Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday, 28 October 2012

Jebat, Saat Darahmu Membasahi Taming Sari #2

Penulis: Moon Rahaza

Episod 1

Namun, demi memuaskan hatimu dan hatiku sendiri, aku ketemui juga Melur secara rahsia. Dengan bantuan si dayang yang bermuka dua itu, aku menjengah kamar Melur. Bukan untuk berbuat apa-apa, Jebat. Demi Tuhan! Aku cuma meminta wajah kesayanganku itu melupakan aku. Parah hatinya. Parah juga hatiku! Dia malah mengerti dan menyuruh aku melupakannya juga... betapa sakitnya!
            Tanpaku duga, aku tersalah mengatur langkah dalam percaturan kali ini. Untuk pertama kalinya, laksamana terbilang bumi Melaka ini termasuk dalam jerangkap samar yang dipasang manusia durjana si Pateh Karma Wijaya yang lancang menaburkan fitnah. Sembahnya pada Sultan...
            “Hang Tuah kesayangan Tuanku itu telah berbuat cemar di istana Tuanku!”
            Begitu fitnahnya pada aku. Kau tahu, Jebat? Aku sama sekali tidak menyalahkan Duli Tuanku bulat-bulat. Matanya sendiri yang menyaksikan aku beredar keluar dari kamarnya Melur. Siapa yang tidak akan percaya jika mata sendiri yang menjadi saksi!
Aku dijatuhi hukuman, Jebat... tanpa sepatah bicara. Tanpa peluang untuk aku membela diri. Bendahara telah dititahkan untuk membuang si penderhaka ini dari alam hidup dan mengirimkan aku ke alam kematian. Aku tak gentar menghadapi mati, Jebat! Tak gentar aku! Akan tetapi aku sakit kerana matiku bukan sebagai hamba yang gugur demi mempertahankan Sultannya, sebaliknya aku telah dibuang sebagai penderhaka! PENDERHAKA! Kau tahu betapa deritanya aku menggalas beban perkataan itu? Aku bukan penderhaka, Jebat! Aku bukan penderhaka... bukan! Aku menjadi mangsa fitnah. Aku bukan penderhaka, aku Hang Tuah yang tak mungkin akan pernah menderhaka kepada Sultannya! Kau tahu itu, sahabatku.... Kau tahu itu. Kerana apa yang kau tahu itulah, maka kau...
            Hang Jebat...! Pendekar Melaka yang berani lagi satria. Apa yang telah kau lakukan, sahabatku yang paling utama? Bumi Melaka yang bersusah-payah aku pertahankan kedaulatannya ini dengan sekelip mata kau basahi dengan darah! Kau cemari dengan amarah. Ya, aku tahu raja yang adil raja kau sembah. Aku juga tahu yang raja zalim, raja kau sanggah. Tapi demi aku, Jebat. Demi aku... mengapa tidak kau berpaling dari api dendammu yang menyala itu?
            Aku tidak pernah menduga, Jebat. Kau benar-benar sanggup mengayuh perahu yang berlayar menentang arus. Adat Melayu yang mesti memuliakan daulat seorang raja demikian kerana kita adalah hamba yang bertelut dibawah payung kebesarannya, tanpaku sangka telah kau mungkiri. Duli Tuanku seharusnya kau junjung, Jebat. Kau telah dianugerahkan kurnia daripada baginda untuk menggantikan tempat dudukku. Aku suka kalau kau yang mengganti aku. Kalau mati sekalipun, aku pasti tenang di alam pengabadian kiranya Taming Sari yang kutinggalkan bertukar ke tanganmu, sahabatku.
Alangkah walangnya hatiku apabila kau berpaling dari kesetiaan seorang hamba kepada Sultannya, Jebat. Sumpahmu membela aku itu telah menumpahkan darah rakyat yang tidak bersalah. Amukanmu itu terlalu bisa, Jebat! Dendammu yang membara hingga menjadi julang api yang paling tinggi hingga tidak dapat dipadamkan lagi oleh sesiapa. Kemarahanmu membakar singgahsana baginda, membakar taat setiaku juga. Kau terlalu ampuh! Perihal Taming Sari yang berada ditanganmu itu menjadikan kau pahlawan perkasa yang tidak dapat dijatuhkan. Datanglah walau Kasturi, Lekir ataupun Lekiu, kau tetap gagah tanpa dapat ditewaskan.

Pintar kau, Jebat! Kau menunggu sehingga Taming Sari berada di dalam genggamanmu terlebih dahulu dan kemudian barulah kau mengisytiharkan amukan dendammu terhadap kematianku. Kau memang sahabatku yang paling pintar dan cekap akalnya tetapi paling gagal menimbang baik buruk dan letak duduk perkara sebelum kau mencabar baginda. Kau gagal mengawal rasa.
            Aku tidak mati, Jebat! Si Bendahara yang mulia dan bijaksana itu tidak mahu mengirim aku ke alam baka, sebaliknya telah menyembunyikan aku di dusun kepunyaannya di hulu Melaka. Lakunya kerana dia tahu aku tidak berdosa. Padanya baginda terburu-buru menjatuhkan hukum terhadapku kerana dibutakan oleh fitnah si durjana itu.
Kau juga sahabatku, aku tahu kau setia membelaku. Pada kau, aku bukan penderhaka. Lalu dengan itu kau lantang menjadi penderhaka demi membalas setiap titis darahku yang kau sangkakan telah tumpah semasa bendahara menghukumku. Kau tanpa berfikir dua kali, enteng sahaja mempertaruhkan nyawamu demi membela nyawaku. Aduh Jebat, darahmu memang panas...!
            Aku kembali, Jebat! Aku, abangmu Tuah telah kembali. Aku kembali kerana mendengarkan seruan seisi Melaka yang bergema melaungkan kata, “HANG JEBAT MENDERHAKA!” Seruan itu telah membangkitkan aku dari alam pengabadianku di Hulu Melaka. Kembalinya aku untuk menjunjung titah... aku telah dititahkan baginda Sultan untuk menghabiskan riwayatmu, adikku! Walaupun titah itu seperti halilintar yang membelah pancainderaku namun aku tetap menjunjungnya kerana taat setiaku pada baginda tidak pernah ada musim surutnya. Kau seharusnya faham, Jebat. Aku seorang hamba yang taat. Kau telah menderhaka, Jebat... kau telah menderhaka!
            Aku tahu kau sakit menyaksikan tingkah aku. Aku faham kau perit melihat ulahku yang tanpa banyak soal sanggup menjunjung titah orang yang telah menghukumku tanpa usul periksa dan sanggup pula menghapuskan orang yang telah membela kematianku. Kau harus mengerti, Jebat. Aku seorang hamba. Hingga ke akhirnya, aku tetap seorang hamba. Kau aneh melihat taat setiaku menjunjung duli yang menurutmu terlalu berlebih-lebihan. Mungkin benar katamu. Taat setiaku memang berlebih-lebihan. Tetapi bukankah itu wajar? Tuanku Sultan Melaka itu adalah tuan dan aku adalah hambanya. Maka, ketaatan aku padanya tidak salah jika berlebih-lebihan sekalipun.
            Kau dan aku, kita sama-sama tidak pernah menjangkakan bahawa persahabatan dan persaudaraan yang erat mengikat kita ini akhirnya terpaksa disudahkan dengan pertikaman begini. Jiwaku pedih menahan pancaran matamu saat kita bertikam. Walau kuat hatiku mengatakan kau penderhaka dan sewajarnya nyawamu kuhabisi, tetapi aku tetap kasih padamu, Jebat. Kau sahabatku yang paling utama... aku benar-benar walang kerana dititahkan untuk menghapuskan kau.
            Adakalanya aku dibuai perasaan. Kenangan membesar dan mengharungi hidup bersamamu menerjah ke ruang fikiran. Aku sama sekali tidak mahu berkelahi denganmu tetapi apakan daya, kau telah salah mengatur langkah, Jebat!
Perkara yang paling menggetarkan sukmaku, kau langsung tidak gentar. Kau tidak goyah dengan kemunculan aku untuk menghabiskan riwayatmu. Jauh sekali untuk merasa kesal dengan penderhakaan kau itu. Padamu, nyawa yang telah kau pertaruhkan demi membela nyawaku itu pendirian yang kau lakukan atas nama persaudaraan dan kebenaran. Kau penjunjung keadilan...
            “Aku tidak bersalah, bang Tuah! Jauh sekali merasa kesal. Aku telah menentang kezaliman dengan darahku sendiri. Darahku ini telah membasuh Taming Sari. Aku berdiri teguh atas keyakinanku untuk membela keadilan. Darahku yang membasahi Taming Sari, keris sahabatku yang utama itu sebagai bukti bahawa si Jebat ini penderhaka! Penderhaka yang membela saudaranya dari kekejaman...”
            Saat Taming Sari aku tusukkan pada tubuhmu, Jebat sahabatku, ketahuilah bahawa aku juga menusukkan keris keramat itu ke jantungku. Saat bisa Taming Sari menjalar dan menyentak tubuhmu, bisa keris itu juga menghancurkan seluruh ruang perasaanku. Aku terlalu derita membunuh kau, Jebat. Aku tahu kesucian hatimu membela kematianku. Aku tahu kau tidak bersalah sesungguhnya. Kau menderhaka kerana aku! Aku tahu itu. Tetapi aku terikat dengan kesetiaanku.... Betapa dalamnya kasihku untukmu adikku... dan nyawamu kuhabisi dengan tanganku sendiri.
            Jebat, saat darahmu membasahi Taming Sari, darahku juga telah mengalir bersamanya...

Tamat

2 comments

Rasa lebih segar dari kisah hang jebat yang terdahulu. Dua perenggan terakhir, part dialog Hang Jebat yang paling aku suka..
Hebat bro.. Teruskan bekarya..
~Raimi | Blog at Nuffnangメ.

Saudara Raimi,
Terima kaseh atas sokongan!
Terharu~sob..sob... ^_^

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...