Episod #1 | Episod #2 | Episod #3
Balqis sedikit terkejut melihat Yusuf yang sedang duduk di beranda merenung jauh ke arah laut. Seawal jam tujuh pagi melihat Yusuf berada di situ memang janggal. Anak kesayangannya itu dihampiri. Tangannya lembut menyapa bahu Yusuf yang hilang dalam renungannya itu.
Balqis sedikit terkejut melihat Yusuf yang sedang duduk di beranda merenung jauh ke arah laut. Seawal jam tujuh pagi melihat Yusuf berada di situ memang janggal. Anak kesayangannya itu dihampiri. Tangannya lembut menyapa bahu Yusuf yang hilang dalam renungannya itu.
“Ibu dah bangun?” Ada nada terkejut dalam soalan anak muda itu.
“Apa yang Yusuf buat di sini awal pagi macam ni?”
Yusuf pantas bangun lalu mendudukkan Balqis di atas kerusi dan dia duduk di sebelah ibunya. Balqis terkejut dengan lakunya Yusuf.
“Yusuf, kenapa ni?”
“Ibu tahu tak? Semalam Yusuf bertemu dengan seorang pemuda, pemain biola...”
Balqis tersentak. Wajah Yusuf direnungnya tajam. “Pemain biola?”
“Ya, bu! Kalau ibu nak tahu, semenjak kita berpindah ke sini, setiap malam Yusuf mendengar bunyi biola berlagu. Dan semalam, Yusuf menemui pemain biola itu, bu!”
“Apa yang Yusuf cakap ni?” Balqis jelas merasa bingung campur kurang senang.
Melihatkan reaksi ibunya, Yusuf pantas menceritakan segala-galanya dari awal hinggalah ke akhirnya. Kisah yang diceritakan Arjuna kepadanya juga turut diselitkan. Usai sahaja Yusuf bercerita, Balqis gagal menahan perasaannya lalu menangis dengan teresak-esak. Yusuf tergamam melihat ulah ibunya.
“Kenapa, bu? Kenapa ibu menangis?”
“Dia telah kembali, Yusuf! Dia kembali kerana ibu telah kembali... ibu berdosa, Yusuf! Berdosa kepadanya... dia kembali untuk menuntut janjinya...”
Yusuf terus tergamam mendengar kata-kata ibunya yang berbaur dalam esak tangisnya yang semakin galak. “Apa yang ibu katakan ni? Janji apa, bu? Siapa yang telah kembali...?”
“Janji yang telah ibu mungkiri! Dia, Arjuna Dewa telah kembali...”
“Siapa sebenarnya Arjuna Dewa itu, bu? Janji apa yang telah ibu mungkiri?”
“Arjuna Dewa itu ayahmu, Yusuf! Ayahmu, Sulaiman... ibulah Tengku Balqis yang dinikahi oleh pemain biola itu. Ibu telah memungkiri janji terhadap ayahmu...”
Yusuf terdiam terus. Jantungnya bagai hendak gugur mendengarkan bicara ibunya yang seperti dongengan itu.
“Apa semua ni, bu...?” Lemah sekali persoalan yang dilontarkan Yusuf.
“Ibu tak mahu menceritakan semua ini kepada Yusuf kerana hati ibu cukup luka untuk mengenangnya, nak... tetapi mungkin kerana janji yang telah ibu mungkiri ini bagaikan menyeru ibu supaya membawa kau pulang ke sini. Ayahmu menemui kau sendiri untuk menceritakan padamu segalanya... sebelum ayahmu pergi, dia telah meminta ibu berjanji bahawa ibu tidak akan sekali-kali meninggalkan rumah ini. Dia juga mahukan supaya zuriatnya mewarisi biola kesayangannya itu... tetapi ibu mungkir. Ibu mungkir kerana terlalu terluka mengenangnya, Yusuf!”
Yusuf ghurub dalam pilu. Dadanya terasa berat dengan sebak yang mencengkam. Dalam pada itu, jemari Balqis diraihnya lembut. Yusuf bangun dan memimpin ibunya ke dalam rumah. Balqis tanpa sepatah kata hanya mengikuti langkah Yusuf ke lonteng. Di kamar berdebu itu, Yusuf menemui biola kesayangan Sulaiman alias Arjuna Dewa, ayahnya yang terukir indah dengan aksara-aksara “AD – SB” disudut kanannya bersama notasi-notasi yang sudah kuning dan lusuh akibat dimamah usia. “AD – SB” barangkali singkatan untuk Arjuna Dewa – Sulaiman Balqis. Tebaknya sendiri.
“Lagu terakhir yang diciptanya khusus buat ibu, melodinya terlalu indah dan sayu. Setiap hari dia mengalunkan lagu itu sebelum dia berpulang ke rahmatullah sehinggakan ianya bagai masih terngiang-ngiang di telinga ibu walaupun sudah hampir 20 tahun ibu tidak lagi mendengarnya. Belajarlah, nak... tunaikanlah keinginan ayahmu...”
* * *
Balqis terus mendengar alunan biola yang dilagukan Yusuf di atas pentas itu dengan rasa yang berbaur antara kerinduan yang tidak bertepi dan kesayuan yang semakin hebat menggayuti pangkal hati. Kenangan masa lalu yang menerpa ingatannya sebentar tadi sudah pun berlalu. Balqis lega. Janjinya pada Arjuna Dewanya telah pun ditunaikan selepas hampir 20 tahun lamanya dan akhirnya biola itu berlagu...