Penulis: Amienieya Yusof
Blog: http://mim-hasniyah.blogspot.com
Nabil
bersandar di kerusi. Dia memandang keluar ‘bilik kaca’nya. Bilik tersebut
dikenali sebagai bilik kaca kerana keadaan bilik itu yang dilindungi dengan
dinding lutsinar dan menempatkan dua meja khas untuk System Analyst. Mejanya dan meja Alia juga dipisahkan dengan
separuh dinding lutsinar namun dia perlu melalui meja Alia untuk keluar dari
bilik tersebut kerana pintu di sebelahnya ditutup dengan almari fail yang
besar.
Nabil
memandang jam di dinding. Perutnya yang sakit sejak pagi terasa lebih sakit dan
mencucuk. Mungkin kerana dia tidak bersarapan pagi dan lewat makan tengah hari.
Nabil menyambung kerjanya setelah berehat seketika. Dia sudah memaklumkan
tentang kelewatannya pada Puan Rashidah, jadi dia tidak perlu risau.
Seketika
kemudian, Alia masuk bersama-sama dua cawan kopi panas dan sepinggan goreng
pisang. Alia memang sentiasa bersedia dengan makanan. Dia tidak pernah
meninggalkan walau satu waktu makan pun. Dari sarapan pagi sehinggalah makan
malam.
“Nabil,
minum jom.” Alia bersuara ceria.
Nabil
hanya mengangguk dan menyambung kerjanya sebelum akhirnya Alia meletakkan cawan
dan pinggan berisi goreng pisang itu di mejanya. Alia tersenyum dan menyambung
kerjanya. Nabil hanya melepaskan nafas perlahan. Mereka terus bekerja sebelum
Nabil dan Alia sama-sama bergerak ke surau untuk solat Maghrib dan menyambung
kerja masing-masing.
Nabil
kembali ke mejanya. Dia sudah berjanji dengan Puan Rashidah untuk menjemput
Akma pada jam sembilan malam dan jam sudah hampir menunjukkan pukul lapan
malam. Alia masih belum pulang, jadi Nabil memulakan kerjanya terlebih dahulu.
Namun, perutnya terasa lebih mencucuk dari siang tadi.
Nabil
berusaha sedaya upaya untuk menahannya namun akhirnya, dia keluar menuju ke
tandas. Dia memuntahkan segala isi perutnya sebelum kembali ke mejanya. Alia
sudah sedia menyambung kerjanya. “Nabil, awak nak makan apa? Saya nak call delivery ni.” Alia bertanya.
Nabil
hanya menggeleng. Perutnya masih mencucuk jadi dia terus sahaja duduk di
kerusi. “Nabil, awak okay?” soal Alia. Pelik dia melihat lelaki itu pucat dan
kelihatan lemah. “Awak sakit ke?”
“Tak,
saya okay. Saya tak nak apa-apa. Saya balik makan kat rumah je. Awak orderlah untuk awak.” Nabil menjawab.
“Betul
ni? Kalau tak, awak baliklah dulu. Saya boleh sambung kerja kat sini.” Alia
menawarkan. Dia sudah mula takut melihat wajah pucat lelaki itu.
“Saya
okay.” Nabil menjawab yakin dan menyambung kerjanya.
Alia
akhirnya mengalah dan meneruskan kerjanya. Nabil menyelesaikan laporannya dan
menuju ke mesin fotokopi untuk membuat salinan lampiran sebelum menamatkan kerjanya
untuk hari itu. Alia pula membuat keputusan untuk membeli sesuatu sebelum
pulang ke rumah selepas pulang dari pejabat nanti. Dia menyiapkan laporannya
dan menutup komputer.
Alia
memasukkan dompet dan telefon bimbitnya ke dalam tas tangan sementara menanti
komputernya tertutup. Spontan dia menoleh pada meja Nabil dan menyedari
sesuatu. Terus sahaja dia melangkah keluar menuju ke mesin fotokopi. Hampir
menjerit dia melihat Nabil terbaring di lantai. Alia terus mencapai telefon
bimbitnya dan menghubungi ambulans dan memberitahu pengawal keselamatan.
Seketika
kemudian, sebuah ambulans tiba dan Nabil terus dikejarkan ke hospital. Alia
mencapai telefon bimbit milik Nabil yang diletakkan di atas meja, tas tangannya
dan beg komputernya sebelum menuju ke kereta ditemani seorang pengawal
keselamatan. Alia terus memandu ke hospital.
Jam
menunjukkan hampir 9.30 ketika Alia tiba di Hospital Tanjung Puteri. Alia
mencapai tas tangannya dan juga telefon bimbit milik Nabil. Dia ingin mencari
senarai kenalan Nabil yang tertulis, ‘Rumah’ atau sesiapa sahaja yang boleh
dihubungi. Namun, telefon itu perlu dibuka menggunakan kata laluan jadi Alia
mematikan niatnya dan cuba mencari jalan lain.
Sedang
dia asyik berfikir, telefon bimbit milik Nabil berbunyi. Alia segera menjawab
panggilan tersebut. “Hello?”
“Assalamualaikum,
Encik Nabil ada?” soal si pemanggil.
“Waalaikumussalam.
Maaf, boleh saya tahu siapa di talian?” Alia bertanya. Pasti bukan ahli
keluarga kerana dia menyebut ‘Encik Nabil’.
“Saya
Puan Rashidah, guru taska Akma.” Puan Rashidah memperkenalkan dirinya. Terus
sahaja dia teringat yang Nabil punya anak. Pasti guru taska anak lelaki itu
menelefonnya.
“Maaf,
Nabil ada hal kecemasan. Saya rakan sepejabat Nabil.” Alia memperkenalkan
dirinya.
“Ada
hal kecemasan?” soal Puan Rashidah semula.
“Ya.
Dia pengsan dekat pejabat. Jadi sekarang kami di hospital.” Alia memberitahu.
“Hospital
mana?” soal Puan Rashifah.
“Hospital
Tanjung Puteri.” Alia memberitahu.
“Kalau
macam tu, tunggu ya. Saya datang dengan suami saya bawa Akma sekali.” Dan
talian dimatikan begitu sahaja. Alia mengeluh. Dia baru sahaja mahu bertanya
kalau-kalau wanita itu tahu bagaimana caranya mahu menghubungi ahli keluarga
Nabil.
Alia
duduk di lobi sambil memandang telefon bimbit milik lelaki itu. Selepas ini,
dia tidak akan meletakkan apa-apa kunci pada telefon bimbitnya. Susah untuk
diberi bantuan dalam keadaan sebegini. Sedang dia berfikir, dia tertekan nombor
password telefon bimbitnya pada telefon bimbit Nabil. Hampir terlepas telefon
bimbit itu dari tangannya apabila kata laluan yang ditekannya diterima. Sungguh
aneh, kerana dia menggunakan tarikh lahirnya sebagai kata laluan dan kata
laluannya berjaya digunakan di telefon bimbit lelaki itu.
Terus
sahaja dia mencari kenalan yang boleh dihubunginya. Dia mencuba nombor telefon
rumah lelaki itu namun tiada jawapan, jadi dia menghubungi nombor telefon yang
tertulis ‘Mama’. Beberapa deringan dan panggilannya bersambut.
“Assalamualaikum,
Angah. Mama kat hospital lagi ni. Kenapa?” soal wanita yang menjawab panggilan
tersebut.
“Waalaikumussalam.
Mak cik, saya Alia. Kawan satu pejabat dengan Nabil.” Alia memperkenalkan
dirinya sebelum wanita itu ‘menyerang’nya.
“Oh.
Kenapa ya?” soal Puan Dina tenang.
Alia
menarik nafas panjang. “Nabil masuk hospital. Dia pengsan dekat pejabat tadi.”
Dia menarangkan.
“Hospital?”
Suara itu kedengaran terkejut. “Hospital mana?” soal Puan Dina.
“Tanjung
Puteri.” Alia menjawab.
“Tanjung
Puteri?” Puan Dina memastikan.
“Ya.”
Alia mengiyakan.
“Mak
cik pun dekat Tanjung Puteri ni. Kat bahagian mana?” soal Puan Dina.
“Dekat
bahagian kecemasan.” Alia memberitahu dan talian terus sahaja dimatikan. Alia
mengeluh lagi. Semua orang memang macam tu ke? Tak cakap apa, terus letak
telefon.
Seketika
kemudian, kelihatan seorang wanita menuju ke arahnya. Alia segera bangkit. Dia
tidak tahu jika itu ibu kepada Nabil. Wanita itu terus menghampirinya. “Alia?”
Alia mengangguk dan mereka sama-sama duduk di lobi.
Puan
Dina menggenggam tangan Alia. “Kenapa dengan anak mak cik?” soal wanita itu.
“Saya
tak tahu, mak cik. Dia tak keluar lagi.” Alia menyerahkan telefon bimbit milik
Nabil pada Puan Dina.
“Terima
kasih.” Puan Dina menepuk bahu Alia.
Seketika
kemudian, seorang doktor keluar dari bahagian kecemasan. “Ahli keluarga Encik
Nabil Ilman?” soal doktor tersebut.
“Saya
mama dia.” Puan Dina segera menghampiri doktor tersebut.
“Saya
dapati Encik Nabil ada masalah apendiks. Jadi, kami perlu minta kebenaran ahli
keluarga untuk buat pembedahan pada Encik Nabil.” Doktor itu tenang menrangkan.
“Saya
tak kisah, doktor. Apa sahaja asalkan anak saya sihat macam biasa.” Puan Dina
terus memberi jawapan.
“Sila
ikut saya.” Doktor itu membawa Puan Dina masuk ke bahagian kecemasan manakala
Alia menunggu di lobi.
“Kak
Alia!” Satu suara kecil menegurnya.
Alia
tersentak dan menoleh. Siapa anak kecil ini? Seperti pernah dilihatnya tetapi
dia tidak ingat di mana. “Cik Alia?” soal seorang wanita bersama anak kecil
itu. Alia segera bangkit.
“Saya
Puan Rashidah.” Wanita itu memeprkenalkan dirinya.
“Oh,
mama Nabil kat dalam. Duduklah.” Alia mempersilakan. Puan Rashidah duduk di
sisi Alia manakala Akma sudah terlebih dahulu duduk di atas ribaan Alia.
“Akma
kenal kakak ni?” soal Puan Rashidah melihat kemesraan Akma dengan Alia.
“Kakak
ni pakai baju ibu dalam gambar dekat bilik Akma.” Terus sahaja memori ketika
majlis perkahwinan Dhiya terlintas di mindanya. Anak kecil ini, Akma. Ayahnya
Nabil? Kebetulan apakah ini?
Seketika
kemudian, Puan Dina melangkah keluar. Akma terus sahaja berlari mendapatkan
neneknya. Puan Dina menghadiahkan senyuman nipis buat cucunya itu. Mereka duduk
menunggu sehingga segalanya selesai.
******************************************************************************
Alia
mencapai telefon bimbitnya yang berdering di meja sisi katilnya. Dia mengerut
dahi melihat nombor yang tidak dikenali itu sebelum melirik pada jam loceng di
sisi mejanya. Sudah hampir jam empat petang. Dia bangkit dan menekan butang
hijau menjawab panggilan tersebut. “Hello?”
“Assalamualaikum,
Alia. Makcik ni, mama Nabil.” Puan Dina memperkenalkan dirinya.
“Waalaikumussalam,
makcik. Makcik sihat?” soal Alia ramah walau dalam hatinya tertanya kenapa
wanita itu tiba-tiba sahaja menghubunginya.
“Alhamdulillah.
Alia sihat?” Puan Dina bersuara senang.
“Sihat.
Ada apa ya makcik?” soal Alia terus-terang.
“Maaflah
kalau makcik ganggu Alia hari-hari cuti ni. Makcik dapat nombor kamu dari
Nabil.” Puan Dina menerangkan.
Alia
mengangguk sendiri. Nabil sudah mula bekerja seminggu yang lalu namun dia tidak
bekerja di pejabat tetapi di cawangan baru yang dibuka untuk projek pembinaan
bangunan baru di Bayan Baru. Jadi, mereka langsung tidak pernah berjumpa
selepas kejadian tersebut.
“Makcik
nak jemput kamu datang rumah makcik esok. Anak makcik bertunang. Jadi, makcik
buat kenduri kesyukuran sikit.” Puan Dina menyuarakan tujuan asalnya
menghubungi Alia.
“Oh,
iya ke? Insya-ALLAH. Pukul berapa ya?” soal Alia.
“Dalam
pukul 11.30 macam tu. Makcik buat makan tengah hari. Nanti makcik suruh Nabil
hantar alamat rumah makcik pada Alia.” Puan Dina menjawab.
“Baik,
makcik. Kalau tak ada apa-apa, Insya-ALLAH saya sampai rumah makcik.” Alia
memberi persetujuan. Salam bersambut dan talian dimatikan.
Keesokan
paginya, awal-awal pagi lagi Alia sudah bersiap dan menuju ke rumah Puan Dina.
Kehadirannya disambut oleh seluruh ahli keluarga Nabil dengan tangan terbuka.
“Kak
Alia dah ada boyfriend?” soal Shima,
salah seorang sepupu Nabil.
“Tak
ada.” Alia menjawab ringkas sambil duduk di meja makan.
“Oh,
bolehlah Angah masuk line macam tu.”
Shima ketawa.
“Ish,
kamu ni, Shima. Sudah-sudah mengusik Kak Alia tu. Pergi tolong Kak Jiji siap
kat atas tu. Sibuk aja dengan orang-orang tua kat dapur ni.” Puan Aida
menyuruh.
“Baik!”
Shima terus sahaja berlalu pergi kemudiannya.
“Maaflah,
Lia. Anak maklang memang macam tu.” Puan Aida duduk di hadapan Alia.
“Alia
datang seorang ke?” soal Puan Aida.
“Seorang
je. Dhiya belum sampai lagi?” soal Alia.
“Dhiya
kejap lagi sampailah tu. Pergi ambil adik si Hadi dekat universiti sekali tu.
Itu yang lambat. Dah lama Alia kenal Dhiya?” soal Puan Aida.
“Dari
sekolah menengah.” Alia memberitahu.
“Kampung
Alia dekat mana?” soal Puan Aida memulakan sesi temuramahnya.
“Dekat
Perak.” Alia menjawab tenang.
“Mak
dengan ayah sihat?” soal Puan Aida.
“Saya
tinggal dengan nenek dan atuk.” Alia menjawab dengan senyuman.
“Atuk
dengan nenek kuat lagi?” soal Puan Aida.
“Atuk
kuat lagi. Neneklah yang tak berapa sihat sejak dua menjak ni. Nenek saya darah
tinggi.” Alia juga sudah mula bercerita. Agak lama mereka berbual sehinggalah
rombongan lelaki tiba dan majlis dimulakan.
******************************************************************************
Hujung
minggu itu, Alia memandu pulang ke kampung seperti kebiasaannya. Dia singgah
sebentar di rumah maklongnya sebelum pulang ke rumah neneknya yang terletak di
kampung berdekatan.
Panggilan
telefon daripada maklongnya tempoh hari agak mengejutkan. Jadi, dia singgah di
rumah maklongnya terlebih dahulu sebelum menuju ke rumah neneknya. Setibanya di
rumah, atuk dan neneknya hanya melayannya seperti biasa. Maksu dan paksunya
juga sama. Tiada kelainan pada sikap mereka. Dia tambah gusar.
“Maksu.”
Alia memulakan siasatannya sambil tangannya cekap memotong sayur di meja makan.
“Ya?”
Puan Yati menjawab dari singki.
“Ada
orang datang sini ke dua hari lepas?” soal Alia berterus-terang.
“Siapa?”
soal Puan Yati semula.
“Maklong
cakap.” Alia memberitahu.
“Oh,
hah. Memang pun. Nenek yang suruh maklong bagitahu kamu. Tak adalah kamu
terkejut balik sini.” Puan Yati bersuara seperti biasa.
“Maksu,
dia datang meminang Alia ke?” soal Alia ingin tahu.
“Yalah.
Takkan dia nak datang meminang maksu pulak. Mahu paksu kamu tetak dengan
parang.” Sempat Puan Yati berlawak.
“Tapi,
semua orang macam rileks je? Macam tak ada apa-apa yang jadi pun?” Alia
bertanya hairan.
“Oh,
atuk kamu dah terima.” Tenang juga Puan Yati menjawab. Spontan pisau yang
dipegang Alia jatuh ke atas meja.
“Apa?
Atuk terima?” soal Alia terkejut. “Maksu, Alia yang nak kahwin kot. Kenapa atuk
terima pulak? Alia tak kenal pun siapa lelaki tu.”
“Bukan
terima nak kahwinkan dia dengan kamu. Atuk terima diorang minta izin nak datang
jumpa kamu sendiri esok.” Puan Yati memberitahu.
“Esok?
Kenapa maklong tak cakap pun fasal tu?” soal Alia lebih terkejut.
“Maklong
kamu silap tarikh. Dia ingat minggu depan. Sebenarya esok. Maksu jumpa dia tadi
lepas kamu balik tadi.” Puan Yati membawa ikan yang telah siap dibersihkan ke
dapur.
“Maksu,
kenapa Alia tak tahu pun?” Alia merungut.
“Ni
maksu bagitahulah ni. Bukannya nak suruh kamu nikah pun. Dia nak risik aja
esok. Nak bincang apa yang patut. Janganlah panik sangat Alia oii.” Puan Yati
menggeleng sendiri.
“Tapi…”
Alia cuba membantah.
“Aish,
cuba bawa bertenang, Dahlia. Esok, kamu buat macam biasa aja. Kamu bukannya tak
kenal orang yang nak datang tu.” Puan Yati bersuara dari dapur.
“Alia
kenal ke?” soal Alia ingin tahu.
“Kenallah
tu. Kalau tak takkan mak budak tu macam rapat aja dengan kamu.” Puan Yati
memberi jawapan.
“Siapa?”
soal Alia lagi.
“Manalah
maksu tahu. Cubalah kamu ingat, kawan lelaki mana yang pernah bawa kamu balik
rumah.” Jawapan yang langsung tidak membantu dari maksunya.
Malam
itu, Alia tidak dapat tidur lena. Dia tercari-cari jawapan sehinggalah dia
selesai solat Subuh. Wajah mama Nabil tiba-tiba sahaja muncul di bayangan
matanya. Mungkinkah? Dan persoalannya terjawab saat Puan Dina, Farid dan Raihan
melangkah masuk ke dalam rumahnya tengah hari itu.
“Jadi,
kenalah tanya tuan empunya badan.” Alia tunduk apabila semua mata tertumpu ke
arahnya.
“Alia,
kamu nak ke tak? Nabil tu kawan satu pejabat dengan kamu, kan?” Puan Yati
bertanya.
“Kalau
saya fikir dulu, boleh?” soal Alia perlahan.
“Boleh.
Nanti kamu bagitahu teruslah dengan si Nabil tu. Senang.” Puan Dina menerima
jawapannya dengan tangan terbuka. Mereka berbual seketika sebulan kedua-duanya
meminta diri untuk pulang.
Malam
itu, Alia terus sahaja menghubungi Nadia. Dan semestinya berita itu disambut
dengan tawa sahabatnya yang seorang itu. “Terbaiklah kau!”
“Weh,
masalahnya sekarang, Nabil tu tak pernah cakap apa pun dengan aku.tup-tup mak
dengan abang dia datang meminang aku. Mau aku tak terkejut beruk. Atuk dengan
nenek pun selamba je. Maksu dengan maklong aku tak payah cakaplah. Seronoknya
mengalahkan diorang yang kahwin.” Alia memuncungkan mulutnya.
“Itulah
gentleman. Dia terus hantar masuk
meminang je. So, apa kau nak jawab?
Isnin ni confirm kau jumpa dia, kan?”
Nadia mengusik.
“Itulah.
Tolonglah aku, Yaya…” Alia meminta pertolongan Nadia.
“Kau
ambil cuti ajelah. Fikir elok-elok. Daripada kau jumpa dia nanti, kau tak boleh
focus jugak. Lagipun sekarang kan dah
hujung tahun. Cuti kau banyak lagi kan? Boleh tolong aku buat persiapan kahwin
jugak.” Nadia ketawa kecil.
“Agak
dah, mesti ada udang di sebalik kuetiau kerang kau ni.” Alia ketawa sendiri.
“So, kau fikirlah elok-elok. Aku akan
sokong apa saja keputusan kau. Tapi, jangan lupa update aku nanti!” Suara girang Nadia membuatkan jiwanya yang
berserabut kembali tenang. Seketika kemudian, mereka sama-sama mematikan
talian.
Alia
berbaring di atas katilnya. Dia berfikir seketika, namun otaknya tetap kosong.
Akhirnya dia membuat keputusan untuk tidur.
bersambung...