PEMENANG SAGUHATI PESTA CERPEN KOMPETISI AKSARA BAGI TAHUN 2012
NUR AMIRA MD ISA
TAJUK CERPEN: BOBO
HARI yang penuh dengan keindahan,aku rasai dari denyut
jantung ibu yang berdetak tenang. Aku membuka mata perlahan, walaupun gelap
namun aku rasai sinar dari mata ibu. Aku rasai nyamannya udara bumi menerusi
kulit ibu. Aku rasai betapa dekatnya aku dengan ibu.
“Bobo,Bobo sihat tak hari ini?”terdengar suara ibu bertanya. Aku ketawa kecil dengan penuh manja. Bobo? Comel betul nama ibu beri. Perlahan-lahan aku sentuh perut ibu dengan tapak kaki kecilku. Memberitahunya bahawa aku sihat dalam cara tersendiri. Aku terasa usapan ibu. Aku mengekek ketawa. Geli apabila terasa tapak tangan ibu yang bagaikan terkena pada tapak kakiku yang kemerahan. Lama aku asyik dengan usapan itu, apabila ia terhenti tiba-tiba. Kenapa ibu? tanyaku dalam hati.
“Abang baru balik?Abang pergi mana tadi?”Terdengar suara ibu bertanya lembut. Terhias senyum pada bibirnya walau tak bersinar terang.
“Diamlah!” Aku dengar tengkingan garang itu. Pasti ayah.Ya, betul memang itu ayah yang nampak sangat serabut dengan baju yang berkedut-kedut dan tak terurus, dengan muka yang lemah, jalan yang terhuyung-hayang dan bau yang tidak enak. Busuklah minyak wangi ayah? Kan ibu kan? Tak seperti minyak wangi ibu, bisikku. Ayah segera menghempas badannya ke katil dan terus lena. Senang ayah tidur. Tak seperti ibu yang sukar melelapkan mata. Dulu ada seorang yang aku tak kenali. Tetapi ibu memanggilnya Doktor Asma. Doktor Asma sangat cantik dengan suaranya yang lembut persis ibu. Doktor Asma kata ia adalah kerana tanda-tanda awal kehamilan. Apa itu, ibu? Aku tertanya-tanya. Kadang-kadang ibu selalu berlari ulang-alik ke bilik air. Dengan membongkokkan badan, ibu buang semua makanan keluar melalui mulut ke sinki. Kenapa ibu luah makanan? Tak sedap ya? Tak apa nanti bila Bobo dah besar, Bobo buatkan puding Durian, kesukaan ibu, ya.
Pagi itu aku terjaga awal. Sayup-sayup aku dengar ibu berbicara perlahan sambil menadah tangan. Ibu tengah buat apa itu? Namun aku hanya diam sambil menelinga segala ayat yang keluar dari mulut ibu. Aku mulai rasa tenang mendengar setiap kata-kata itu.
“Ya Allah ya tuhanku.Kau ampunilah segala dosa suamiku dan dosaku. Aku merayu padamu ya Allah, kau berilah keinsafan buat suamiku. Kau berilah hidayah buatnya. Kau lingkarlah hatinya walau dengan sekelumit cinta-Mu, Ya Allah. Sesungguhnya aku insan yang terlalu lemah ya Allah. Langsung tidak mampu untuk sama-sama dengan suamiku mencari redha-Mu. Apatah lagi bersama-samanya membawa mengenali islam yang baru dipeluknya. Ya Allah kau makbulkanlah doaku ini. Amin, Amin Ya rabbal al amin.”
*****
“Ma..maksud doktor? Saya..saya tak faham,” tergagap-gagap ibu bertanya.
Kenapa ibu? Kenapa wajah ibu pucat? Aku bertanya sendiri. Saat itu, aku hanya inginkan jawapan. Jawapan yang mampu membuatkkan aku berasa lega. Supaya aku tidak lagi risau dengan keadaan ibu yang nampak lemah. Ibu, Bobo sedih tengok ibu jadi macam ni.
“Sabar puan. Beginilah, sebelum saya terangkan lebih lanjut boleh puan panggil suami puan supaya ikut serta mendengar?”
Ibuku terdiam. Ibu hanya tunduk. Aku nampak ibu menitiskan air mata. Ibu sedih? Ibu sedih kerana ayah tiada bersama? Ibu jangan risau ya, Bobo kan ada. Bobo boleh temani ibu kemana sahaja ibu pergi. Ucapku sambil perlahan menyentuh perut ibu. Cuba memberi kekuatan buat ibu, sedangkan aku juga perlukan kekuatan ibu untuk terus hidup di dalam sini.
“Suami saya sibuk, doktor.” Ibu berbohong. Aku tahu itu. Semua ini salah ayah. Ayah memang kejam! Bobo benci ayah! Bobo tak suka ayah sebab ayah selalu sakitkan hati ibu. Ayah selalu berkasar dengan ibu! Ayah selalu buat ibu menangis.
“Ermm..tak mengapalah. Begini puan….” panjang lebar Doktor Asma bercerita. Mungkin cerita sedih kerana ibu menangis lagi tanpa henti sambil tangan yang mengigil-gigil mengusapku penuh kasih. Terasa ingin sahaja aku membentak memarahi doktor itu yang membuka cerita duka buat pendengaran ibu, namun melihatkan doktor itu yang seakan memujuk lembut ibu, terus aku batalkan niatku. Sekali-sekala telinga kecilku yang comel mendengar cerita doktor itu. Dia seakan menyebut tentang jangkitan Torches. Apa itu? Aku berfikir sendirian. Seterusnya aku ketawa kecil kerana doctor itu seakan mendengar soalanku dan langsung memberitahu bahawa jangkitan Torches ialah sejenis jangkitan kuman pada rahim yang boleh menyebabkan keguguran bayi dalam kandungan atau kematian bayi selepas beberapa jam dilahirkan. Apa itu, doktor? Aku semakin tidak faham. Tetapi aku tahu itu merupakan cerita buruk buat ibu, demi melihatkan wajah sugul bidadariku ini. Sekaligus menyebabkan aku bergetar hebat. Entah kenapa perasaan itu datang. Mungkin kerana sayangku buat ibu, barangkali.
******
Sejak pulang dari berjumpa Doktor Asma, ibu sentiasa menangis. Kadang-kadang lama ibu bersujud atas satu hamparan sejadah. Aku ketawa. Lucu kerana selalunya akulah yang suka berkedudukan begitu apabila mahu tidur dalam ruangan perut ibu yang luas. Kadang-kadang aku terdengar ibu mengalunkan sesuatu yang dibacanya dari bahan berbentuk buku. Ibu pernah memberitahu ayah dahulu supaya selalu membasahkan bibir dengan sagala kalimah yang tercatat di dalam buku itu yang dipanggil Al-Quran. Dan aku masih ingat betapa menikusnya ibu saat itu apabila ayah menjeling tajam dengan dengusan amarahnya. Sejak itu ibu hanya membacanya sendirian. Menghayati setiap maksud kalimah dengan hati yang dirundung sepi kasih seorang suami. Mungkin. Aku tak mengerti tapi aku faham perasaan ibu.
Malam yang hening itu juga, aku terdengar lagi ibu berbicara berkenaan jangkitan Torches kepada ayah yang baru pulang dari bekerja. Mulanya ayah buat endah tak endah sahaja dengan ibu apatah lagi dengan penatnya yang masih bersisa pada otot-otot badannya. Tetapi lama-kelamaan wajah itu berubah riak. Riak terkejut dan tidak percaya kukira. Aku lihat ibu sekali lagi menahan air matanya di hadapan ayah. Ibu, kenapa ibu ingin jadi kuat sedangkan ibu tidak begitu? Cuma seketika aku bermain persoalan itu, apabila terasa aku dihimpit sesuatu. Aku lihat ayah memeluk ibu. Erat sambil menenangkan ibu. Aku terkedu saat tangan kasar ayah mengusapku buat pertama kalinya. Dalam tak sedar aku pun menangis seperti ibu. Menangis kerana aku begitu rindukan belaian ayah walau kadang-kala aku benci ayah kerana membuat hati ibu sentiasa di balut lara. Dan detik itu juga baru ku sedar bahawa ayah amat menyayangi aku dan ibu. Cuma dia rasa terbeban dengan dirinya sendiri apabila tiba-tiba sahaja rutin yang amat digemarinya terbatas dek kerana gelaran yang dia pegang iaitu sebagai bakal ayah, sebagai suami dan sebagai saudara baru dalam agama baru. Ibu juga baru tersedar, rupanya dia terleka dalam membawa suaminya mendalami islam dengan hati yang ikhlas.
Sejak malam yang paling bermakna buat aku dan ibu, ayah kini sudah berubah. Ayah tidak lagi keluar malam, ayah tidak lagi dibungkusi bauan busuk yang entah dari mana datangnya. Ayah tidak lagi terhuyung-hayang menaiki tangga ke bilik tidur. Malah kini ayah selalu bersama ibu mengalun baris-baris dari Al-Quran yang baru ibu ajari. Walaupun aku tidak memahaminya tetapi aku rasa bagaikan terbang ke langit bahagia dan singgah di pelangi cantik bersama mereka. Sungguh nikmat rasa itu. Malah ibu dan ayah turut merasa nikmatnya juga apabila aku lihat ibu sentiasa tersenyum di sisi ayah. Dalam bahagia, aku jadi semakin hairan kerana ibu kerap kali berjumpa Doktor Asma. Namun aku tidak kisah kerana ayah kini sentiasa ada di sisi. Ayah baikkan, ibu?
“Syukur Alhamdulillah. Perkembangan yang positif. Saya juga tak sangka bayi dalam kandungan puan mampu bertahan sehingga kini, sudah memasuki 9 bulan. Insyallah berkat doa dan izin Allah, bayi tuan dan puan akan selamat nanti.”
Aku lihat ibu dan ayah tersenyum sesama sendiri. Aku mula teringin untuk keluar dan berada di antara mereka. Bersama-sama menyulam bahagia yang dipamer pada senyum yang tiada akhirnya. Pasti, saat itu adalah yang terindah buat aku.
Beberapa hari kemudian ibu mengadu sakit perut. Kelam kabut ayah melakukan apa yang patut sebelum membawa ibu berjumpa doktor itu lagi. Mungkin. Aku tidak pasti tentang itu. Aku tersenyum dengan gelagat ayah. Dalam pada, masa yang sama perasaanku membuak-buak ingin keluar menjenguk dunia yang dikongsi bersama mereka berdua. Adakah sempat untuk aku berada di sana nanti? Insyallah.
Tatkala aku keluar melihat dunia setelah pertarungan ibu yang sangat memberi kesan buat jiwaku, wajah yang pertama aku ingin tatap ialah bidariku, ibu tersayang. Walau terasa sesak rongga pernafasanku mencari oksigen di dunia baru, namun mataku kaku melihatkan betapa cantiknya bidadari yang selama ini membawaku selama 9 bulan. Sungguh cantik. Sehinggakan suasana yang bising di persekitaranku, langsung tidak mengganggu pandanganku.
“Cepat periksa nadi dan denyutan jantung bayi!”entah siapa yang berkata, aku tidak tahu. Aku lihat wajah ibu juga turut cemas. Bukankah ibu patut bergembira apabila melihatku selamat keluar ke dunia?
“Kenapa doktor? Kenapa bayi saya tak menangis?” tanya ibu lemah. Ya, memang aku tidak menangis saat aku dilahirkan ibu. Tetapi,kenapa perlu Bobo menangis, ibu? Bobo tidak sedih. Bobo rasa gembira dapat lihat ibu yang cantik.
Lama keadaan bising itu berlanjutan, kakak-kakak yang memakai topeng hijau jarang pada mukanya sibuk menguruskan aku. Memeriksa tekanan jantung dan sebagainya seperti kata mereka. Aku hanya pasrah. Pasrah dalam rasa begitu penat dan lemah. Tetapi aku tidak kisah itu asalkan aku sudah berkongsi udara yang juga disedut ayah dan ibu, memijak bumi yang juga dipijak ayah dan ibu. Malah aku telah pun melihat wajah kesayangan hati, wajah ibu….tapi dimana wajah ayah?
“Sayang.” Sayup-sayup terdengar suara yang amat dikenaliku memanggil setelah memasuki bilik ini. Tersedu-sedan ibu memeluk ayah sambil jarinya dihalakan ke arah aku yang berada dalam satu kotak lutsinar. Perlahan-lahan tubuh kecilku diangkat dan diberikan kepada ibu. Ibu dengan terketar-ketar menyambutku.
“Maafkan kami puan.” Itu yang aku dengar dari mulut seseorang.
Ibu semakin teresak sambil mengendongku. Sungguh aku rasa aman dalam dakapan panas ibu yang mengigil sebak. Aku pandang wajah ibu. Adakah masa aku bersama ayah dan ibu semakin suntuk?
Ibu, Ibu jangan menangis ya. Walaupun hanya sekejap saja Bobo dapat tatap wajah Ibu, tapi Bobo puas. Bobo puas sebab dapat lihat wajah bidadari yang selama ini sentiasa ada di hati Bobo, bisikku. Aku menatap wajah ibu lagi dengan pandangan sayu. Kalaulah aku punyai kudrat, pasti aku akan kesat air mata ibu. Akan aku tenangkan hati ibu supaya menerima qada dan qadar ini dengan hati terbuka. Namun apalah bayi sebesar aku yang mampu lakukan.
Aku tidak menangis. Juga tidak mengeluarkan sedikit suara. Hanya badanku yang kaku menunjukkan aku selesa dipeluk ibu. Bukan niat untuk tidak mencipta saat terakhir bersama ayah dan ibu. Aku cuma tidak mahu ada kenangan sedih dengan mereka berdua. Cukuplah kenangan yang indah-indah sahaja, ya ibu? Aku hanya mahu ibu tersenyum selalu persis seperti dahulu.
Perlahan-lahan mata ini semakin kuyu. Wajah-wajah terakhir yang ingin aku lihat adalah ibu yang cantik bak bidadari dan ayah yang kacak bak putera raja. Ibu percayalah, Bobo sangat, sangat dan sangat menyayangi ibu sepenuh hati Bobo. Dan ayah, Bobo juga sangat sayangkan ayah. Maafkan Bobo kerana suatu ketika dahulu Bobo pernah membenci ayah. Tetapi ketahuilah perasaan benci itu telah pun hilang. Ayah, ayah jaga ibu baik-baik ya? Jangan lupa tolong buatkan puding durian untuk ibu bagi pihak Bobo,ya.
Ibu , ayah selamat tinggal. Jangan sedih-sedih tau, sebab Bobo akan sentiasa tunggu Ibu dan ayah disyurga nanti. Kita bertiga akan mengembara, indahnya syurga Allah nanti.
Aku yakin, walau dengan kejadian buruk sekalipun pasti ada hikmah di sebaliknya. Kini aku tidak lagi risau akan keadaan ibu.Kerana aku yakin akan ada bidadara baik yang akan menjaga bidadariku ini.
1 comment
kreatif sgt. Banyak nilai2 murni ysng tersirat.