Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday, 23 September 2012

Takut

Penulis: Qalam Setia
Blog: http://qalamsetia.blogspot.com/

ENGKAU DITINGGALKAN BERSENDIRIAN DALAM KEGELAPAN. Pak Cik dan anak-anak buahnya membekalkan engkau dengan alat komunikasi jarak jauh. Pesannya, kalau terjadi apa-apa engkau harus lekas memberitahu. Alat itu engkau genggam kemas di tapak tangan kiri yang kecil. Dalam keresahan engkau duduk membongkok di sebuah rumah tinggal yang penuh misteri. 


Kedua-dua belah tangan engkau rapatkan di atas paha yang gebu. Engkau tenung ke bawah melihat tubuh engkau yang mungil. Dilindungi baju panas, engkau nampak comel dengan rambut panjang mengurai. Kaki yang ditutup seluar jeans mula menggeletar tanpa engkau sedari. Engkau terus pandang ke lantai tanpa berani mendongak sedikit pun. Tiba-tiba engkau terdengar suatu bunyi yang menakutkan. Engkau persetankan sahaja bunyi itu. 

Bulu roma yang halus sudah mula berdiri. Demi menghilangkan rasa seram sejuk, engkau gosok-gosok lengan yang kurus. Alat komunikasi jarak jauh pinjaman Pak Cik masih erat di dalam genggaman. Engkau berkata kepada diri sendiri, ‘Bunyi ini bukan tidak pernah aku dengar. Ini pasti bunyi bangku kayu.’ Maka berterusanlah engkau duduk membongkok di atas bangku kayu dalam penafian. Ya, engkau nafikan kewujudanku! 


***** 

“Kalau kita takut, mereka berani. Kalau kita berani, mereka takut!” Pak Cik cuba meyakinkan engkau, separuh berbisik. Dia selalu berpesan supaya manusia tidak takut akan hantu, tetapi dia sendiri suka menakutkan orang dengan ceritanya. Sudahlah semangat engkau tidak berapa kuat. Tambahan pula engkau sedang datang bulan. Sebab itulah engkau membantah untuk dijadikan umpan di rumah tinggal ini. 

“Tenanglah. Pak Cik ada. Dia akan selamatkan engkau andai terjadi apa-apa,” ucap Kakak minggu lalu. Dia yang engkau kenali sebagai senior di kolej telah bergiat aktif bersama-sama Pak Cik merakam penampakan hantu. Sejak engkau mengetahui minatnya yang pelik itu, engkau mula menjauhkan diri daripadanya. Pun dia masih sahaja mencari engkau untuk misi kali ini. Mungkin juga kerana dia tahu engkau seorang penakut. 

“Hai! Lama tunggu?” 

Lantas lamunan engkau terhenti. Pengalaman paranormal bersama Pak Cik dilupakan seketika. Engkau kini berada di sebuah restoran milik India Muslim. Perhatian engkau ditumpukan sepenuhnya kepada lelaki yang menegur tadi. Engkau tidak menjawab pertanyaannya tetapi senyum sahaja kepadanya. Daripada senyuman yang manis itu jelaslah engkau berasa gembira dengan kehadirannya. Bahkan sangat gembira. 

“Segaknya awak hari ini.” Engkau memujinya yang memang sentiasa bergaya segak. 

“Tidaklah, biasa-biasa sahaja. Lagipun saya hendak jumpa awak, haruslah segak-segak,” jawabnya dengan manis sekali. Kalaulah dia sudah sah menjadi suami engkau, pasti engkau cubit-cubit pipinya yang kasar. 

“Suara Keadilan.” 

“Apa dia sayang?” 

“Itu… oh, tolong jangan panggil saya sayang. Saya tidak biasa.” 

“Maafkan saya ya. Saya tersasul. Em… apa yang awak cakap tadi?” 

“Itu, Suara Keadilan yang awak bawa. Awak penyokong PKR rupa-rupanya.” 

Dia mentertawakan kata-kata engkau. “Awak baru tahu? Saya bukan sekadar penyokong, malah aktivis. Baru-baru ini saya ditugaskan untuk mempromosi Kelab Mahasiswa Keadilan di universiti. Awak mahu sertai? Nanti kita boleh berkempen bersama-sama.” 

Sekarang engkau pula mentertawakannya. “Tidak mahulah. Sebenarnya saya mengambil pendirian untuk tidak berparti. Saya tidak suka menyokong mana-mana parti pun. Bagi saya, kedua-dua Barisan dan Pakatan sama sahaja.” 

“Macam mana itu?” 

“Macam itulah.” 

“Yalah, macam mana?” 

Engkau ketawa lagi sebelum menjawab persoalannya. “Semua ahli politik, kalau tidak semua pun, majoritinya pasti mahu berkuasa. Untuk berkuasa mereka akan buat apa sahaja. Bermain politik sama macam berperang juga. Malah dalam bisnes pun kita seolah-olah berperang. Apabila berperang, maka banyaklah falsafah perang. Ada yang sanggup melakukan segala cara demi mencapai kemenangan.” 

“Oh begitu. Ha, cakap tentang bisnes, alhamdulillah saya baru dapat projek besar pagi tadi.” Dia mendekati telinga engkau lalu berbisik, “Projek seratus ribu!” 

“Ringgit?” Engkau melopong. Dia mengangguk mengiakan. “Wah! Acara apa?” 

“Acara…” 

“Sudah pesan minuman?” Seorang pelayan tiba-tiba muncul memotong perbualan engkau berdua. Buat seketika engkau berfikir akan minuman yang harus dipesan. 

“Air suam satu.” 

“Dua! Air suam dua ya,” pesan engkau. 

“Makan?” 

Engkau menggeleng sambil memandang lelaki yang engkau sayangi. Dia juga menurut pilihan engkau untuk tidak makan. Sejurus kemudian pelayan itu pergi dengan muka mencuka. 

“Arden.” Engkau menegur lelaki yang engkau cintai bernama Arden, yang seakan-akan hilang kata. 

“Ya, maaf. Kita sampai mana tadi? Oh ya, acara festival kebudayaan. Pihak universiti mahu saya uruskan festival dua hari itu. Insya Allah pada musim Tahun Baru Cina nanti.” 

Engkau angguk sahaja. Tiada kata mampu diluah. Hanya gelora berahi yang engkau rasakan. Ah, engkau tentu suka kalau di restoran ini tidak ada orang. Jadi engkau dan Arden bebas menikmati satu sama lain dengan bebasnya. 

“Arden.” Engkau menyentuh lembut tangannya. Dia tahu apa yang engkau ingini. Bibir engkau yang asyik digigit dan diketap memberitahu semuanya. Arden amat arif akan bahasa ini. Sebab itulah engkau mahu bersamanya saban waktu. 

Tanpa mengendahkan pelayan yang dalam perjalanan menghantar air suam, Arden menarik tangan engkau. Dia membawa engkau yang sedang ghairah masuk ke dalam Toyota Vios. Enjin dihidupkan dan engkau melihat pelayan tadi memanggil-manggil dengan jeritan yang tidak kedengaran. Kasihan dia yang susah payah membawakan dua gelas air suam. Tetapi engkau abaikan sahaja kerana nafsu untuk bersenggama sudah memuncak di kepala. 

Perjalanan ke rumah Arden terasa lambat walau hanya lima minit. Di rumah inilah engkau sering dipuaskan dan memuaskan. Arden yang tinggal berseorangan di rumah sewa ini membuatkan engkau berasa selamat. Setakat ini belum pernah engkau berdua diserbu pegawai jabatan agama. Lagipun jiran-jiran Arden semuanya Cina. Apa mereka kisah dengan sepasang kekasih yang memadu asmara? 

Selapis demi selapis pakaian dilucutkan. Seinci demi seinci tubuh engkau merasakan hangatnya persetubuhan. Ah, betapa nikmatnya! Sehinggakan engkau keliru hendak bersyukur kepada Tuhan ataupun tidak. 


***** 

Termometer infra merah mencatatkan penjunaman suhu yang mendadak. Serentak dengan itu engkau menjerit ketakutan memanggil Pak Cik di luar rumah. Satu, dua, tiga, empat, lima. “Pak Cik!” Engkau memanggil buat kali kedua dengan suara yang lebih nyaring. Enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh. Pak Cik dan Kakak serta ahli paranormal yang lain masuk mendapatkan engkau bersama sejenis alat. Yang engkau tahu alat itu namanya EMF Sensor atau pengesan medan elektromagnetik. Fungsinya konon untuk mengesan kehadiran makhluk halus. 

Kakak memeluk engkau yang menggigil tanpa dapat dikawal. Alat komunikasi jarak jauh masih engkau pegang erat di tangan kiri. Kerana getaran tubuh yang kuat, alat itu akhirnya jatuh ke lantai. Mujur tidak pecah, kalau tidak tentu Pak Cik marah. Berasakan Kakak adalah penyelamat, engkau memeluknya erat meski engkau tidak begitu suka kepadanya. Segala perasaan jelik engkau buangkan kerana tanpa Kakak, engkau akan terus ketakutan. Hampir sahaja engkau menjadikan Kakak sebagai sekutu Tuhan. 

Pak Cik memberi engkau sebotol air selepas menjampinya dengan kata-kata yang tidak engkau dengari. Entah ayat apa yang dia baca, engkau tidak peduli. Kalimah bismillah engkau lafazkan dengan terketar-ketar, bikin aku ketawa sahaja. Wah, satu botol air engkau habiskan dengan sekali teguk! Memang dasar penakut punya makhluk. Aduhai, dukacitanya engkau! 


***** 

Sesungguhnya aku menyaksikan engkau dan Arden bersenggama tanpa ikatan suci. Bagus, bagus. Engkau semakin jauh daripada Tuhan malah mendekat kepadaku. Ya, akulah yang engkau takuti di rumah tinggal itu. Padahal engkau baru mendengar bunyi nafasku sahaja. Hahaha! 

“Arden, saya takut.” 

“Takut apa sayang?” 

Engkau diam tidak menjawab. Aku tahu apa yang engkau takutkan. Tuhan? Ah, mengarut! Engkau takut kepadaku. Engkau bertaqwa kepadaku. Ya, taqwa! Taqwa itu ertinya takut. Allah berfirman supaya engkau hanya takut kepada-Nya. Di manakah ketakutan engkau itu? Mengapa engkau lemparkannya kepadaku? Adakah aku yang engkau sembah selama ini? 

“Jangan bimbang. Saya ada di sini. Jangan fikir bukan-bukan ya.” 

Aduh manisnya! Arden memang lelaki yang baik. Engkau sentiasa berasa selamat dalam dakapannya. 

“Arden, saya mencintai awak. Saya sayang awak sangat-sangat.” Engkau bisik ke telinganya yang capang. 

“Saya pun mencintai awak. Saya sayang awak lebih daripada awak sayang saya,” katanya sambil memandang tepat ke arahku. 

‘Hei makhluk! Siapa engkau hah? Apa engkau mahu daripada perempuan ini?’ 

Engkau tidak tahu dia sedang berbicara denganku. Di mata engkau dia mungkin sedang diam untuk menikmati saat indah ini. 

‘Hahaha! Arden, janganlah marah. Aku hanya menonton wayang percuma.’ 

‘Celaka engkau! Baik engkau pergi sekarang. Sebelum aku hancurkan engkau dengan pedangku ini, pergilah! Nyah engkau! Jangan ganggu dia lagi.’ 

‘Baiklah, aku akan pergi. Aku berjanji tidak akan mengganggunya lagi. Haha! Engkau pun tahu janjiku tidak boleh dipercayai. Tidak mengapa Arden, engkau menang hari ini. Genap empat puluh hari selepas hari ini aku akan datang lagi. Janganlah bimbang kerana aku tidak akan apa-apakan dirinya. Aku cuma hendak bermain-main dengannya. Hahaha!’ 


***** 

“Kalau engkau takut, makin sukalah dia kacau engkau,” ujar Pak Cik kepada anak-anak buahnya. Dia merupakan penjejak hantu yang bertauliah dan mendapat pendidikan dari barat. Berbekalkan minat yang mendalam terhadap paranormal, dia membentuk satu pasukan penjejak hantu dianggotai empat orang anak muda berhati kering. 

“Pak Cik, betulkah kita tidak boleh takut hantu? Ada ustaz cakap, syirik hukumnya kalau takut hantu,” kata seorang daripada mereka. 

“Betul. Cuma bab hukum itu Pak Cik tidak tahulah. Mungkin syirik kecil, kerana ketakutan hanya mutlak kepada Allah.” 

“Kalau begitu, saya langsung tidak takut apa-apa kecuali Allah,” ucap seorang yang lain pula dengan bangganya. 

“Eh, engkau jangan berlagak! Bukan engkau yang lari lintang-pukang kerana terserempak harimau tempoh hari?” 

Tiga daripada anak muda itu ketawa terbahak-bahak manakala yang seorang lagi diam sahaja. Pak Cik pula hanya menggeleng melihat telatah anak-anak buahnya. 

“Itu bukan takut namanya. Itu menjaga diri,” ujar Pak Cik. 

“Ha, tengok! Pak Cik pun tahu aku tidak takut. Aku lari sebab harimau itu bahaya. Bukannya aku ada kudrat hendak lawan harimau.” 

“Apa bezanya Pak Cik? Bukankah itu pun dikira takut juga, walaupun tidaklah takut yang mutlak.” 

Pak Cik berdehem sambil membetulkan duduknya. Rambut yang panjang diikat kemas ke belakang seperti perempuan. Mujurlah ada misai tebal menghiasi atas bibirnya. 

“Ada perbezaan yang jauh antara kedua-duanya. Apabila kita takut kepada sesuatu, kita akan menjauhkan diri daripadanya meskipun benda itu tidak berbahaya. Sebagai contoh, katakanlah kita takut hantu pocong. Kita tahu hantu pocong tidak mampu mengapa-apakan kita, tetapi kita takut. Nah, berbeza dengan menjaga diri. Katakanlah kita tidak takut harimau, tetapi apabila nampak harimau di depan mata, kita lari. Itu kerana kita mahu menjaga diri daripada bahaya harimau. Bukankah Allah melarang kita mencampakkan diri ke dalam kebinasaan?” 

Empat anak muda itu angguk-angguk menandakan mereka faham. Sebenarnya hal ini sudah pernah diperkatakan kepada mereka. Namun hakikat manusia itu pelupa tidak boleh dinafikan. 

“Sekarang cuba kita bayangkan kalau harimau itu dikurung di dalam sangkar. Kita yang di luar ini berasa selamat, betul? Jadi adakah kita akan menjauhkan diri daripada harimau itu? Tentunya tidak. Lainlah kalau kita memang takut harimau, walau di seberang tembok besi pun kita akan lari sejauh-jauhnya. Malah mendengar suaranya pun hati sudah bergetar kegerunan.” 

Sekonyong-konyong suara harimau bergema di hutan simpan itu. Pak Cik dan anak-anak buahnya terpegun seketika sebelum masing-masing ketawa kelucuan. 

“Maaf pak harimau, kami tidak mengumpat pak.” 

Lagi hilai tawa pecah memadamkan kegerunan yang tidak selayaknya ada. Sungguhpun kadar degupan jantung mereka laju sedikit, itu mungkin sekadar reaksi terkejut. Hakikatnya mereka pemberani yang hanya takut akan Allah. 

Cis, patutlah mereka tidak takut apabila aku menjelma! Tidak ada gunanya aku bermain-main dengan mereka. Silap-silap aku boleh dibunuh. Hah! Lebih baik aku beredar sebelum mereka dapat mengesan keberadaanku. 


***** 

“Arden sayang, boleh saya tanya sesuatu?” 

“Apa dia sayang? Tanyalah, jangan malu-malu.” 

“Em… sampai bila kita akan terus begini?” 

“Kenapa Luna? Awak sudah bosan bersama saya.” 

“Tidak! Saya cuma… takut. Saya takut akan kemarahan Tuhan. Tidak takutkah awak?” 

4 comments

menariknya...

aku berjaya habiskannya!

bila si setan menjadi pencerita itu sangat menarik!!

kagum ok...cerita yg menarik..

cerita yg sangat sesuatu. Dan sedikit-dikit aku terganggu dengan setiap yang diceritakan.

setiap bagian punya makna, dan berjaya dimaknakan dengan baik! =)

...dan aku sudah jumpa yang sesuatu.....

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...