Jam tua nyaring berdenting
3 kali. Hulu dinihari menelan malam. Dingin
pagi menusuk tubuh, menembus hingga ke temulang hitam. Lukman memeluk tubuh
sendiri. Dia hanya duduk sepi di situ, di antara anak tangga. Tidak menunggu.
Tidak pula mengira waktu berlalu. Hanya diam di situ, membatu.
*****
Daun pintu dikuak luas,
berkeriut bingit memecah sunyi malam. Lampu lindap membikin gelita ke segenap
ruang. Norma menunjuk isyarat senyap kepada Zali. Perlahan-lahan sepatu tumit
tinggi diletak kemas di antara sepatu yang lain. Norma sudah mengira rancang.
Malam ini adalah malam kerja Lukman. Norma pasti yang itu. Berkali-kali dia
bertanyakan soalan yang sama; Abang betul
kerja malam esok? Norma nak pastikan saja. Boleh kecualikan malam esok dari
berjumpa klien. Kasihan anak-anak tak ada siapa nak jaga nanti. Begitulah
Norma. Mulut manis berbicara, bibir tak sudah menguntum senyum memikat jiwa.
Setiap butir kata pasti memabukkan.
Norma dan Zali menyusup
licik ke kamar ranjang. Melangkah jingkit agar tidak didengari orang. Berselang
dengan hilai ketawa kecil, seolah dunia ini mereka yang punya. Pasangan tidak
halal ini terus-menerus membiar diri dihasut syaitan. Gejolak nafsu kian
menelan akal. Rakus Zali mencumbui Norma, wanita ajnabi yang langsung tidak
halal untuk disentuh. Norma rela diperlakukan apa cara. Dari saat sehelai demi
sehelai pakaian dilucut dari tubuh badan. Hingga ranjang menjadi saksi adegan
asmara terlarang.
Bawah sedar, Lukman
membatu bisu di antara anak tangga itu. Hanya duduk di situ, berlindung di
bawah gelap malam. Tidak muncul walau sedikit bayang. Dia hanya terpempan beku,
menadah dengar hilai ketawa isteri halal dan lelaki asing yang jauh dari kenal.
Sesekali, dia mengepal penumbuk keras melayan amarah yang menggelegak panas. Hilang
iman, meragut segala kesabaran. Lukman bangkit dari duduk. Bergegas mendapatkan
sebilah parang. Lalu meluru lari menuju ke kamar penuh dosa. Sebaik daun pintu
dikuak lebar, aksi ranjang Norma dan Zali terhenti di tengah jalan. Panik
menjalar ke seluruh badan. Mereka bertempiar lari, bertelanjang bulat. Lukman
tidak menunggu lama. Bagai disampuk hantu, menghunjam parang tepat ke perut
Zali bertalu-talu.
Namun akal rasional
memujuk, menenang jiwa. Istighfar diucap berulangkali, menghalau syaitan dari
menghasut dengki. Lukman memejam mata, menghalau imaginasi jauh pergi. Walaupun
hati runtuh ripuk tetapi tidaklah jalan sudahnya dengan membunuh. Barangkali,
inilah dugaan dari Maha Esa. Apalah sangat beban duniawi jika hendak
dibandingkan di sana nanti. Tidak selamanya kehidupan di dunia ini akan kekal
abadi. Termasuk ikatan perkahwinan ini.
Lukman tidak berganjak
dari duduk. Hingga azan Subuh berkumandang syahdu, mengajak umat manusia
menyembah diri-Nya. Mendayu-dayu. Serentak itu, pintu kamar berkuak luas. Dua
kujur tubuh bernyawa perlahan-lahan menyelinap keluar. Samar cahaya dari ruang
kamar menjelaskan sedikit pandang mata. Tersentak Norma melihat Lukman duduk
kemas di antara anak tangga.
Abang....
Tanpa menoleh, Lukman menganjak
jarak dari tubuh dua manusia yang penuh dosa. Berbaur rasa menggelodak di dalam
jiwa. Norma sudah tidak keruan. Bagai dirasuk gila, datang menerpa untuk
memujuk-rayu. Zali hanya di sisi, diam menyepi.
Sudah berapa lama?
Ringkas patah kata
terbit dari celah bibir kering Lukman. Norma tidak menjawab. Cuba menggenggam
jemari Lukman, namun direntap penuh kebencian. Terbuntang biji mata Norma
diperlaku sebegitu rupa. Lukman, lelaki yang lembut budi bicara. Sopan
perilaku. Sentiasa mengalah pada setiap perbalahan. Tetapi malam ini, hati
lelaki ini tidak selembut baldu. Sudah berubah menjadi batu.
Sudah berapa lama?
Lukman masih
bertanyakan soalan yang sama. Tidak menjerkah. Namun keras dan tegas.
3 bulan...
Norma akur dengan soal
tanya itu. Lemah jawabnya selemah hati yang kesal dengan keterlanjuran. Lukman
menguntum senyum sendiri. Perlahan dia menoleh ke arah Norma. Mengadap sang
perempuan yang masih halal disentuhnya. Jari-jemari mereka kemas bersatu.
Terima kasih kerana pernah membalas cinta saya suatu
ketika dulu. Terima kasih kerana pernah berjanji sehidup semati. Terima kasih
kerana melahirkan putera dan puteri. Terima kasih kerana menjaga makan minum
saya selama ini. Tidak buruk walau sepicing layanan awak terhadap saya.
Percayalah, cinta saya terhadap awak hingga ke saat ini sentiasa mekar di hati.
Hingga ke saat ini.....
Lukman melepas genggam.
Masih merenung Norma yang kian galak bertangis kesal.
....dan kini, hati saya sudah tawar untuk mencintai.
Dengan ini, saya ceraikan awak dengan talak tiga!
*****
Aṣ-ṣalātu
khayru min an-naūm!
Lukman meraup wajah. Anak-anak tangga itu ditinggalkan. Hatinya hanya
berhajat satu, menunaikan solat Subuh dengan khusyuk.
10 comments
hai perempuan. kamu tidak tahu erti syukur
dill.
nice seyh !
Salam ziarah...
*geleng kepala melihat norma.
wah,.......menarik!
salam.
Megamati tulisan cinta zulaikha
Singgah tirana aduka di sini
salam singgah jee.. ahhhaa
akk punye sangat best cite2nye
ye tiga ckup rase
lapisan lelaki ada hadnya juga ya... cerita yg menarik :D
p/s : kalau ada kesempatan sila baca cerita saya berjudul 'kuih lapis', ada persamaan temanya dengan cerita ini... :)
salam singgah n follow sini