Cerita ini tentang seorang budak lelaki bernama Jamal. Berkulit hitam manis, berambut ikal, bertubuh kurus dan mempunyai mata bundar berona coklat. Dia tinggal di sebuah perkampungan yang penuh dengan masalah yang boleh menyebabkan dia terjebak dengan kancah pembunuhan diri sendiri. Dari zaman dia pertama kali melihat matahari lagi hinggalah dia kini menjaga adiknya, Jamilah yang berusia dua tahun. Rokok, arak, perjudian, dadah malah seks bebas mahupun songsang juga seperti perkara biasa yang dia nampak dihadapan matanya. Setiap pagi apabila dia celik mata, dia sentiasa berharap agar dapat keluar dari perkampungan jahilliah ini.
~|~|~|~|~
Rumah papan milik datuk Jamal kini kian uzur. Ibunya, Sazila pula sudah berminggu tidak menunjukkan muka di rumah. Mungkin kehidupan ibunya lebih mewah bersama Datuk Mazlan yang baru diketemui di kelab malam dua minggu yang lalu. Manakala, ayahnya, Sulaiman pula sedang bermadu asmara bersama perempuan yang baru dilihatnya di kamar ibu. Kini, tinggallah Jamal bersama adiknya, Jamilah yang masih lagi kecil sedang menangis merengek kelaparan dari pagi tadi.
Jamal mendukung adiknya ke dapur dan meletakkan di atas lantai kayu tanpa alas tikar. Tanganya lincah membuka balang-balang di atas meja dapur untuk mencari sisa makanan yang tertinggal. Sudah dua hari dia dan Jamilah tidak mengisi perut. Hendak meminta dengan ayahnya, perut Jamal menjadi kecut. Sejak kejadian dia meminta wang dari ayahnya tahun lepas, badannya dilibas dengan tali pinggang sehinggakan hampir seminggu dia tidak terdaya untuk bangun. Dia menjadi serik, dan kini sanggup menjadi seorang yang panjang tangan dari dipukul teruk oleh ayahnya sendiri.
Jamilah masih menangis, botol susu di sinki segera dicapai oleh Jamal. Kepala paip diputar, air sejuk mula memenuhi botol susu sehingga garisan angka 8. Jamilah merenung Jamal dengan tersedu-sedu. Tangannya dihulur meminta botol susunya, Jamal hanya mampu tersenyum nipis. Segera dihulurkan botol susu ke tangan Jamilah.
“Kau tunggu sini. Aku mahu keluar cari makanan. Kau pergi masuk dalam bilik, kunci pintu. Kalau ayah balik. Kau diam-diam, jangan menangis. Faham?!” Jamal merenung dalam mata Jamilah. Mata bundar milik Jamilah berkedip perlahan seolah cuba memahami setiap butiran arahan Jamil.
~|~|~|~|~
Matahari tegak berdiri di antara kepulan awan, baju biru lusuh milik Jamal lecun kerana keringat. Kaki kecilnya laju melangkah menuju ke kedai makan Mak Lang yang terletak selang 5 buah rumahnya. Kedai makan Mak Lang yang terletak betul-betul bersebelahan dengan surau Kampung Kolong. Botol-botol kuning memenuhi meja-meja kayu di kedai makan. Selebihnya disimpan di dalam surau, tempat penyimpanan stok barang Mak Lang. Di kedai makan pula, asap rokok hampir memenuhi ruangan tempat makan. Di sudut kanannya, lauk-pauk di dalam bekas plastik tersusun di atas meja beralaskan tikar berwarna hijau muda.
Jamal menyusup masuk di belakang dapur, matanya liar melihat di luar kedai mak lang takut-takut jikalau mak lang akan masuk ke dapur. Sementara itu tangannya lincah mengisi nasi serta beberapa ekor ikan goreng untuk mengisi perut dia dan adiknya. Namun hari ini bukanlah seperti hari-hari yang lalu, hari ini adalah hari malang buat Jamal. Semasa tangan Jamal mengambil ikan goreng di pinggan kaca jernih di atas para. Dia tidak sedar kakinya terpijak perangkap tikus yang diletakkan di bawah para. Selama ini, tidak pula Jamal perasaan tentang keberadaan perangkap tersebut atau mungkin mak lang mula sedar yang lauk-lauknya kena curi lalu memasang perangkap iaitu untuk menangkap ‘tikus besar’ iaitu Jamal.
Tap!
“Aaahhhh!!” Satu intonasi kuat yang terkeluar dari kotak suara Jamal.
Jamal kaget, tangan serta kakinya kaku, ada cecair jernih mula bertakung di tubir matanya. Dia cuba menahan sakit dengan mengetap bibirnya. Bunyi derapan kaki Mak Lang memasuki ruangan dapur menambahkan lagi kelajuan momentum degupan jantung Jamal. Otaknya berhenti berkerja, dan dia seolah-olah menunggu kedatangan Mak Lang dan menerima segala hukuman.
“Ohh. Patut pun lauk aku selalu berkurangan, rupanya selama ini kerja kau ya. Sini kau!” Telinga Jamal dipulas dan ditarik ke atas sehingga kaki Jamal turut sama terjongket. Mak Lang yang berbaju ketat menampak lemak-lemak yang seakan terseksa dibalut dengan paksa. Seluar ketat berona coklat muda menampakkan bentuk pahanya.
Bersambung tengahari nanti - 1.00 p.m.