Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh…
Menerusi sehelai kertas dan sebatang pena menjadi perantara antara suara diri ini dengan hati kamu yang sedang membaca warkah ini. Mungkin ini warkah terakhir yang akan saya utuskan kepada kamu kerana selepas ini, sudah tiada apa lagi yang menghubungkan kita. Tiada lagi alasan untuk kita sering berbicara, apatah lagi bersua muka. Maaf seandainya bait-bait dalam surat ini mengganggu hari-hari kamu bersama si dia. Maaf juga kiranya warkah ini menimbulkan rasa jelik dalam hati kamu. Harapan saya agar kamu sudi meluangkan masa untuk membaca luahan terakhir saya ini.
Sayang,
Oh, maaf kalau saya memanggil kamu dengan perkataan “sayang.” Tapi izinkan saya menulis sedimikian, kerana ini kali terakhir untuk itu semua.
Kamu tahu tak, betapa hati saya hancur remuk lebur bila kamu menyatakan bahawa hubungan kita sudah tamat tempoh hari? Puas saya memikirkan apakah dosa dan kesilapan yang dah saya lakukan sehinggakan tergamak kamu menghukum saya sebegitu. Sekiranyalah ada peluang untuk saya tahu apakah sebabnya kamu memilih untuk menghentikan hubungan cinta kita waktu itu, sekurangnya ada jawapan. Ini tidak, kamu cuma melemparkan kata-kata panahan yang dari luka terus menanah. Sakit tahu?
Sejak dari hari perpisahan kita itu, saya ada juga mencuba untuk menghubungi kamu, ingin mendengar suara kamu, ingin mengetahui khabar dari kamu, ingin meluahkan rasa rindu kepada kamu, ingin memohon supaya kamu kembali kepada saya. Tapi kamu mengambil tindakan untuk bertukar nombor telefon, sukarlah bagi saya menjejaki kamu.
Siang malam saya menangis. Saya murung. Semua yang saya buat serba tak kena. Saya macam terkena tamparan yang sangat hebat. Oh, itu memang tamparan yang sangat hebat. Semuanya berlaku begitu pantas. Tiada penjelasan. Kamu tahu tak? Saya sampaikan tak makan selama tiga hari, merokok makin kuat, hidup macam orang gila, semuanya kerana perpisahan itu. Terukkan saya? Ahh, bukan kamu peduli pun.
Sayang,
Saya selalu terkenang saat indah kita bersama, sekurangnya itu mampu buat saya tersenyum. Buat apa nak kenang benda-benda yang pedih bukan?
Ingat lagi tak waktu kita mula-mula keluar ke bandar sama-sama? Iaitu hari pertama kita keluar sebagai pasangan. Saya rasa berdebar-debar sangat waktu tu. Tapi kamu saya tengok selamba je. Kita makan dekat KFC. Pertama kali keluar dengan perempuan, berdua, makan di tempat-tempat macam tu. Saya tengok kamu makan berselera sambil ada sahaja benda yang kamu katakan. Kamu memang petah orangnya.
Lepas tu kita pergi tengok wayang sama-sama. Cerita “Transformers.” Tak sangka pula saya kamu minat cerita aksi. Bukan main teruja lagi kamu beriya-iya mengajak saya tonton cerita itu.
Selesai tonton filem, kita berjalan pula di sekeliling bandar. Masa melintas jalan, kamu pegang erat tangan saya. Pertama kali saya berpimpin tangan dengan perempuan. Darah saya berderau laju. Tapi saya sembunyikannya. Kamu tahu tak? Saya sangat gembira waktu itu. Berjalan berdua dengan kekasih sendiri, berpimpin tangan, pergi ke tempat-tempat biasanya pasangan pergi. Manis sangat rasanya.
Saya masih ingat lagi hari pertama pergi ke rumah kamu. Berjumpa dengan keluarga kamu. Ibu kamu masakkan ikan kerisi masak merah dengan pucuk paku masak lemak. Fuh! Memang terangkat saya dengan menu itu. Mesti kamu yang beritahu ibu kamu tentang makanan kegemaran saya bukan? Memandangkan waktu itu saya baru pertama kali bertandang ke rumah kamu, saya agak malu-malu untuk makan semua itu walaupun dalam hati meronta-ronta mahu tambah lagi nasi. Kelakar pula rasanya.
Ibu bapa kamu pun menerima saya seadanya. Mereka nampaknya begitu senang sekali dengan saya. Sejak dari hari itu. Saya dah membayangkan yang hubungan kita bakal disatukan dijinjang pelamin. Semuanya tampak indah dan bahagia. Keluarga saya pun begitu juga. Hubungan kita memang mendapat restu dari dua-dua pihak.
Sayang,
Ingat lagi tak baju yang kamu berikan kepada saya? Baju yang memang kamu sayang. Saya cuma katakan yang saya suka dengan baju itu, tak semena-mena lusanya kamu berikan kepada saya. Saya suka pakai baju itu waktu tidur dengan harapan dapat bermimpi berjumpa dengan kamu. Sebagai balasan, saya hadiahkan pula kepada kamu teddy bear untuk kamu peluk ketika tidur. Manis semuanya. Manis. Indah.
Saya juga ada beri kamu gelang tangan yang ada terukir nama kita. Kamu bukan main suka dengan gelang itu. Kamu katakan gelang itu antara pemberian terindah pernah saya berikan. Saya harap sehingga surat ini dibaca, kamu masih pakai lagi gelang itu. Palsukah harapan saya ini? Ah, pedulikan.
Sayang,
Saya tahu memang sudah tiada lagi harapan untuk kita bersama semula. Saya tahu hati kamu memang dah tiada nama saya. Barangkali nama saya juga kamu sudah buang jauh-jauh. Barangkali juga rupa saya sudah kamu tak dapat bayangkan. Nama lelaki itu barangkali sudah menggantikan saya yang tiada apa-apa ini.
Saya redha dengan apa yang berlaku. Saya redha dengan pilihan kamu sendiri. Puas berfikir apa kelebihan lelaki itu pun sudah tiada gunanya. Dia dah ambil alih tugas saya mencintai kamu. Kalau pilihan kamu itu benar dan menggembirakan kamu, saya tumpang senyum di tepi. Saya doakan kamu bahagia. Cuma saya harapkan, jangan kamu padam kenangan kita. Jangan kamu lupakan nama saya. Jangan kamu lupa untuk merenung bulan di langit, kerana pada waktu itu, bulan yang itu jugalah yang saya tenungkan. Sayang, izinkan saya ucapkan buat kali terakhir dalam warkah ini…
Saya sayangkan awak. Selamanya...
Oh ya, puisi yang saya kepilkan ini, memang khas untuk kamu. :-)
Harlina ralit dalam khayalannya. Ketika dia membaca setiap satu tulisan bekas kekasihnya itu, dia turut terbang bersama kenangan-kenangan yang Rizal coretkan dalam warkahnya itu. Dia sendiri tidak sedar bila masanya air matanya turun bercucuran. Nafasnya berombak. Setitis air matanya jatuh di atas helaian surat tulisan Rizal itu. Rasa rindunya tiba-tiba memuncak. Rindukan seorang lelaki dengan gaya dan caranya yang unik dan tersendiri. Seorang lelaki yang jiwanya tiada pada mana-mana lelaki kaya. Seorang lelaki yang ikhlas dalam mengait rasa-rasa cinta dengannya. Bagai satu dalam sejuta, itulah Rizal.
Surat itu dilipat semula cantik-cantik mengikut bekas kesan lipatan. Harlina membuka pula sekeping lagi helaian. Helaian itu tertulis sekuntum puisi yang digarapkan untuknya. Kertas itu berwarna ungu cair dengan lukisan-lukisan kartun comel menghiasi tepi-tepi kertas itu. Hati Harlina terasa membuak-buak untuk membaca pula puisi itu.
Aku duduk berteleku di tepi jendela,
Memandang ke atas langit yang cerah,
Dilimpahi dengan warna cahaya bintang dan bulan,
Menggamit sebuah nuansa hati ini.
Teringat aku,
Dulu kita bersama berbaring bersama di atas hamparan cinta,
Mengira setiap bintang,
Mencari yang paling bersinar terang,
Memilih mana satu lambang cinta kita.
Kini aku cuma mengenangkan sebuah pusara,
Yang berlalang tinggi,
Terkubur tiada nisan bernama,
Sambil berharap kau bahagia.
Sekali lagi, hati Harlina bagaikan tersentak. Seribu satu penyesalan seolah menerjah ruang-ruang hitam dalam dirinya. Dia dapat merasakan betapa surat dan puisi itu bernadakan kekecewaan yang mendalam Rizal. Menunjukkan betapa ikhlasnya Rizal meredhakan kepergian dia kepada Hisyam. Lelaki yang telah menjadi orang ketiga antara mereka berdua. Lelaki yang telah mengubah arah cintanya juga telah membuatkan nilai kesetiaannya berubah serta-merta. Semuanya telah berlalu lama.
Harlina baca semula helaian surat khabar di sisinya. Airmatanya tumpah sama sekali. Dia tak tahu apa harus dia buat.
Khamis, 13 September - Seorang lelaki yang sedang menunggang motorsikal telah dipercayai bertembungan dengan lori tanki bermuatan minyak dan separuh dari badan mangsa telah dilenyek lori tersebut. Mangsa dikenali sebagai Muhammad Rizal bin Kamarul, 27, berasal dari Segambut didapati baru pulang dari tempat kerjanya berikutan dokumen-dokumen kerja yang ada bersama disekitar kawasan kemalangan........
Harlina tewas lagi dengan perang air mata.
3 comments
tula tak reti menghargai
kejam!!!!
*pukul2 bahu abam sipot. suka buat ittew nanges.
Oit! Apo salah den? :-(