Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday, 21 October 2012

Jebat, Saat Darahmu Membasahi Taming Sari #1

Penulis: Moon Rahaza
Blog: http://zonsendiri.blogspot.com/


JEBAT, sahabatku! Kita, kau dan aku sama-sama tahu. Sejak zaman kanak-kanak yang mentah hingga ke zaman dewasa yang gagah. Kita harung segalanya bersama teman-teman yang berbaki lagi tiga. Tidak pernah kita menjauhi antara satu sama lain, melainkan bersama jua walau ke mana-mana. Andai bumi Melaka ini bisa bersuara, pasti tiada lain perkara yang akan diucapkannya melainkan rasa cemburu dan irinya pada keakraban kita berlima. Demikianlah citra kita.
            Jebat, sahabatku! Rasa resah hebat mencuit kalbuku. Semasa menuntut di Gunung Ledang untuk memperkasakan ilmu persilatan, hatiku telah dipanah asmara. Melur, anak gadis darat itu berjaya menghiasi sukmaku dengan kasihnya yang tulus. Saat kita mahu berpulang ke Melaka, janji telah terukir antara aku dan dia. Janjinya, Melur akan menyusul aku ke Melaka seusai dia bersedia. Aku kembali bersamamu, Jebat. Kembali ke Melaka bersama Kasturi, Lekir dan Lekiu dengan hati yang tertinggal di Gunung Ledang. Kau tahu itu. Hanya padamu aku luahkan keluh kesah hatiku yang sakit berkasih dan merindu.
            Usai Taming Sari kuhabisi nyawanya di Majapahit, kerisnya telah dianugerahkan kepada aku. Kerisnya yang juga bernama Taming Sari itu menjadi lambang keperkasaan aku. Aku diangkat menjadi laksamana Melaka. Kau serta sahabat-sahabat yang bertiga sama berdiri di belakangku. Bumi yang kita cintai ini gagah dipertahankan dari semua bentuk musuh. Datanglah seribu pahlawan yang ingin menawan, pasti bisa kita patahkan.
Kita berlima diangkat menjadi pahlawan terbilang. Lambang kehebatan kerajaan Melaka yang berdaulat. Di sana sini orang mengenal dan membicarakan perihal kita yang dianggap mereka anugerah Tuhan buat Melaka.
            Kau adikku yang paling dekat. Sejak kecil lagi, di antara kita berlima, kau yang paling erat denganku. Kerana itulah aku betah berkongsi rasa bersamamu. Kau juga enteng sahaja menceritakan padaku akan kisah hatimu yang telah terpaut pada bunga yang kembang di laman istana. Lirikan mata dan senyum Dang Wangi yang jelita dan bersuara buluh perindu itu telah berjaya memanah sukmamu dengan panahan asmara. Aduh, Jebat! Dang Wangi itu kesayangan baginda. Suaranya hebat mengalun lena Sultan Melaka di kala malam menjelma. Mengapakah kau hanya tertarik dengan mawar berduri, sahabatku? Tiadakah anggerik desa yang dapat mencuri hatimu sehingga yang paling sukar itulah yang hendak kau dapatkan...?
            Kau selalu dibelakangku, Jebat. Jika ke hulu aku, pasti kau tidak akan ke hilir. Apabila ke laut pula aku, tidaklah kau tinggal di darat. Alangkah bertuahnya aku seperti namaku itu kerana punya saudara sepertimu. Kau sahabat sejati, Jebat! Tidak ada dua, tiganya kasih kau kepada aku. Aku sentiasa merasa aman dengan kehadiran kau di sisiku setiap masa. Kau adalah kekuatan aku, Jebat! Asas keyakinan langkah yang aku aturkan ke hadapan.
            Jebat, sahabatku... kalau kau masih teringat, saat aku senyap-senyap berlalu ke Pahang demi mencari dan meletakkan Tun Teja di atas petaratna di payung mahkota keagungan kerajaan Melaka. Duduk bertakhta di samping Sultan kita yang berdaulat kerana demikianlah hasrat baginda.
Hanya pada kau, Kasturi, Lekir dan Lekiu sahaja kukhabarkan tentang pemergianku. Bukan apa, Jebat... Takutlah kiranya aku tidak berjaya membawa pulang Tun Teja, puteri bendahara Pahang yang indah parasnya itu, hampa dan walanglah pula hati baginda. Maka dengan itu, aku pergi secara rahsia. Bukan kau tidak tahu, Tun Teja yang diingini baginda itu telah pun bertunang dengan Megat Panji Alam dari Terengganu. Bukan mudah urusanku di Pahang.
Jangan salah tafsir ulahku, Jebat. Tiadalah aku sengaja mempermainkan perasaan halus Tun Teja padaku ketika itu. Taatku hanya pada Baginda Sultan. Hanya itu caranya untuk membawa Tun Teja ke petaratna Melaka. Lebih dari itu, hatiku hanya pada Melur. Tidak ada duanya kasihku pada gadis itu.
            Sayangnya sahabatku, Jebat! Tika aku bertamu di Pahang itulah, Melur tiba di Melaka. Dia datang demi memenuhi janjinya. Dia datang demi panggilan cintanya. Dia datang demi mencari arjunanya, Jebat! Dia merentasi hutan Gunung Ledang hingga ketemu jalan ke Melaka untuk aku! Aku, Sang Kesuma Dewa hatinya... dia memanggil aku untuk mengubati rindunya. Malang seribu kali malang... jarak antara Melaka dan Pahang menjadi hijab untuk aku mendengar panggilannya.
Lebih malang, Melurku jatuh ke tangan yang salah. Melur dijadikan senjata untuk menyakitiku... Aku sakit, Jebat. Aku terluka yang benar-benar, sahabatku... Aku tahu kau telah berusaha untuk menarik Melur dari genggaman manusia durjana itu, tetapi kau tidak mampu. Kau gagal kerana kau tidak benar-benar pasti adakah benar Melur yang telah jatuh ke dalam sangkar perangkap itu. Kau sahabatku yang sejati! Aku tahu itu...

            Jebat, kau memang berdarah panas. Jiwamu selalu sahaja membara dan membakar segalanya. Hingga aku, kau murkai benar-benar kerana aku tidak mahu meminta Melur pulang ke dalam dakapanku. Kata kau, jika Melur itu kesayanganmu, pasti kau tanpa bertangguh akan segera mengadap baginda demi meminta hakmu itu. Tapi kau sendiri maklum, Jebat. Aku bukan kau dan kau bukan aku! Tanganku terikat dan mulutku terkunci dengan ketaatan aku kepada Baginda Sultan. Aku junjung daulatnya di atas batu jemalaku ini setiap detik. Manakan bisa aku meminta Melur yang sudah menjadi perhiasan istana itu!
            Melur itu gadis yang lurus. Aku tahu yang dia telah dijanjikan jaminan untuk bersamaku. Aku juga tahu yang aku dikatakan akan menjemputnya dari istana seusai aku pulang ke Melaka. Alangkah sedih hatinya kiranya dia tahu yang dia hanya diberikan janji-janji yang palsu. Tambah melukakan seandainya dia tahu yang dia telah dijadikan sebagai alat untuk melukai, menyakiti dan menjatuhkan aku semata-mata. Patih Karma Wijaya! Manusia yang dipenuhi rasa iri itu memang kejam! Cukup jika dia menyakiti aku saja, tapi malangnya Melur turut menjadi mangsa.
            Aku sama sekali buntu. Aku benar-benar celaru, Jebat. Kau mendesakku untuk mendapatkan Melur kembali. Tapi aku tidak tahu bagaimana caranya, Jebat. Taat setiaku pada Sultan Melaka terlalu tebal sehingga berjaya membatasi segala keinginanku termasuklah Melur. Kalau baginda sudah menjadi tuan kepada Melur, aku dengan rela melepaskannya kerana aku hanya seorang hamba. Melur sanggup kulupakan kiranya itu yang dikehendaki baginda. Aku rela walaupun dalamnya, aku parah terluka.

bersambung...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...