“Kau jangan mimpi nak jadi menantu aku. Perempuan kotor macam kau tak layak masuk dalam keluarga ni.” Tengking Datin Maria.
Datin Maria memang tidak pernah merestui pernikahan Sumayyah dengan anak lelakinya Muhammad Qeis, kerana dia ingin berbesan dengan Puan Sri Sharifah.
Sumayyah yang sedang membersihkan ruang tamu hanya mendiamkan diri tanpa sepatah kata. Bantal-bantal yang bersepah diatur semula di sofa kulit bernilai puluhan ribu. Kadang kala hatinya terguris juga dengan cacian yang dilemparkan oleh Datin Maria. Dia bukan anak luar nikah seperti yang diperkatakan oleh ibu mertuanya itu.
Ibu dan ayah Sumayyah telah meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya. Ketika itu, Sumayyah baru berusia tiga tahun. Namun, kuasa Allah s.w.t Sumayyah terselamat dari kemalangan maut yang membabitkan lima keluarga dalam sekelip mata. Selepas kejadian itu, dia dibesarkan di rumah anak-anak yatim.
Kemarahan Datin Maria tidak hanya terhenti di situ. Perhiasan kaca di cabinet kecil dicapai, lalu dilemparkan ke anak tangga.
‘Prrannggg’. Bunyi kaca pecah memeranjatkan Sumayyah yang sedang mengelap tingkap di tingkat atas. Pantas dia berlari kearah bunyi itu.
Kelihatan Datin Maria sedang memandangnya seperti singa betina kelaparan. Wajah wanita itu dilihat sekilas, sebelum berlalu mengambil bakul sampah.
Sumayyah mengutip satu persatu serpihan kaca yang bertaburan di anak-anak tangga. Ditoleh kearah atas, kelibat Datin Maria tidak kelihatan.
‘Dah keluar agaknya,’ desis hati Sumayyah.
Namun sangkaan Sumayyah meleset. Tanpa dia sedari, Datin Maria yang datang dari arah belakang terus menolaknya.
Tubuh Summayyah berguling-guling. Kepalanya terhantuk pada bucu anak tangga yang terakhir, sebelum terlentang di lantai.
Mak Jah sedang memasak terperanjat dengan bunyi kuat dari arah ruang tamu, pantas dia berlari melihat apa yang berlaku. Tiba di ruang tamu, dia terpandang sekujur tubuh yang lemah di atas lantai. Ada darah yang mengalir dari celah-celah kaki, hidung dan dahi isteri Muhammad Qeis.
“Ya Allah, Sumayyah.” Teriak Mak Jah lalu mendapatkan tubuh itu.
Datin Maria masih mematung di tingkat atas.
“Kenapa ni, nak.” Tanya Mak Jah sambil mengelap darah yang mengalir dari hidung mancung Sumayyah.
“Qeis…. Qeis….” Teriak Mak Jah memanggil Qeis yang baru pulang dari jogging bersama papanya.
Qeis yang baru keluar dari perut kereta meluru mendapatkan Mak Jah, sambil diekori oleh Datuk Jaafar. Langkah kakinya terhenti apabila melihat isteri kesayangannya telah berlumuran darah. Seluruh tubuhnya mengigil, tangannya digenggam mengumpul kekuatan.
Tubuh Sumayyah beralih dari pangkuan Mak Jah ke pangkuan suami yang amat dia cintai. Kesakitan yang menjalar di seluruh tubuhnya sedikit terubat melihat wajah redup milik Qeis.
Qeis menyeka air matanya yang jatuh ke pipi gebu Sumayyah. Berkali-kali dia mencium dahi wanita itu yang basah dengan darah.
“Anak kita, bang.” Ujar Sumayyah terketar-ketar, nafasnya mula turun naik tidak menentu.
Pantas Qeis mengalirkan pandangannya kearah kaki Sumayyah.
“Astaghfirullahalazim.”
“Sabar, Qeis. Sekejap lagi ambulans sampai.” Ujar Datuk Jaafar sambil menggosok belakang Qeis memberi sedikit kekuatan.
Tangan lemah Sumayyah digenggam, terasa begitu sejuk tangan isterinya.
“Sayang mesti kuat, sayang.” Ujar Qeis dengan suara tersekat-sekat menahan sebak.
Namun pandangan Sumayyah semakin kabur, nafasnya juga semakin tidak menentu. Berkali-kali Mak Jah dan Qeis mengajar Sumayyah mengucap, sebelum wanita itu layu dalam pelukkan suaminya.
Qeis memeluk erat tubuh isterinya yang tidak lagi bernyawa. Air matanya mengalir semakin deras. Jiwanya berasa begitu perit kala ini.
“Ya Allah, kenapa jadi begini…. Kenapa Engkau tak ambil aku sekali, Ya Allah” Raung Qeis sekuat hati.
“Sabar, nak. Allah lebih sayangkan Sumayyah.” Pujuk Datuk Jaafar sambil memeluk tubuh anaknya dari sisi.
“Qeis pun sayangkan Sumayyah, pa. Qeis sayang Sumayyah.” Ujar Qeis dalam esakkan.
“ Sayang, kenapa buat abang macam ni.”
“ Bangunlah sayang. Abang merayu, bagunlah. Jangan tinggalkan abang.”
Tubuh layu wanita itu digoncang semahunya. Segera dihalang oleh Datuk Jaafar.
“Maafkan mama, Qeis. Mama tak sengaja.”Rayu Datin Maria lalu melutut memeluk anaknya.
Rayuan Datin Maria tidak diperdulikan.
Lantas, Datin Maria beralih memeluk tubuh Sumayyah yang berada dipangkuan Qeis.
“Sumayyah maafkan mama, nak. Mama yang salah…. Mama yang berdosa…. Ya Allah, apa yang aku dah buat ni. Ampunkanlah aku, Ya Allah.” Tangis Datin Maria kekesalan.
*********************************************************************************
Sebulan selepas pemergian Sumayyah, Datin Maria telah dimasukkan ke wad sakit mental. Rasa bersalah yang menghantuinya membuatkan dia hilang kewarasan sehingga dia pernah untuk mengelar dirinya sendiri.
Keadaan Qeis juga semakin tidak menentu, dia sering mengurung dirinya di dalam kamar. Kadang kala, terdengar dia menangis teresak-esak memanggil nama isterinya. Namun, kadang-kadang terdengar juga dia ketawa gembira seperti bergurau dengan seseorang.
1 comment
pandainya mengarang !!!
jelessss :))