Anda mempunyai karya nukilan sendiri? Berminat untuk dipaparkan dan menjadi penulis jemputan di Warna Kaseh? Hantarkan karya anda di warnakaseh@gmail.com. Kami akan menerima semua genre penulisan dan juga bahasa.
ZINE SULUNG WARNA KASEH SUDAH BERADA DI PASARAN. HANYA DENGAN RM8, ANDA BOLEH MEMBACA 32 CERPEN TERBAIK PENULIS WARNA KASEH DI ZINE PILIHAN! JADI APA TUNGGU LAGI? TIADA CETAKAN KE-DUA UNTUK ZINE INI. BELILAH SEMENTARA MASIH ADA STOK.

UNTUK MEMBELI ZINE PILIHAN, ANDA BOLEH MERUJUK DI BAHAGIAN ZINE.

Sunday, 15 July 2012

Ceritera Buat Hati



Assalamualaikum, segumpal darah yang mendiami diri ini.
Duhai seketul darah yang bernama hati, bagaimanakah keadaanmu sekarang? Tenangkah kamu mendiam sekujur tubuh ini? Adakah seputih dan sejernih ketika jasad ini dihadirkan ke dunia fana 19 tahun lalu?Adakah titik-titik hitam terlalu mewarnai santak hilang putih nan suci. Warna apakah kamu sekarang, wahai hatiku?
Menurut akalku, usia kecil, tidak pernah aku rasa resah gelisah. Kegembiraan melakar segenap kehidupanku.Aku bahagia walaupun aku tidak mengerti segala perlakuan manusia di sekelilingku. Aku sentiasa tersenyum walaupun dicubit, digomol, digigit.  Aku relakan semuanya. Jasad penuh keriaan. Tiada rasa melainkan kegembiraan dan senyum lebar.
Menginjak remaja, mengapa tiada lagi perasaan seperti itu? Mengapakah hanya resah yang aku rasa? Mengapakah dada ini tidak setenang masa jagungku. Seakan-akan ketenangan dahulu tercabut daripada kehidupanku.
Duhai hati,
Aku teringat yang sebenarnya aku banyak mengabaikan kamu selama ini. Aku tidak menyiramimu dengan bacaan al-Quran dan sentuhan ilmu. Bonda pernah menasihatiku, banyakkan berzikir nescaya hati akan menjadi tenang. Zikir bukan hanya di tikar solat, tetapi semasa berbaring, berdiri, sekalipun mahu tidur.Bahasa zikir bukan hanya menggunakan lisan. Ingatan baik itu zikir. Mengulang perbuatan baik itu zikir. Melihat alam dan mengucap syukur itu zikir.
Mengingat apa yang aku lakukan dan menghisab diri sendiri, aku beruntung berbanding mereka yang kekurangan harta di dunia. Bagaimanakah mereka lebih bahagia berbanding aku. Wahai hati, aku sedar kamu bergetar saat aku menuju jalan merosakkan diri sendiri. Namun, sering aku tidak pedulikan rasa getar itu.
Akibatnya, aku tenggelam dan hati jasad suka kepada keburukan. Bukan sekali  kamu memberi amaran, sering tidak aku endahkan. Hati, baiknya kamu meninggalkan tanda benci kepada jasad ini walaupun diri sering engkar.
Aku teringat pesan seorang ustaz, semakin kita senang dipandang orang dalam soal dunia, selamanya hati tidak tenang.
Benarkah begitu, duhai hati?
Aku jarang memberi kamu makan. Aku teringat kata-kata guru agamaku, jika mahu badan yang sihat dan ceria sepanjang masa, jagalah hatimu. Hati yang bersih akan terserlah dengan penampilan yang menenangkan. Orang lain akan senang bersamanya dan wajahnya akan berseri-seri serta bibir akan sentiasa menguntum senyum. Itulah tanda hati yang bersih.
Patutlah wajah aku sentiasa masam mencuka. Maafkan aku duhai hati, aku kotorimu dengan makanan syubhah. Duit faedah hasil akaun yang aku tutup di bank konvensional itu tidak aku serahkan pada baitulmal. Aku gunakan untuk diri sendiri. Maafkan aku, hati. Tentu masih ada ruang untuk aku betulkan keadaan ini.
Aku calarkan jasadmu dengan membantah cakap ibu ayah. Aku hanya mendengar jika ianya memberi untung pada aku. Jika tidak, cakap mereka aku sanggah. Betapa tidak malunya aku.
Aku bangkang keinginanmu yang mahukan ilmu agama, sebaliknya aku berikan kau hiburan melalaikan. Aku tinggalkan solat, aku abaikan ayah, aku lupa mendoakan kesejahteraan orang Islam. Maafkan aku duhai hati. Berikan aku peluang untuk menebus kesalahan ini.
Duhai hati, jarang kau bisikkan kejahatan untukku, namun aku lebih mengikut bicara nafsu lawwamah yang sering mengajak aku mengotorkanmu dengan macam-macam acara yang pada zahirnya amat mengujakan fizikal dan diri mudaku. Aku tak hiraukan bisikan yang kau cetuskan.
“Jauhkan dirimu daripada kemusnahan!”
“Jauhkan dirimu daripada kecelakaan!”
“Ingatlah wahai diri, kematian itu menjengukmu saban masa, menanti ajal yang telah tercatat di loh mahfuz.”
***
Hari-hari semalam telah aku cacatkan engkau dengan keingkaran pada ayah. Hilang hormat pada guru. Hatta langsung tidak mengerti perasaan seorang sahabat. Aku mengerti akan pergolakan yang melanda ketika itu, namun kata hati tetap nombor satu. Aku tidak peduli akan segala nasihat iman yang hadir saat diri mahu melakukan pernderhakaan. Aku langgar bahu ayah pada suatu hari dengan sengaja. Ayah tersungkur. Ayah, usianya yang lanjut tinggal dua dekad mencapai satu abad terkaku. Anak yang diasuh sekian banayk ilmu agama sanggup sekasar dan bertinak sejauh ini? Akal hitam menguasai. Hati itu sudah bertukar warna.
Hari yang berlalu aku biarkan berlalu.
***
Allah memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Sendirian di rantau, jauh daripada ibu ayah, menyedarkan aku akan hakikat sesuatu. Jika aku tidak mengubah diri sendiri, selamanya aku akan di alam kejahilan. Allah berikan al-Quran sebagai panduan terlengkap untuk mereka yang mahu belajar.
 Belum terlambat untuk aku kembali ke pangkal jalan. Cuma aku perlukan kekuatan. Duhai hati, bertahanlah engkau pada jalan yang aku pilih ini. Aku hanyalah seorang insan yang masa silamnya penuh luka kerana perbuatan tangan ini sendiri.
Aku sedar amat Allah sentiasa membuka ruang untuk hambanya mengalirkan air mata taubat. Sedangkan saban malam Dia sentiasa mengabulkan permintaan mereka yang memohon pasanya dengan sepenuh hati.
Hati, akan aku selak lembar sejarah baru buatmu. Menyuci karat-karat dosa yang masih bertampuk di sini. Aku sedar masih banyak kesalahan yang perlu aku betuli, aku sedang dan akan meneruskan usaha ini. Biar semua karat kembali nampak sinarnya hingga aku mampu menyerap ilmu yang dipelajari ke dalam hati seterusnya jadi amalan.
***
Duhai hati, walaupun telah aku kotorkan dirimu dengan terlalu banyak maksiat, berikan aku peluang, duhai hati. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Penerima Taubat dan rindukan rintihan hamba-Nya. Usah kau merajuk lagi, bimbinglah aku dan nafsu yang sentiasa bersamaku agar sentiasa di jalan agamamu. Kau tahu segala yang aku lakukan meski tak siapa melihat. Kau tetapkan diri ini pada jalan kebaikan.
Aku harapkan warkah ini merupakan detik mula persahabatan kita yang lebih akrab. Berilah aku peringatan jika aku terlupa dan marahlah, pukullah aku jika aku melanggar suruhan Pencipta kita. Aku takut pada hari di mana manusia tidak mampu berkata-kata, tangan terbelenggu, diri ditenggelami peluh sendiri, kau hadir dalam keadaan teramat kelam, sehitam arang bakaran.
Maafkan salah aku duhai hati, terima kasih kerana setia menjadi sebahagian tubuh ini yang banyak melakukan salah.
Daripada : Jasadmu.

2 comments

bagoss...:)

1 penulisan yg baik

terpegun membaca kisah sebenar ini.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...