Hari ini aku pulang lambat lagi dari kerja. Jam pun sudah menunjukkan hampir jam 11 malam. Orang sudah tidak ramai lagi yang berada di stesen LRT Masjid Jamek ini. Aku menunggu LRT untuk tiba. Tak sabar rasanya untuk pulang ke rumah di Taman Cempaka. Sejuk. Kipas yang berputar laju itu memang bertiup ke arah aku. Tiba-tiba aku ternampak kelibat seorang gadis genit. Comel. Berskirt hitam dan berbaju bunga-bunga. Di tanganya ada sebatang lolipop perisa strawberry dan dia menggalas kemas bag merah yang berisi sebuah xylophone warna-warni.
LRT pun sampai. Lambat 5 minit dari masa yang telah dipaparkan di skrin waktu ketibaan. Aku lihat dia masuk ke dalam LRT juga. Aku masuk dengan pantas sebelum pintu LRT tertutup. Aku hampir tertinggal kerana leka melihat gadis itu. Nama dia Luna.Kami berada di dalam gerabak yang sama. Aku rasa nama dia Luna. Mungkin kerana aku suka nama Luna dan dia seperti gadis yang bayangkan dalam mimpi aku setiap malam.
Dia duduk di sudut hujung LRT. Tiada sesiapa pun di sana. Dia tersenyum menikmati lolipop perisa strawberry nya itu. Dia membawa keluar xylophone warna-warni nya dan memainkan lagu kegemarannya. Aku rasa itu lagu kegemarannya kerana dia begitu asyik memainkan lagu itu. Aku juga terikut-ikut menggoyangkan badan mengikut irama lagu itu. Aku semakin mendekati Luna yang sedang gembira di sudut hujung gerabak ini.
Tiba-tiba aku terasa seperti kaku. Tubuh aku membeku. Aku lihat dia semakin rancak memainkan lagu itu. Semakin laju. Semakin laju hingga lolipop di mulutnya di campak jauh ke arah lain. Aku dapat rasakan kaki aku sudah membeku hingga ke paras lutut. Luna melihat aku sambil tersenyum. Selama aku hidup, itu lah satu senyuman yang paling manis dalam masa yang sama paling jahat pernah aku lihat.
Dada aku sudah pun membeku. Luna masih bermain xylophone warna-warninya. Dia ketawa melihat aku yang semakin membeku. Aku berharap sangat dia berhenti bermain. Tiba-tiba pemandu LRT membuat pengumuman. "Stesen berikutnya, Pandan Indah. Pandan Indah." Luna berhenti bermain dan mula mengemas barang-barangnya. Aku dapat rasakan badan aku mulai panas. Sebelum Luna keluar, dia melihat aku dan melemparkan satu senyuman yang manis dan satu kucupan terbang pada aku. Aku membalas senyumannya walau pun tubuh aku masih sakit dan menggigil. Dia keluar dan aku melihatnya...semakin hilang....semakin hilang....ghaib.
Celaka, aku masih tidak tahu nama sebenarnya.
1 comment
Thankks for sharing this