka sendiri buka syarikat dan terbitkan buku.

Dia, buku dan pena – kawan baik. Kadang-kadang bila mood membaca dia hilang, Ipod itulah yang dibawa ke hulu hilir dengan telinga dipalam earphone. Lagu-lagu yang dia dengar sungguhlah tak masuk dengan jiwa aku. Dulu, la. Lagu-lagu dia, lagu puisi. Melalui dialah, aku kenal siapa itu Fynn Jamal, Wani Ardy, Para Jamaludin dan blablabla. Kadang-kadang, dia suruh aku dengar lagu-lagu tu sebab liriknya. Kalau bab lirik memang menusuk jiwalah. Dah nama pun lagu puisi, kan? Pendekkan cerita, hal-hal berkaitan puisi, buku indie, zine. Semua itu aku kenal dari dia.

“Dear, dengar ni.” Terus aku capai earphone yang dihulurnya.

Ngeri tak terbayang mata.
Bonda takkan ada sentiasa.
Nanti moga kau tak lupa.
Bonda memujukmu, anakanda.


“Itu lagu untuk babylah, sayang. Apa pula bagi dekat orang,” rajukku. Terus dia mengekek ketawa. Ada ke patut dia bagi lagu Arjuna Beta nyanyian Fynn Jamal itu pada aku. Aku bukan anak dia.

“Abaikanlah soal bonda, anakanda tu. Anggap jer macam orang pesan ini kat dia. Orang bonda, dia anakanda. Boleh gitu?” jelasnya.

Nanti bila kau buka mata, semua tak serupa.

Pause!

Cepat sahaja aku matikan lagu itu, segera. Dan wajah dia yang sedang tersenyum, aku pandang lama-lama dalam skrin laptop. Sambil itu, aku lap airmata yang jatuh.

“Sayang, orang rindu dia.”

*

Mata dibuka saat terasa ada tangan yang sedang mengelus-ngelus rambutku. Terus, senyum dia menyapa aku. Malas mahu bersuara, aku tarik dia dalam pelukan. Dan macam biasa, pelukan dia lagi kuat dari aku. Cuma yang lainnya, pelukan pagi ini lama. Sangat.

“Sayang,” panggilku perlahan. Langsung dia tidak kalih memandang malah lagi kejap pelukan dia. Aku usap-usap belakangnya sebelum menangkap bunyi halus esakan dia.

“Sayang, janganlah macam ni,” pintaku.

“Kalau tak pergi, tak boleh ke?” soal dia pula. Serak suaranya.

Aku keluh panjang. Dia tahu kenapa aku perlu pergi.

“Kenapa pilih tempat jauh sangat? Kan dekat-dekat ni ada,” tambahnya lagi.

“Kalau saja orang kenal dia lagi awal dari ni, orang tak pergi jauh macam ni. Kalau dia macam ni, orang lagi berat hati nak pergi.”

Terus dia melepaskan pelukan, bangun dan terus duduk bersila mengadap aku. Aku tak tahu macam mana mahu pujuk dia. Yang aku mampu buat hanyalah genggam erat jemari dia dan tarik dia bersandar di bahuku sampailah tangisan dia reda sendiri.

“Dahlah. Pergilah mandi, dear. Dah pukul berapa ni, nanti lama pula dorang tunggu dia.”

“Sayang, okey?”

Dia tarik senyum segaris sambil mengangguk perlahan. Aku pandang mata dia, lama. Aku nampak airmata yang kembali bertakung. Aku tahu dia cuba sembunyikan sedihnya. Terus aku bangun dan menapak ke bilik mandi.

Usai mandi, aku lihat dia sudah sedia menunggu aku. Dia dengan baju berwarna coklatnya dan tudung dari rona serupa. Sebaik terpandang aku, terus dia mengomel-ngomel perlahan tapi tak henti-henti. Itulah dia, mengelabah tak tentu pasal. Yang nak pergi itu aku, tapi dia yang mengelabah macamlah dia yang akan ditinggalkan van. Selesai bersiap, dia sama-sama ikut menghantar aku ke pintu pagar. Dari jauh, aku dah nampak van yang akan membawa aku ke Kuala Lumpur sebelum terbang jauh merentas Laut China Selatan. Aku pandang dia yang berjalan perlahan di belakang. Wajahnya beku, langsung tak bersuara. Aku biarkan saja sementelah aku sendiri tak punya kata untuk memujuk dia.

Siap menyusun bagasi di bahagian belakang van, kini tiba masa untuk bergerak pergi. Satu persatu kawan-kawan aku salami, sebelum menghadap dia. Dia hulur tangan, dan aku sambut lalu mencium tangannya sebelum membawa tanganku ke hadapan dia. Pelan-pelan, dia cium tangan aku juga. Aku senyum segaris, pusing belakang, terus berjalan masuk ke dalam van dan tutup pintu. Dari celah tingkap, aku balas pandang dia. Aku nampak dia ketap bibir rapat. Seminit kemudian, van pun bergerak meninggalkan dia dan kawan-kawan aku yang lain. Sebaik hilang dari pandangan, terus aku menelefon dia. Dan yang menyambut panggilan aku hanyalah esak tangis dia. Aku tak mampu buat apa-apa.

“Jaga diri, sayang.” Pesan aku.

“Jangan lupa orang, sayang.” Pesan dia.

Itulah kali terakhir aku tengok dia. Dan itu jugalah kali terakhir aku dengar suara dia. Esoknya, dia balik ke kampungnya. Sejak itu, aku sudah tak dengar khabar dia. Melalui kawan baik dia, aku cuba risikkan khabar. Kata mereka, keluarga dia bawa dia pergi jauh-jauh dari sini lepas tahu kisah dia dengan aku. Dan dia tak sempat nak cakap apa-apa pada aku. Cuma yang dia pesan; kalau aku bertanya tentang dia, disuruhnya aku baca buku-buku nipis berkulit coklat yang selalu digunakan untuk menulis itu.

Terus aku pandang timbunan buku-buku yang dia tinggalkan. Dulu, buku-buku tu tak pernah aku pedulikan. Jangankan kata nak baca, nak buka pun aku malas sebab aku bukan macam dia yang suka membaca. Aku hanya mampu bagi sokongan pada minat dia, lebih dari itu aku tak buat. Tapi hari ini melalui buku-buku itulah, aku tahu yang dia sayangkan aku. Malah, sayang dia pada aku melebihi sayang aku pada dia.

Yang buat aku bertambah sedih, dalam buku-buku itu tak ada tulisan berkenaan orang lain melainkan aku dan dia sahaja.

Kalau aku kata,
ada satu persamaan yang boleh buat manusia sedih,
kau mahu tahu apakah ia?
Jantina kita; perempuan-perempuan.


03.42 PM, 25 September 2012.
Cikapil

2 comments

sy kurg fhm.. sebenarnye kemana die pergi.. dan siapa shbt die tu? shbt ke kaksih? huhuhuhu.. mungkin perlu dibaca lagi baru kufahami.. huhuhu

Anonymous
09:53

owh..

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...