Aku berlari ke tandas dengan
kelajuan semaksimum mungkin. Aku sudah tidak mampu tahan lagi rasa ingin
membuang air ini. Hampir 30 minit aku menunggu teman serumah aku selesai mandi.
Apa yang dia lakukan di dalam bilik air tu, aku pun tidak tahu. Apa yang
seronoknya duduk lama-lama di dalam bilik air yang busuk dan tidak berbasuh
yang boleh dikatakan hampir 3 bulan tidak berbasuh. Kali terakhir ia dibasuh
pun, oleh aku. Nak harapkan dia, memang tak lah. Hidup dia hanya DOTA, DOTA,
DOTA. Kepala otak dia!
Aku dah serabut dah memikirkan apa alasan
aku nak bagi pada bakal bos aku nanti. Temu duga sahaja aku sudah lambat.
Kemungkinan besar apabila diterima berkerja nanti, aku akan datang lambat juga
atau mungkin tidak datang langsung. Tapi, biarkan itu semua Dia yang tentukan.
Jam di dinding terus berdetik.
Aku sarungkan kemeja merah maroon lengan
panjang yang sudah siap diseterika malam sebelumnya dan seluar slack hitam yang
nampak jelas kesan diseterika itu. Tak sia-sia aku masuk asrama dulu. Aku capai
tali leher hitam yang siap digantung dibelakang pintu dan stokin di atas almari
dan aku bergegas keluar . Sebelum keluar
aku cuba membasahkan tekak aku dengan meminum kopi o sejuk semalam. Sempat juga
aku menjeling ke arah jam di dinding sekali lagi. “Celaka. 30 minit dah aku
lambat!”
Setibanya ke pejabat tempat temu
duga itu diadakan, aku lihat ada 2 orang calon, bukan, musuh yang mahu mencuri
kerusi tempat duduk aku di dalam pejabat ini. Hey, aku keturunan Hang Tuah lah.
Takkan mudah mengaku kalah. Aku masuk dengan muka yang paling angkuh walau pun
sebenarnya aku lambat hampir 1 jam untuk temu duga ini. Peduli apa aku? Aku
keturunan Hang Tuah.
“Ya. Boleh saya bantu?” seorang
gadis cantik berambut panjang beralun, berkaca mata, berbaju kemeja putih,
berseluar slack hitam menegur aku dari balik meja kaunter pertanyaan. Cantik.
Sekali lihat adalah seperti Zooey Deschanel. “Oh, saya datang untuk temu duga.”
Aku menjawab sambil menolak rambut aku yang menutup mata aku. Mana mungkin aku
membiarkan mata menghalang aku untuk menatap wajah gadis cantik itu. “Nama encik?”
dia bertanya lagi. “Nama saya, Ahmad Fuad bin Zainal.” Aku menjawab dan senyum
kepadanya. “Erm…encik dah lambat untuk temu duga. Tapi, tak mengapa…saya akan
beritahu pada bos. Sila duduk dahulu ya?” dia mengangkat ganggang telefon dan
menekan butang nombor yang ada pada telefon itu. Aku mengucapkan terima kasih
dan terus duduk di ruangan menunggu.
Menunggu itu ada lah sesuatu yang
tak pernah seronok. Lebih-lebih lagi menunggu sesuatu yang penting untuk kita,
dan kita perlu duduk bersama mereka yang ingin mengambil perkara yang penting
itu daripada kita. Aku hanya melihat 2 orang lelaki yang lain dengan perangai
mereka masing-masing. Lelaki pertama yang memakai kemeja biru dan seluar slack
hitam dipadankan dengan tali leher putih itu, sibuk bermain dengan telefon
pintarnya. Aku syak dia sedang asyik di Twitter berkongsi perasaan gemuruhnya. “Aku
sedang tunggu untuk temu duga ni. Gemuruh baq hang!”. Mesti dia mengharapkan
ucapan “all the best!” atau “awak boleh!” daripada kawan-kawannya di Twitter.
Yang lagi seorang itu, dengan baju kemeja biru lengan panjang dan seluar slack
hitam, dipadankan dengan tali leher berwarna hijau. Aku syak dia itu buta warna
atau pun dia punya citarasa yang teruk dalam berpakaian. Jelas kelihatan
perasaan gemuruhnya itu. Tak senang duduk dia di kerusi itu. Sibuk menyelak
sijil-sijil yang ada di dalam fail yang dibawanya. Aku sekadar menggelengkan
kepala dan membiarkan mereka. Lebih baik aku main game Angry Bird di telefon
pintar aku. Kisah apa aku orang nak kata apa. Aku gemuruh juga sebenarnya. “Encik
Ahmad Fuad. Sila masuk.” Nama aku dipanggil. Aku menjeling ke arah 2 lagi
lelaki tadi dengan angkuhnya.
“Selamat pagi, tuan.” Aku senyum
dan meletakkan fail yang penuh dengan sijil-sijil yang aku rasa mampu
meyakinkan lelaki dihadapan aku ini untuk memberikan kerja sebagai pelukis plan
itu kepada aku. Aku berdiri melihat dia. “Oh, selamat pagi. Kamu lambat.” Dia melihat
aku sambil memeluk tubuhnya.
Aku sudah mula berasa gemuruh, tapi
aku tahan dan tenang menjawab soalan dia. “Maafkan saya tuan. Saya ada hal
penting tadi…” aku menjawab dengan yakin. “Oh, ada kerja penting eh? Lebih
penting daripada temu duga ini?” Dia semakin serius. Aku sudah mula menggigil.
Celaka! Sepatutnya aku sudah sediakan alasan untuk semua ini. “Hari ini…hari
ulang tahun kelahiran saya tuan.” Aku tidak tahu macam mana boleh keluar
jawapan itu. “Oh, happy birthday.
Mesti mak dan ayah kamu sediakan sarapan yang sedap-sedap untuk kamu. Oh, saya
patut beri kamu kek kan? Kek coklat boleh?” dia menjawab sambil menjeling aku.
Aku mula berasa marah, tetapi aku
tahan lagi. Boleh tahan juga perangai bakal bos aku ni. Aku cuba mencari alasan
yang power untuk selamatkan aku. “Erm…biasanya
setiap kali ulang tahun kelahiran saya…” belum sempat aku habiskan ayat aku,
dia mencelah. “Apa? Setiap kali ulang tahun kelahiran kamu, kamu lambat untuk
semua perkara?” dia ketawa dengan sangat angkuh. “Tidak tuan. Setiap kali ulang
tahun kelahiran saya, saya pergi derma darah di hospital. Sebab itu saya lambat
hari ini” Aku menjawab dengan muka yang paling tenang. Dia berhenti ketawa dan
berubah wajahnya. Aku bagaikan terdengar petikan piano bermain di dalam bilik.
Aku ketawa di dalam hati.
“Erm…erm…sila kan duduk. Kita
mulakan temu duga sekarang.” Aku lihat dia sudah tidak senang duduk. Rasa
bersalah lah tu. “Oh, terima kasih, tuan.” Aku duduk di kerusi empuk yang
disediakan. Temu duga pun bermula. Aku harap aku dapat kerja ini dengan
berbekalkan sijil-sijil aku dan alasan yang power
sebentar tadi. Yang lain aku serahkan kepada Dia di atas. Tapi, aku masih
marah dengan teman serumah aku. Celaka! Dia lah punca aku lambat untuk temu duga.
Mandi lama sangat apa hal? Celaka!
4 comments
haha. nice story..
hop dpt la kerja tu nnt! :')
kah3... alasan terbaik ~
hahahahaa cool! saya follow...
hahaha alsan y terbaikkkk
erk kalu die cek tarikh lhir xsme cmne lak