Aku bersandar lesu. Sebaik usai kemurkaan, rokok percuma itu aku jamah rakus. Lelaki bernafsu naif terus pergi meninggalkan kamar hapak ini. Tanpa sebarang pesan. Apa lagi kucup sayang. Melainkan tiga keping not RM10 beserta pengeras. Dan nafas aku lemah di ruang kamar sempit ini;
Siapa aku?
Adakah aku yang mereka panggil sundal?
Adakah aku yang mereka gelarkan jalang?
Adakah aku yang mereka katakan perempuan murahan?
Persetan!
Aku tak pernah ambil peduli.
Siapa aku?
Aku adalah aku sendiri.
Aku adalah puteri gelandangan. Aku berkhayal fantasi dengan kemahuan sendiri. Bila jiwa sepi, aku hiburkan dengan iringan muzik hap aeolia. Sambil mengibas sayap bidadari. Dan cuba terbang tinggi. Setinggi yang mungkin aku boleh pergi. Bukan setakat Menara KLCC. Tapi mungkin mencecah ke bimasakti. Agar aku boleh bermain dengan Venus. Mencelah riang di antara bintang-bintang.
Dan kupu-kupu kehidupan berterbangan mengiringi aku yang berapungan di udara. Membawa aku ke dunia yang lebih berwarna-warni. Dan menjejak aku ke aspal berbalut baldu. Menunjuk arah ke sungai madu yang berhias titi pelangi. Aku mahu menyeberang titi itu hingga ke penghujungnya. Dan mahu terus berkelana di sini. Meninggalkan sisi gelap di alam realiti. Dan rakyat jelata bumi yang lebih suka menjadi Tuhan dari menjadi hamba abdi(Nya);
Kalau aku menghuni di sisi gelap, tarik aku ke sisi terang,
Usah mengeji kerana kamu bukan Tuhan,
Tarik aku, tampar aku dan tunjukkan aku di mana cahaya Tuhan,
Bukan campak aku, tendang aku jatuh ke lubang hitam.
Aku adalah lambang kekosongan. Jiwa penuh lara. Perasaan tiada cinta. Aku mungkin kebuluran kasih kerana aku manusia delusi yang mencintai halusinasi. Aku lebih suka berkawan dengan pelangi. Dari bersekongkol dengan manusia bumi. Jika aku disuruh menikmati duniawi, aku lebih rela melemaskan diri di dalam lautan sepi. Dan biarkan aku ketawakan pada nasib sendiri.
Pecahkan hati ini. Apa lagi yang ada? Apa lagi yang tinggal? Tiada. Walau berlinang airmata. Ia tidak pernah bawa aku ke mana-mana. Tiada lagi. Tidak akan lagi. Dan sudah tiada apa-apa lagi. Apakah ada yang sudi menghulurkan tangan? Sudi membimbing ke pangkal jalan? Sudi mengajak aku menemui cahaya Tuhan?
Aku semakin lemas dibaham noda hitam,
Semakinku terkapai, semakin kuat sentuhan itu menghentam,
Di saat ini, aku membayang saat kelahiran,
Saat aku tergelincir dari rahim seorang ibu,
Saat aku menikmati nafas pertama di bumi,
Saat aku masih bertelanjang dengan dosa-dosa ini.
Aku masih mengharap cahaya itu datang. Aku mengharap agar sempat menghidu bau kemanisan syurga. Izinkan cahaya itu memancar sinar. Untuk aku pegang. Untuk aku keluar dari lubang hitam. Sedang aku tahu, tangan-tangan makhluk hitam ini akan rakus menyentap tubuhku. Dan menenggelamkan aku ke dasar neraka. Aku menunggu hukuman seterusnya.
8:45 AM.
Hotel murah.
Bilik 104.
Serpihan hablur ice baby.
Botol Thai Song kosong.
Puntung rokok kretek.
Mati.
11 comments
wow.....lain dr yg lain..
nice.
macam baca puisi...
erm.. ;)
nice story..creative la awak.
plot cerita yg tersirat...pandai penulis atur..
eh? macam pernah dengar nama faraherda razalan, tu...?
suke
lain sungguh lain
ini luar biasa
genre begini sronok dibace untuk minda ligat bekerja
ini sangat sesuatu !
-HEROICzero
Eh!? Abang Gedek?
=p
menarik,seronok.
struktur ayat yang matang tapi senang hadam di minda jiwa dan nafsu orang muda.