Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday, 24 June 2012

Air Mata Alia



Sayunya azan subuh sayup-sayup berkumandang dari surau berhampiran mengejutkan lenaku. Aku mengeliat malas di tempat pembaringanku yang hanya beralaskan tikar mangkuang buatan ibu yang sudah terlalu uzur usianya. Kutoleh ke kiri, adik lelakiku masih lena di tempat pembaringannya. Begitu juga dengan adik perempuanku yang masih lena dibuai mimpi-mimpi indah. Satu keluhan berat keluar dari mulutku. Aku tidak tahu untuk apa keluhan ini kukeluarkan. Adakah aku bosan dengan hidupku? Atau aku yang tidak tahu bersyukur kepada Pencipta Agung kerana pada saat dan tika ini aku masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara segar di bumi ciptaan-Nya. Masih lagi diberi kesempatan untuk melihat wajah-wajah insan yang ku sayangi, Adik-adikku, ibuku....ayah??? Masih adakah kasihku untuk insan yang ku gelar ayah?
Disekolah aku termenung sendirian. Seperti biasa waktu rehat akan ku habiskan di pondok bacaan ini. Wang yang diberikan oleh ibu untuk makan pada waktu rehat kusimpan dan hanya digunakan untuk keperluan penting sahaja. Aku lebih gemar membawa bekalan air tangan ibu. Lebih enak dan lebih terjamin kebersihannya.Tapi kini ibu jarang masak untuk aku jadikan bekal ke sekolah. Kesihatan ibu telah menghalang ibu untuk membuat kerja-kerja berat.
Teringat aku akan perbualan yang kudengari secara tidak sengaja antara ibuku dengan mak cik Senah kelmarin.
“Kalau aku tiada nanti kau tengok-tengokkan anak-anak aku. Kau didiklah mereka seperti anak sendiri. Tegur kalau mereka buat silap. Hanya kau harapan aku. Doktor cakap aku dah tiada harapan untuk sembuh. Penyakit aku ni sudah sampai tahap kritikal. Aku hanya mampu menunggu masa, Senah”
Kau sabarlah Mariam. Ini ujian Allah untuk kau. Fasal anak-anak kau tu kau janganlah risau. Aku akan bantu selagi aku mampu”
“Alia tu pun aku tengok dah matang. Walaupun usianya baru 12 tahun tapi aku yakin dia mampu jaga diri dan adik-adiknya. Kau sayangilah mereka macam anak–anak kau sendiri, Senah.” Suara ibu semakin sayu. Ada sendu di sebalik suara itu.
“ Yelah Mariam. Aku tahu tu. Alia tu budak pandai. Aku yakin dia mampu hadapi semua ni. Lagipun budak-budak sekarang cepat matang berbanding dengan zaman kita dulu. Kau jangan la risau ya.”
Bunyi suara sekumpulan pelajar lelaki yang berjalan di tepi pondok bacaan mengembalikan aku ke dunia yang nyata. Tanpa aku sedari setitis air mata gugur di pipiku mengenangkan nasib yang menimpa aku sekeluarga. Mengenangkan tingkah laku bengis ayah yang selalu perhambakan ibu tanpa rasa kasih. Apa yang mampu aku lakukan pada usia mudaku yang baru mencecah 12 tahun ini. Terfikir juga aku untuk berhenti belajar dan bekerja agar aku dapat membantu ibu menjalani pembedahan buah pinggangnya. Tapi kelulusan apakah yang aku ada untuk bekerja. Sekadar mencuci pinggan di warung mamak belum tentu aku dapat membantu ibu. Lebih malang lagi jikalau wang hasil titik peluhku itu diambil oleh ayah untuk berjudi dan berfoya-foya dengan perempuan lain.Walhal ayah tahu akan penyakit ibu. Sudah berkali-kali mak cik Senah menasihati ayah sebaliknya mak cik Senah pula yang ditengkingnya.
Cuti sekolah sudah bermula. Banyak kerja rumah yang guru-guruku sediakan memandangkan kami akan mengambil peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Aku masih lagi termenung di hadapan buku penulisan Bahasa Melayu. Sudah hampir setengah jam aku menghadap buku ini tetapi tidak satu perkataan pun tercatat di halaman tersebut. Aku buntu untuk menulis karangan yang diberikan cikgu Hamid. ‘ pengorbanan seorang ayah’, itulah tajuk yang membuatkan aku langsung tidak berminat untuk menulis karangan ini. Apa yang harus aku tulis? Betul ke ada pengorbanan ayah untuk kami semua. Suara ibu yang tiba-tiba menegurku menjadikan aku serba tidak kena.
“ Dari tadi ibu tengok Alia temenung je depan buku tu. Kenapa nak? Susah sangat ke soalan yang cikgu bagi tu? Mari sini biar ibu tengok.” Lemah suara ibu. Walaupun usia ibu belum mencecah 40 tahun tetapi ibu nampak agak tua. Mungkin kerana penyakit yang ibu alami. Mungkin juga kerana ibu terlalu kuat bekerja.
“ Eh, takpe la ibu, Ibu rehat la. Ibu kan tak sihat. Banyak lagi masa ibu. Nanti Alia boleh siapkan kerja sekolah ni.” Jawabku sedikit gugup kerana takut ibu akan bertanya lebih lanjut tentang kerja sekolahku. Aku terus bangun lalu duduk di sebelah ibuku. Ibu mengusap- ngusap rambutku.
“ Alia...” panggil ibu lembut. Matanya tidak lepas dari memandang raut wajahku.
“ Ya ibu” sahutku dalam suara yang sebak. Aku tidak tahu mengapa. Hatiku rasa tidak enak. Kulihat mata ibu sungguh bercahaya di kala itu.
“ Adik- adik Alia mana?” tangan ibu masih lagi mengusap ngusap rambutku.
“  Ada di luar ibu, bermain.”
“ Alia ingat pesan ibu ni tau, nanti kalau apa-apa terjadi pada ibu, Alia kena kuat. Alia tak boleh menangis, tak boleh cepat mengalah. Alia kena jaga adik-adik. Alia dah besar sayang. Jangan lupa solat. Solat tu tiang agama sayang. Di sekolah Alia belajarkan hukum bagi orang yang suka tinggal solat?”
Aku mengangguk-anggukkan kepalaku. Air mata mula keluar setitis demi setitis.Air mata ini cukup mudah untuk keluar.Tanpa kupinta, tanpa dijemput, air mata ini tetap akan keluar.  Aku sayang sangat pada ibu. Aku tidak rela berpisah dengan ibu.
“Alia pergi panggil adik-adik sayang. Ibu nak jumpa anak- anak ibu.”
Aku akur dengan pemintaan ibu. Terus aku ke ruang tamu memanggil adik-adikku. Kami adik beradik berkumpul di tepi ibu. Ibu memandang seorang demi seorang antara kami lalu diraihnya kami dalam dakapan tubuhnya yang sudah tidak berdaya itu. Dikucupnya dahi kami secara bergilir-gilir. Tiba–tiba ku rasakan dakapan yang tadinya begitu erat kini semakin kendur, kendur dan akhirnya terlerai begitu sahaja. Ku lihat wajah ibu pucat. Mata ibu terkatup rapat. Tiada lagi nafas ibu yang turun naik seperti tadi. Tahulah aku bahawa ibu telah pergi meninggalkan kami.
Ibbbbbbbbbbbbbbbbbbbbuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu” laungku sekuat hati. Tubuh ibu ku goncang berkali-kali. Namun ibu masih lagi kaku tanpa sebarang reaksi. Aku menangis semahu-mahumya. Adik-adikku yang tadinya diam kini turut sama menangis denganku. Meratap pemergian ibu.
Tiba – tiba aku terdengar seseorang membuka pintu dengan kasar.
“Woiii!!!! Apa yang menangis sakan sampai kat luar rumah pun boleh dengar ni? Tak tahu malu ke? Mana ibu kamu?? Aku nak duit. Woi, jawablah aku tanya ni. Ibu kamu mana???” Jerkah ayah. Ayah mula menghampiri kami dengan muka bengisnya. Tatkala dia terpandang akan tubuh kaku ibu, tiba-tiba wajah bengisnya bertukar menjadi pucat. Sama pucatnya dengan wajah ibu yang sudah tidak bernyawa di kala itu. Dengan tidak semana-mana ayah meraung dan menghentak-hentakkan kepalanya di dinding. Semakin lama semakin kuat raungan ayah. Tiba- tiba aku rasa ada satu perasaan benci terbit di hatiku sebaik sahaja terpandang wajah ayah. Aku benci!
Sudah tiga bulan permegian ibu. Dan lagi beberapa hari aku akan menduduki peperiksaan UPSR. Aku seperti sudah tidak mahu belajar lagi. Buat apa aku masih belajar sedangkan ibuku sudah tiada. Kalau aku berjaya sekalipun ibu tidak akan dapat berkongsi kejayaanku itu. Ayah?? Semenjak pemergian ibu ayah telah banyak berubah. Ayah tidak lagi berjudi dan mabuk seperti dahulu. Ayah kini sudah bekerja. Solat juga ayah sudah tidak tinggalkan. Pernah sekali aku melihat ayah berdoa sambil menangis. Tetapi hingga ke saat ini aku masih tidak dapat memaafkan ayah. Bagiku pemergian ibu adalah disebabkan ayah. Kalau dari dulu ayah menjaga ibu pasti ibu tidak akan pergi seawal ini. Pasti ibu dapat berkongsi kejayaanku nanti.
Sesudah membaca Surah Yassin buat ibu, aku merebahkan tubuh ke atas sejadah sementara menanti azan isyak. Beginilah keadaan aku setiap hari. Aku pasti akan bersolat di atas sejadah yang selalu ibu gunakan dulu. Tiba–tiba aku terasa mengatuk yang teramat sangat. Aku cuba bertahan tetapi aku terlelap juga akhirnya.
“Alia....”
“ Ibuuuuuu..” Aku terus berlari ke arah ibu yang dari tadi asyik tersenyum melihatku. Ibu mendepakan tangannya menanti aku menghampirinya. Tetapi aku merasakan kakiku masih berada ditempat yang sama walaupun aku sudah berlari sekuat hati. Aku mula menangis.
“ Ibu..jangan tinggal Alia lagi. Alia sayang ibu. Ibu baliklah..Ibuuuu.” Laung ku dalam sendu.
“ Jangan menangis sayang. Alia sayang ibu tak?”
Aku lantas menganggukkan kepalaku.
“Kalau Alia sayang ibu, Alia dengar nasihat ibu baik-baik ya sayang. Mulai hari ini ibu tidak mahu Alia membenci ayah. Dia ayah Alia. Alia kena hormat ayah Alia. Berdosa Alia membenci ayah sendiri. Tak berkat hidup kamu nanti nak..Kalau Alia anak yang baik, pergilah minta maaf dengan ayah. Jangan jadi anak yang derhaka. Ingat pesanan ibu ni sayang.” Bayangan ibu semakin kabur dari pandangan mataku. Semakin lama semakin jauh, jauh dan akhirnya terus ghaib begitu sahaja.
Aku terjaga dari mimpi yang kurasakan sungguh aneh itu. Badanku berpeluh-peluh. Takut, sedih, rindu pada ibu, rasa bersalah terhadap ayah, semua berkumpul menjadi satu. Akhirnya aku menangis teresak-esak di situ. Azan isyak mula kedengaran. Semakin sayu suara bilal melaungkan azan semakin sayu hatiku. Semakin kuat tangisanku.
Dalam aku menangis itu tiba-tiba aku merasakan ada tubuh sasa datang menghampiriku.
“Alia kenapa nak?” Suara garau ayah menegurku. Tanpa aku sedari, buat pertama kalinya aku menghampiri ayah lalu memeluknya sekuat hatiku. Aku menangis semahu-mahunya di dada ayah. Ayah pula mengusap-ngusap kepalaku untuk meredakan tangisanku.
“Alia minta maaf ayah kerana membenci ayah. Alia minta maaf. Alia anak ayah yang derhaka. Alia minta ampun ayah. Maafkan Alia” Ucapku dengan penuh rasa kesal.
“ Jangan menangis lagi Alia. Alia anak ayah. Ayah dah maafkan Alia. Jangan menangis lagi sayang.” Lembut suara ayah memujukku. Tiada lagi tengkingan dan suara keras ayah yang sering ku dengar dahulu.
Kini baru aku sedar. Ayah benar-benar berubah. Aku berdosa dengan ayah. Air mataku mengalir lagi. Maafkan Alia ibu. Maafkan Alia ayah.

3 comments

Menarik temanya, cuma kalau diperkemaskan lagi latar masa, cerita ini lebih lancar...

sekadar memberikan pandangan sebagai rakan penulis

:D

erm sedih sngt

cume cpt benar ayah die berubah eh

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...