Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday, 26 February 2012

Hikayat Negara Singapura

Pada suatu ketika di zaman dahulu kala, ada seekor singa jantan muda di negeri Afrika yang baru saja berumahtangga dengan kekasihnya. Selang seminggu berumahtangga, pada satu malam, si singa jantan bermimpi, mimpi yang sangat aneh.

Dalam mimpinya di malam itu, dia telah didatangi oleh seekor singa tua yang bulunya tiada lain warna selain putih semuanya. Pada mulanya dia berasa takut, tapi reda apabila singa tua itu datang menghampiri lalu dengan nada yang lembut ia berkata, "Kau akan jadi termasyhur, dikenang sepanjang masa. Nama diganding dan disebut-sebut setiap saat adanya. Pergilah kau mengembara, mencari sebuah benua yang mana hujungnya terdapat sebuah pulau kecil. Bermain-mainlah kau di sana sehingga datangnya seorang yang ternama. Di saat itu lah kau akan jadi termasyhur."

Tersentak si singa itu daripada tidur, lalu dikejut isterinya yang sedang lagi lena dan menceritakan apa yang dimimpinya tadi.

"Ini hanya mainan tidur bang," si isteri menjawab. Di dalam keadaan yang masih lagi mengantuk mata separuh terpejam, si isteri menyambung dengan nada tawa mengejek, "Mana mungkin abang jadi termasyhur. Abang bukannya seekor singa yang berbakat. Mahu jadi penyanyi pun bukannya sedap suara abang. Mahu jadi pelakon pulak, abang bukannya hensem. Mahu termasyhur dengan berkerja keras macam mana? Sendiri mahu makan, saya yang pergi berburu!!"

Kata-kata sang isteri dirasa bagaikan satu tamparan yang ditampar ke muka. Hati terasa ngilu bagaikan ditusuk buluh sembilu. Dia benar-benar rasa tercabar! Lalu dia bangkit dari tempat peraduan terus menuju ke halaman meninggalkan isterinya sendirian, yang kembali tenggelam dalam lena.

Sekelilingnya dilihat masih lagi diselimuti kegelapan. Kicauan burung belum lagi berkumandang kedengaran. Begitu juga dengan haiwan-haiwan liar yang lain, tidak sekelibat pun yang ada melintas di depan mata. Di depannya padang yang luas terbentang, hanya suara-suara cengkerik yang berdendang, meningkah suasana yang sepi.

Hati pula masih lagi dirundung marah dengan kata-kata isterinya. Diikutkan hati, mahu ditampar saja mukanya. Tetapi dia tidak sampai hati. Tidak sampai hati pada dirinya sendiri!! Tidak mahu di belakang hari nanti digelar sebagai seorang suami yang dayus, yang suka memukul bantai isteri. Baginya, daripada menjadi singa yang dayus, menjadi rusa bahan makanannya itu lebih mulia kewujudannya.

Darah muda yang mengalir, yang menguasai segenap sudut denyut nadinya, mengatasi fikiran seekor singa yang berfikiran waras. Tanpa lengah dan memikir panjang akan nasib masa depan sang isteri, dipengaruhi oleh rasa amarah, langkah dihayun, pergi dia mengembara. Mencari sebuah pulau di hujung sebuah benua, yang dimaksudkan di dalam mimpinya tadi.

Berjalanlah ia dengan sebulu sepinggang tanpa ada bekalan lainnya. Berhari-hari siang dan malam meredah hutan belantara dan Gurun Sahara. Hingga akhirnya pada suatu hari, langkahnya telah membawa ia sampai ke satu persisiran pantai.

Dilemparkan pandangannya di hujung hadapan sana mencari-cari pulau kecil itu. Namun apa yang dilihatnya, hanyalah sebuah hamparan lautan yang luas terbentang.

Berlegar-legar di situ mencari kepastian, akhirnya ketemu sebuah papan tanda yang jelas tertera, "CAPE OF GOOD HOPE!!" Berkat ilmu yang ditimba sewaktu zaman persekolahannya, dia sedar, dia masih lagi berada di benua Afrika.

Mungkin pulau yang dimaksudkan itu ada di hujung sana, suara hatinya berkata. Berbekal semangat waja, hati pula sudah sebulat suara ingin jadi termasyhur, dengan penuh bersahaja dia terus mencampakkan tubuh badannya ke lautan yang bergelora itu. Lautan yang terkenal sejak zaman purbakala, sebuah lautan yang penuh didiami ikan-ikan yu yang ganas dan buas.

Berhari-hari dia meredah lautan itu tanpa ada rasa penat dan takut, mempamerkan ciri-ciri sang raja haiwan di saat-saat yang genting. Namun sekuat manapun kudrat, ada tahapnya. Terlena dia sewaktu sedang lagi berenang, sedar-sedar sudah terdampar di sebuah pantai yang kelihatan begitu asing baginya.

Bangkit dia lalu menuju ke sebuah pohon yang rendang dan berehat di situ menghilangkan lelah. Tanpa dia sedar, seketika kemudian diri hilang lagi dibuai lena.

Datang lagi si singa tua itu dalam mimpinya buat kali kedua, lalu berkata, "Sudahpun sampai kau ke benua yang dimaksudkan, namun tujuan masih jauh lagi dari jangkauan. Teruskan pengembaraanmu hingga kau sampai ketempat yang hendak dituju."

Tersentak dia dari lena tidur, mengimbas kembali lalu diperhatikan sekelilingnya. Di depan mata, jauh di sana, gunung ganang berdiri megah, menjulang hingga ada yang sampai mencium langit. Yang mana puncaknya diselimuti salju menambahkan lagi indah pandangan.

Menggeliatkan badannya mengendurkan kembali urat-urat yang tegang dan kejang, dia bangkit lalu meneruskan pengembaraan. Dia berjalan dan terus berjalan hingga akhirnya, di satu saat, dia telahpun sampai di sebuah kaki gunung yang dilihatnya tadi sewaktu berehat di bawah pohon yang rendang itu.

Berjalanlah ia di tepi kaki gunung itu, yang dihiasi dengan bongkahan batu-batu yang besar mencari jalan tembusan, buat meneruskan pengembaraannya. Berjalan dan terus berjalan mencari, hingga akhirnya dia sedar, yang langkahnya dikepong oleh gunung-ganang yang seperti sengaja menghalang ia dari memashyurkan nama. " Seperti isteriku saja sikapnya, " berkata hatinya di dalam bahasa Afrika.

Rasa tercabar, dia yang berat badannya sudah semakin menurun akibat makan yang tidak teratur, mengumpul tenaga berhasrat hendak menawan gunung yang cuba mencelakakan pengembaraannya. Mencekalkan hati, dia mengorak langkah, jiwa berkobar-kobar mahu jadi termasyhur, terkenal seantero dunia, disebut sepanjang masa.

Meneruskan perjalanan setelah gunung itu ditawan, pengembaraan seterusnya melewati hutan belantara, bukit bukau, sungai-sungai kecil dan besar dan tidak terlepas juga dengan pendedahan cuaca yang berbagai rupa. Namun, pulau kecil yang dicarinya entah di mana kelibatnya. Tidak berputus asa, dia terus berjalan dan terus berjalan, cuma kadangkala dia berlari-lari anak agar dapat cepat sampai ketujuannya. Ingin juga dia berlari-lari bapak dan emak, tetapi setelah disemak di dalam Kamus Dewan Bahasa, perkataan itu bukan saja tidak membawa apa-apa makna, malah ianya langsung sama sekali tidak tertera. Maka, terpaksalah dia berpuas hati dengan apa adanya.

Berkat kecekalan hatinya yang waja, pada suatu hari, setelah pengembaraan yang begitu lama dan panjang, pengorbanannya akhirnya membuahkan hasil. Berdiri dia di sebuah persisiran pantai, dengan megahnya dia sedar, dia kini sudahpun sampai di hujung benua yang dimaksudkan si singa tua di dalam mimpinya. Airmata gembira menitis, membasahi pantai yang sudah sedia basah. Di depan matanya, samar-samar kelihatan ada sebuah pulau melambai-lambai memanggilnya, ingin memashyurkan namanya!!

Sekali lagi buat kedua kalinya, di dalam pengembaraannya dia telah mencampakkan diri ke sebuah lautan. Hanya cuma kali ini, lautan itu bebas dari ikan yu yang buas dan bahaya, juga lautannya tidaklah begitu besar.

Menyanyi-nyanyi riang, dia berdendang dengan nada sumbang lagu-lagu tradisional Afrika. Hati terasa senang memikirkan yang dia akan jadi termasyhur tidak lama lagi. Seketika kemudian, sampailah dia di sebuah pulau. Berjalan-jalan, dia dapati pulau itu sangat aman dan sentosa. Tetapi dia merasa sedikit hairan, pulau itu baginya terlalu kecil untuk memashyurkan namanya.

Duduk dia di sebuah pohon memikirkan, seketika kemudian, mungkin kerna terlalu kepenatan dia sekali lagi terlena. Sebagaimana yang sudah-sudah si singa tua itu hadir di dalam mimpinya, begitu juga kali ini. Cuma, sedikit berbeza. Kali ini dia bersuara dengan nada yang agak marah, "Hello!! Ini bukan pulaunya!! Ini pulaunya pulau itu!! Ini namanya Pulau Sentosa, tu sebab kau merasa aman dan sentosa!!"

Terkejut dia. Kali ini bagaikan hendak roboh jantungnya mendengarkan suara itu, yang bagaikan dentuman guruh yang melanda. Dengan cepat dia bingkas lalu beredar mencari pulau tersebut.

Dengan rambutnya yang kusut masai, misai dan janggut tidak terpelihara berselerak terurai, dia tersenyum lebar. Di depan mata, tersergam indah sebuah pulau yang diyakini, yang dimaksudkan si singa tua itu. Maka berenanglah dia tanpa lengah menuju kekemasyhuran.

Dua hari berlalu, bukan saja rombongan orang ternama yang dikatakan itu tidak tiba, malah kelibat si singa tua juga tidak lagi muncul di dalam mimpinya. Dia rasa tertipu!! Teringat pula akan kata-kata isteri yang ditinggalkannya, mungkin ada kebenarannya juga. Sesal tiba-tiba menyelubungi. Hati baru terasa sepi, apabila menyedari rupanya dia seekor saja singa yang berada di situ. Berdiri di tepian pantai, dia terkenang kampung halaman. Merebahkan dirinya, dia meratap-ratap pilu. Menghentak-hentak ekor, kaki dan tangannya di pantai itu. Merasakan ada tubuh badan lain yang tertinggal dan wajar dihentak, dia mendongak hendak menghentakkan kepalanya pula.

Di saat kepalanya hendak dihayun dihentak, lautan yang tadi bergelora, tiba-tiba saja menjadi tenang. Di hujung sana, di bawah silauan mentari, kelihatan samar-samar bayangan sebuah bahtera, sedang menuju kearah pulau itu.

Diselak-selak rambut yang menutup matanya agar dapat dia melihat dengan jelas buat kepastian dan kepuasan hati. Diperhatikan betul-betul kelibat itu tanpa berkedip mata. Ia!! Jelas sekali bahtera itu kian menghampiri!!

Di balik pohon dia bersembunyi mengintai, kedengaran sayup-sayup suara manusia yang begitu asing baginya," Ayuh, turunin semua barang-barangnya. Di sini aja bermalam."

Diperhatikan setiap kelibat yang mundar-mandir, sibuk menjalankan tugas yang dikerah oleh seorang yang kelihatan berpakaian berkilau benang jahitannya. Begitu juga kelihatan ada beberapa orang lagi yang berpakaian yang hampir sama, mengelilingi seorang yang pakaiannya jauh lebih indah. Dia begitu yakin itulah orang yang ternama yang dimaksudkan, sebaik saja dia memulakan bicara," Apakah tempat namanya ini? Inigin sekali saya menjadikannya pusat kerajaan saya!"

Yang mengelilinginya semua tunduk dengan serta-merta lalu berkata," ampun Tuanku, kami patek semua kurang jelas apakah nama tempat ini."

Mengurut-urut dagunya dia menyambung," baiklah, saya ishytiharkan ini hak milik saya!! Tapi...Apa saya harus menamakannya??"

Di saat itu juga bagaikan ada satu kuasa yang menarik singa itu keluar dari penyembunyiannya. Dipeluk pohon itu erat-erat sebaik saja terasa ekornya ditarik, diheret. Semakin kuat dipeluknya pohon itu, semakin kuat pula kuasa tarikan itu menariknya. Hingga akhirnya terdedah dia oleh penglihatan rombongan itu semua.

Kecoh semua yang ada melihatkan haiwan yang ganjil itu, seekor haiwan yang tidak pernah terlihat kelibatnya sebelum ini. Yang pastinya tidak pernah wujud di kawasan ini. Merasa hairan semuanya termasuk Sang Nila Utama, si pembesar orang yang ternama. Di dalam kehairanan dia bertanya," haiwan apakah itu??"

Terdiam semua! Seketika kemudian terbelah pula kesunyian, apabila terdengar ada suara menyahut," kucing Tuanku."

Sang Nila membentak," mana mungkin kucing sebesar itu!!"

" Macan Tuanku." Kedengaran ada lagi suara menyahut memancing keributan yang ada.

" Mana mungkin macan rambutnya gondrong!!"

" Mungkin ini macan gondrong Tuanku, malas mahu pangkas rambut agaknya." Suasana semakin riuh dengan bisikan-bisikan andaian.

" Mustahil!! Mustahil!!" Sang Nila membentak, kemarahan sudah mulai memuncak ketahap maksimal.

Tiba-tiba muncul seorang panglima yang terkenal dengan gila pangkatnya bersuara," SINGA Tuanku!"

" SINGA!! Bagaimana kamu tahu??" Sang Nila menyergah dengan suara yang keras.

" Sewaktu cuti tahunan yang lalu, patek bersama keluarga pergi melancung ke negeri Afrika. Di sanalah Tuanku patek mendapat tahu. Dan apa yang dikatakan oleh juru pelancung itu, haiwan ini hanya terdapat di Afrika saja. Tidak di kawasan lain Tuanku,"

" Jadi, bagaimana singa ini boleh ada di sini?" Sang Nila mencari kepastian.

" Kurang jelas patek Tuanku." Panglima itu menjelaskan sesuatu yang dia sendiri tidak jelas.

Berpuashati dengan apa yang didengarnya, tangan menjulang kelangit, membaca sedikit mantera, lalu Sang Nila bersuara, " Baiklah, kalau begitu, memandangkan tempat ini akan menjadi Pura saya, iaitu Kota milik saya, saya namakan tempat ini SINGAPURA!!" Sang Nila Utama melukis sejarah, mengisyhtiharkan kelahiran sebuah Kota baru di mata dunia!!

Sekian, begitulah para pembaca, sebuah kisah bagaimana Singapura mendapatkan namanya!! Pelik tapi benar, yang mana kebenarannya membuat saya sendiri menggaru kepala!!

p/s Dongengan Kisah Benar yang dongeng!!

4 comments

aku duk sana pun aku baru tahu kisah benar yang dongeng ni..

nice =)

rasa cm baca buku sastera lama time sekolah aih ! kekeke ;p

Anonymous
21:44

ini kali lah..
cerita sejarah tu.

amboi dongeng sunggh

pelik gitu citenye

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...