Ibu menoleh ke arah datang suara. Sekujur tubuh
lelaki muda, berdiri cegat di hadapannya. Senyumnya sinis, lagak mengejek. Ibu
membuntangkan biji mata.
"Masih
teringat kenangan lama?"
Ibu masih menjegil anak mata. Lelaki muda itu,
dialah dalang segala. Dialah membawa segala dosa.
"Kenangan
manis, mungkin? Mustahil boleh lupa! Apalagi buat-buat lupa, ya tak?"
Lelaki itu ketawa sendiri. Terkekeh-kekeh melayan
jenaka. Sedang ibu hanya diam. Mereguk liur berulangkali.
"Kenapa kau
datang sini? Aku dah kata, jangan datang sini lagi! Urusan kita dah selesai!"
Ujar ibu, sedikit jerkah. Kata-kata kerasnya
disambut ketawa dari pemuda itu, lagi. Kali ini, ketawa kian mengilai. Dan
perlahan-lahan, lelaki itu berubah wajah, buruk dan hodoh. Tubuhnya diapung
udara. Tidak lagi dicium graviti.
"Sememangnya
urusan kita sudah selesai. Tapi kenapa kau masih susah hati? Seharusnya kau
gembira dengan jalan yang kau pilih sendiri? Kau sahabat aku. Mana mungkin aku
boleh biarkan sahabat aku menderita payah?"
Makhluk hodoh itu memujuk hati. Mendekatkan diri
dan membelai wajah ibu dengan jari berkuku tajam.
"Lari saja
kau dari dunia. Apalagi yang kau tunggu? Aisyah? Bukankah dia sudah tinggalkan
kau? Bersama manusia-manusia tadi? Jangan kau tunggu lagi, Salamiah. Makin lama
kau tunggu, makin dekat kau dengan perangkap dunia. Manusia sekarang tidak
kenal putus asa. Hari ini kau terlepas, esok lusa kau pasti terkena jua,"
Ibu menjauhkan diri; Ada benar kata-kata syaitan ini. Makin lama aku tunggu, makin mereka gali
rahsia. Mereka akan tahu, aku yang datang menyerang Haikal dan teman
simpanannya. Mereka akan tahu, aku yang mengancam mereka dengan sebilah parang
tajam. Mereka akan tahu, aku yang menetak kepala teman simpanannya hingga
terputus dua. Mereka akan tahu, aku yang menyeksa Haikal hingga hilang nyawa.
Mereka akan tahu, aku yang melapah dan menyiat daging mereka. Mereka akan tahu,
aku yang memotong setiap sendi tubuh mereka. Mereka akan tahu, aku yang
menyimpan dan makan daging-daging mereka. Mereka akan tahu, aku yang membakar
tulang-tulang itu hingga lunyai menjadi abu. Mereka akan tahu segala-galanya.
"Maafkan
ibu, Aisyah. Ibu tak mahu menunggu kamu. Ibu tak mahu menyusahkan kamu. Ibu
pergi dulu. Tapi percayalah. Ibu hapus Haikal kerana tak sanggup melihat kamu
diselingkuh,"
Makhluk hodoh itu sudah bersedia untuk mengorban
jiwa manusia. Dan ibu, tersadai di ruang kamar yang basah dengan darah.
Bersambung...
1 comment
uishhh saka nih...serammm