Pari-pari putih mendepakan tangan, bersedia untuk terbang dari atas bumbung rumah. Dengan kerdipan mata yang perlahan, senyuman yang penuh ayu, lebih ayu dari perempuan-perempuan yang masih bernafas di muka bumi ini dan mengalahkan keayuan Cik Siti Nealopa, gadis paling cun di kampung ini. Pari-pari putih bersedia untuk terbang. Kedua tangannya memegang sayap bulu ayamnya. Mengibar dengan perlahan, mengambil mood untuk terbang tinggi. Sementara itu, di sisi pinggangnya tersemat bungkusan hitam yang mengandungi serbuk-serbuk ajaib.
Dengan lafas Bismillah, kibaran sayap si pari-pari semakin kuat. Daun pokok pisang di belakang rumah Pakcik Kasmat turut berkibar. Tidak semena-mena, angin kencang melanda di kampung si pari-pari putih. Semua ini terjadi kerana tempias kibaran sayap-sayap si pari-pari. Si pari-pari putih tersenyum riak dengan kuasa yang ada. Walaupun orang ramai mempertikaikan sayap bulu ayamnya, tetapi mereka semua tidak tahu akan kekuasaan di sebalik sayap ini.
Tangan si pari-pari makin laju, dan semakin laju dia mengibar, kakinya mula terapung dari atas bumbung rumah. Satu sentimeter, dua sentimeter, tiga sentimeter. Terpancar wajah 'Woww!' di wajah pari-pari. Dia sendiri tidak menyangka kuasanya sudah masuk ke tahap begini. Tanpa menghiraukan peluh yang semakin menggila mengalir di kepala. Rambut yang disanggul elok kini semakin kusut. Solekan yang semakin pudar. Pari-pari putih mesti terbang hari ini. Ya, hari ini dalam sejarah hidupnya dan juga sejarah kampungnya.
Empat sentimeter, lima sentimeter, enam sentimeter. Pari-pari meneruskan terbangannya. Kelihatan di bawah rumah, Pakcik Kasmat melihat pari-pari putih dengan riak yang sukar dimengerti oleh pari-pari putih. Mungkin bangga melihat pari-pari putih berjaya terbang akhirnya. Pakcik Kasmat mencekak pinggang, melihat detik-detik bersejarah pari-pari putih. Dari enam sentimeter pari-pari putih terapung, dia terbang ke tujuh sentimeter, lapan sentimeter.
Namun tangannya mula berasa letih, pari-pari putih menggigit bibir merahnya. Cuba bertahan untuk terus mengibarkan sayap.
"Oii, sudah puas kau berangan jadi pari-pari? Sudah! Turun cepat!" bertak Pakcik Kasmat.
Pari-pari putih tidak menghiraukan kata-kata Pakcik Kasmat. Baginya, kata-kata yang diucapkan oleh Pakcik Kasmat hanyalah kata-kata cemburu melihat kejayaan orang lain. Pari-pari tetap mengibarkan sayapnya.
"Aku kata sudah! Jangan sampai aku naik atas sana! Turun cepat!" suara Pakcik Kasmat semakin meninggi.
Kibaran pari-pari putih terhenti. Peluh yang mengalir di dahi dikesat perlahan. Pari-pari putih mengeluh.
"Alaa, Pakcik ini. Orang mula nak terbang da tadi tu," pari-pari putih menghentak kaki di atas bumbung.
"Oii! Oii! Kau hentak kaki di bumbung rumah aku. Kalau bocor itu, kau yang aku suruh ganti tau. Terbang konon, padahal kaki sebelah saja yang terangkat, sebelah lagi terjongket. Turun aku kata!"
Dengan wajah yang masam, pari-pari putih berjalan perlahan ke hujung bumbung. Memijak tangga satu persatu. Sesudah sampai ke daratan, pari-pari putih terus berjalan menuju ke belakang tanpa menghiraukan Pakcik Kasmat yang mencekak pinggang. Mengambil serbuk ajaib di bungkusan hitam yang diikat di pinggangnya. Menabur ke tanah.
Kurrrr.. Kurrrr..
Ayam menjeling tajam melihat pari-pari, lalu makan jagung kering yang ditabur oleh pari-pari putih. Hari ini, sekali lagi ayam-ayam ini lambat sarapan pagi. Pari-pari putih masih meneruskan misinya. Menaburkan serbuk ajaib.
Kurrrr.. Kurrrr..
2 comments
genre fantasi dengan unsur komedi... menarik :D
lawok je
berangan tak slh
tapi biala y munasabah hehe