Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday 15 April 2012

Dan Akhirnya Biola Itu Berlagu... #1



BIOLA itu diletakkan ke bahu. Yusuf sudah bersedia untuk mengalunkannya. Dia sempat melontar pandangan ke arah Balqis, lalu cuba menyalurkan separuh dari kekuatannya kepada wanita yang sudah melewati usia 50 tahun namun masih tetap anggun itu. Yusuf yakin Balqis sedang gementar. Yusuf faham kenapa rasa itu membaluti hati Balqis ketika ini. Yusuf mengukir senyum. Wanita kesayangannya itu membalasnya, seterusnya mengangguk. Sejurus menarik nafas dan memejamkan mata sesaat, akhirnya Yusuf mengalunkan sebuah lagu.
            Balqis menitiskan airmata. Gesekan lagu dari biola yang dimainkan Yusuf itu benar-benar mengembalikan nostalgia terindah dalam hidupnya. Mutiara jernih itu gugur lagi. Setelah hampir dua puluh tahun lamanya, akhirnya biola itu kembali berlagu...

* * *

            Yusuf membuka jendela kamarnya. Tanpa bertangguh dan segan silu, semilir malam pantas menyerbu masuk ke dalam kamar bujang yang sederhana itu sehingga langsir beralun terbang mengikut rentak si angin. Kedinginan mula membaluti sekujur tubuh milik anak muda berusia 19 tahun itu. Yusuf berpeluk tubuh. Angin malam yang dingin itu dinikmati sepenuhnya. Terlalu indah rasanya menikmati pemandangan waktu malam di tepi pantai begini.
            Yusuf menarik nafas dalam-dalam. Damai. Tiada hiruk-pikuk yang kedengaran seperti di kota, sebaliknya hanya deruan ombak dan desiran angin Laut China Selatan yang menyapa dedaunan sahaja yang mengisi ruang. Bulan purnama yang penuh membaluti dada langit tambah menjadikan kawasan pantai itu kelihatan cukup mempersonakan. Paduan suasana yang indah itu dengan perasaannya yang berkecamuk saat itu cukup untuk melegakan rasa tidak enak yang mengamuk di dalam dadanya. Alam yang gemilang seakan menyihir Yusuf untuk melabuhkan punggung di muka jendela.
            Matanya melirik pada jam dinding yang menunjukkan pukul satu pagi. Dia sedang resah menanti sebenarnya. Menantikan sesuatu yang masuk malam ini sudah genab seminggu meragut ketenteramannya. Anehnya, Yusuf menyimpan rasa rindu pada tetamu itu. Perlahan-lahan dari kejauhan, terdengar alunan biola sayup-sayup berlagu sayu. Yusuf tersentak. Dia pantas berdiri.
            Alunan biola itu terus mengisi ruang. Itulah tetamu yang dinantikan Yusuf. Dia terkesima. Lagu yang dimainkan itu terlalu indah melodinya. Yusuf terus terpaku sehinggalah lagu alunan biola itu terhenti. Yusuf nanar. Entah kenapa dia jadi hilang arah apabila alunan dari biola yang datang entah dari mana itu berhenti. Persoalan demi persoalan semakin mengasak minda. Sejak menghuni banglo kecil dua tingkat yang terletak di tepi pantai itu, tidur malamnya sering diiringi dengan alunan biola misteri itu. Jadilah Yusuf seorang perindu yang buntu.


bersambung...

5 comments

intro.. fuh! ini memang novel :)

alunan misteri :)

Dan penggesek biola itu adalah hantu. Hahahah. 1st time jumpa blog yang tulis novel/cerpen. Biasalah, newbie. Anyway, nice.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...